Rabu,03 September 2014

Buai kisah amanah

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

SEBELUM ini Raja Azrey atau nama sebenarnya Raja Azri Raja Kamaruzzaman, 34, lebih menyerlah dalam pementasan teater bangsawan. Namun membuka diari aktiviti tahun ini, dia yang bernaung di bawawh Pertubuhan Rumpun Seni dan Teater Shah Alam (Resam) akan tampil dengan teater moden karya Norhisham Mustafa berjudul Buai.


Teater arahan Khusiary Effendy Mahayuddin ini membuka tirai bermula malam ini (18 Mei) sehinvgga 20 Mei dan akan berlangsung di Panggung Seni, Dectar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. Pementasan tanpa bayaran masuk ini anjuran Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN) Selangor dan mendapat kerjasama Majlis Teater Negeri Selangor, UKM dan Universiti Putra Malaysia (UPM).


Raja Azrey berkata, produksi ini adalah hasil gabungan beberapa kumpulan teater
di Selangor yang bersetuju untuk menjayakan pementasan sempena program manifestasi teater negeri ini.


“Selain Resam, ahli gabungan lain yang turut serta ialah Suara Alam, Kemudi dan Hidayah. Objektifnya tak lain untuk mengeratkan lagi hubungan antara kami semua serta memberi impak yang lebih dari segi sumbangan pelbagai idea dalam memantapkan sesebuah persembahan.


“Begitu juga pembabitan UKM dan UPM yang secara tak langsung memberi galakan
dan dorongan kepada penggiat-penggiat muda berjinak-jinak dengan situasi teater tanah air yang sebenar,” katanya ketika hadir ke Balai Berita untuk sesi promosi Buai.

Selain beliau yang melakonkan watak Mat Kael, teater ini turut dibintangi oleh Norhafis Mustaffar (Pak Kadar), Mira Amnas (Saadiah), Ahmad Salman Zamri (Man), Lokman Harmin (suami), Miza Azura (isteri) dan Izatul Akmal (Leha).

“Kesemua mereka perlu menjalani uji bakat sebelum diterima berlakon. Mira Amnas dan Miza Azura pertama kali berlakon teater tapi saya yakin lakonan mereka tak menghampakan kerana kami menjalani latihan intensif sebelum pementasan di bawah bimbingan saya dan Khusiary.

“Nama beliau tak asing lagi di kalangan penggiat teater dan saya serasi bekerja dengannya. Durasi pementasan Buai sekitar 90 minit dan jumlah keseluruhan pelakon dan pasukan produksi hanya sekitar 20 orang. Kami sudah diberi panduan agar keseluruhan yang terbabit tidak lebih dari 25 orang.

“Pelakon utama hanya tiga orang dan selebihnya adalah pelakon pembantu. Buai mendapat olahan semula oleh Milyana Arshad yang juga bertindak sebagai pengurus produksi. Sebenarnya persembahan kami pada hari terakhir akan dinilai oleh juri bagi menentukan apakah Buai layak dipertandingkan dalam Festival Teater Malaysia 2012 yang turut disertai oleh kumpulan dari negeri lain nanti.

“Ini memberi semangat buat kami untuk memberikan yang terbaik. Genre cerita ini sangat berbeza kerana ada unsur realisme dan surrealisme. Ceritanya bukan seperti biasa kerana setiap patah dialognya mengandungi kiasan-kiasan maksud mendalam.

“Saya gembira kerana Buai sudah mendapat perhatian pihak luar apabila diundang menjayakan persembahan di Taman Budaya Negeri Sembilan dan Taman Budaya Negeri Terengganu selepas ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Mira Amnas dan Miza Azura berkata, ini pengalaman pertama mereka berlakon teater selepas keluar program Pilih Kasih. Sebagai muka baru, mereka berdebar-debar untuk beraksi depan khalayak dan menantikan reaksi sama ada positif mahupun sebaliknya.

“Dalam Pilih Kasih memang ada cabaran berbentuk teater tapi di situ semua adalah muka baru. Buai menampilkan saya dengan pelakon berpengalaman dan perasaan saya sangat gementar. Apapun saya berjanji akan buat yang terbaik. Alhamdulillah, setiap kali latihan saya dapat belajar ilmu baru daripada Raja Azery dan Khusiary.

“Begitu juga dengan Ani Mayuni yang rajin berkunjung ke sesi latihan dan sering bagi tunjuk ajar. Mula-mulanya memang saya rasa kecil berbanding pelakon lain, namun lama kelamaan saya dapat menyesuaikan diri,” kata Miza yang pertama kali membawakan watak antagonis dan kini berlakon drama Opah dan Trilogi Cinta musim kedua.

Buai mengisahkan seorang tukang kayu tua bernama Pak Kadar. Dia adalah tukang kayu yang setia dengan kerja-kerja yang dilakukan seharian tanpa ada rasa jemu. Prinsip hidupnya adalah ikhlas, amanah dan jujur semasa bekerja. Disebabkan rasa amanah dan tanggungjawab, Pak Kadar membuat satu wasiat kepada pewaris sebuah buai yang telah lama disiapkan tetapi tidak juga dituntut oleh pelanggannya.

Baginya, buat itu hanya boleh dimiliki oleh pemilik atau waris-waris pemilik yang berhak sahaja. Walaupun ada orang lain ingin membeli dengan menawarkan harga yang mahal ia tetap tidak dipedulikan oleh Pak Kadar. Wasiat dibuat dengan bantuan Mat Kael. Walaupun Mat Kael menjadi orang kepercayaan Pak Kadar, dia juga tidak dibenarkan duduk di atas buai itu.

Setelah puas Mat Kael memujuk, akhirnya Mat Kael berpeluang duduk seketika di buaian itu. Namun begitu, Pak Kadar meminta Mat Kael tidak menghebahkan perkara itu. Baginya, perbuatan duduk di buai milik orang lain ialah perbuatan pecah amanah. Mat Kael sebenarnya ada menyimpan perasaan terhadap anak Pak Kadar iaitu Saadiah.

Dia ada menyatakan hasratnya untuk memperisterikan Saadiah, tetapi ditolak oleh Pak Kadar dengan memberi alasan bahawa Mat Kael tidak dapat menjanjikan kebahagiaan untuk anaknya. Bagi Pak Kadar, Saadiah adalah satu amanah dan tanggungjawab yang perlu dijaga. Isu buai dan Saadiah seakan berkaitan buat Pak Kadar kerana kedua-duanya adalah amanah yang tergalas di bahunya untuk dipertahankan.

Kehadiran pembeli-pembeli buai, Man Gila dan Kak Leha hanya ilusi dalam fikiran Pak Kadar. Di manakah titik pertemuan antara Buai dan Saadiah? Apakah yang terjadi kepada Saadiah sebenarnya? Jawapannya hanya ada menerusi teater Buai.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/05/17
`