Khamis,24 Julai 2014

Buka kedai kek

IMPIAN Erni Rineelawati Buhari, 21, memiliki sebuah kedai bakeri atau kek satu hari nanti semata-mata didorong oleh ingatannya yang tidak pernah padam buat ibu tercinta. Dia membesar dengan air tangan ibunya, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya, wanita hebat yang bukan hanya jutawan kosmetik, malah kemahirannya di dapur diakui ramai.

Selain itu, katanya, sejak kecil dia menggemari kek dan atas sebab itu mahu merealisasikan hasratnya dalam beberapa tahun lagi untuk memiliki kedai sendiri.

Erni beranggapan bukan mudah menggapai impian itu tanpa insan tersayang namun dia perlu menguatkan semangat supaya tidak lalai, justeru usia remaja dikecapinya disifatkan sebagai fasa paling sesuai menimba sebanyak mana pengalaman.

Biarpun sibuk di pejabat dengan tugas rutin sebagai eksekutif pentadbiran, gadis ini sempat mencuri masa meneruskan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam bidang perniagaan bagi meningkatkan pengetahuan.


“Menerusi Program Jarak Jauh (PJJ) yang saya ikuti, hanya sebulan sekali atau dua kali saya ke universiti. Selebihnya belajar melalui ‘sidang video’ (video conference) atau pelbagai pendekatan lain digunakan untuk komunikasi dengan pensyarah. Walaupun sibuk menelaah dan tugas harian, saya harus bijak mengurus masa.


“Begitu juga dalam perniagaan, bersama adik-beradik yang lain kami bersatu hati untuk menjadikan perniagaan ini sebaik mungkin dan mengekalkan reputasi sebagaimana dilakar emak dulu.

“Walaupun bekerja dengan keluarga, saya anggap ia proses pembelajaran terbaik dan harus menapak perlahan-lahan dari bawah,” katanya.

Mesra dengan sapaan Rinee, antara perkara disemai ibunya dan menjadi amalan gadis ini adalah bijak mengurus kewangan.

Berikutan itu, katanya, setiap bulan duit gajinya diagih untuk simpanan sebanyak RM1,000 kerana daripada situ dia yakin dapat memanfaatkannya untuk membina empayar niaganya kelak.

Dia akui bersederhana dan tidak boros berbelanja kerana bajet bulanannya sentiasa dikawal rapi dengan mendisiplinkan diri.

Kesederhanaannya jelas terlihat apabila dia tidak bermewah daripada segi belanjawan pakaian bulanannya asalkan sesuai dan menarik untuk dipakai.

“Saya jarang berbelanja atau membeli pakaian kerana selama ini emak yang belikan. Bila emak tiada, kakak sulung lakukan perkara sama buat saya dan adik. Cuma kalau ada majlis tertentu dan teringin sangat hendak beli baju baru, saya keluarkan bajet sendiri dalam sebulan lebih kurang RM300.

“Daripada segi perbelanjaan kereta pula, duit minyak kira-kira RM300 sebulan tetapi belanjawan lain selalunya atas pengurusan syarikat. Dari situ dapatlah saya agihkan pendapatan bulanan secara berhemah.

“Walaupun ada orang kata mungkin hidup saya dilimpahi kemewahan memandangkan saya anak jutawan, tidak semestinya saya boros berbelanja. Kalaupun ada, sesekali berhibur bersama adik-beradik ke karaoke, menonton wayang, main badminton atau boling,” katanya.

Ditanya aktiviti waktu lapangnya, dia mengakui gemar memandu dan menikmati pemandangan alam sekitar. Ditemani rakan baiknya, dia memandu kereta BMW 325i ke destinasi tertentu demi menghilangkan rasa bosan.

Menariknya mengenai gadis kelahiran Kuala Lumpur ini, dia dikenali sebagai sangat berdikari, umpamanya pandai menukar tayar atau menangani sesuatu perkara yang menimpa kereta.

Berbekalkan pengalaman menukar dan membetulkan tayar kereta di tengah-tengah kota London sewaktu menuntut di sana tiga tahun lalu, dia langsung tidak menggelabah, sekali gus menepis pandangan lelaki bahawa wanita hanya tahu menaiki kereta tetapi tidak menguasai ilmunya.

“Yang penting ketika di United Kingdom, saya belajar bagaimana disiplin dan berhemahnya orang Barat di jalan raya.

“Kalau kita langgar lampu isyarat misalnya, polis akan kejar terus. Dari situ saya belajar berdisiplin di jalan raya dan mengharapkan ia menjadi amalan semua,” katanya.

Ditanya mengenai ciri-ciri lelaki idaman pula, Rinee malu-malu kerana yakin belum masanya bercerita soal peribadi kerana usianya terlalu muda.

Apapun, katanya, dalam menjalin sesebuah persahabatan kejujuran harus dijadikan landasan utama.



INFO

NAMA: Erni Rineelawati Buhari
JAWATAN: Pengarah & Eksekutif Pentadbiran Nouvelle Beauty Centre, Kuala Lumpur
UMUR: 21 tahun
LAHIR: 18 Disember 1990
HOBI: Melancong, badminton, boling, menonton wayang, karaoke
PENDIDIKAN: Diploma Pengurusan & Kewangan, Universiti Trent, Nottingham, United Kingdom
IMPIAN: Membuka kedai bakeri
KERETA: BMW 325i

Artikel ini disiarkan pada : 2011/06/18
`