Sertai komuniti myMetro

login|daftar
Layari »
Jumaat, 03 September 2010

'Bukan penentang pendidikan awam'

Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my
2010/03/10
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KETIKA berkunjung ke rumahnya, anaknya yang sulung Kirua Hakimy, 6, sedang menyunting gambar menerusi komputer riba dan anak keduanya, Ashyekin Rei Hikaru, 4, leka bermain piano.

AJAR...Hafiza yakin pembelajaran di rumah.
AJAR...Hafiza yakin pembelajaran di rumah.
MINAT...Hafiza bersama anak sulungnya, Kirua Hakimy yang meminati fotografi dan reka bentuk komputer.
MINAT...Hafiza bersama anak sulungnya, Kirua Hakimy yang meminati fotografi dan reka bentuk komputer.
Anak ketiganya Afiqah Yunaru, 3, pula sedang mewarna sambil dibantu ibunya, Hafiza Abd Rahman, 26, manakala anak keempat Adany Aurora Hydeaki, 2, leka bermain bersama abangnya.

Malah sepanjang tiga jam penulis berada di rumah Hafiza, keempat-empat anaknya sangat mendengar kata serta tekun belajar. Kesemuanya berbual menggunakan bahasa Inggeris cuma anak yang sulung semakin memahami bahasa Melayu setelah diminta belajar menerusi datuk dan moyang mereka.

Lebih menarik, keempat-empat beradik ini hanya menjalani pembelajaran di rumah tanpa ke sekolah sejak lima tahun lalu dan akan melaluinya sehingga mereka berusia 17 tahun.

Menurut Hafiza, dia tidak pernah ragu-ragu untuk memulakan sekolah di rumah kerana mendapat seratus peratus sokongan daripada suami.

"Pilihan ini adalah keputusan bersama suami tersayang yang sentiasa menyokong saya untuk memberikan pendidikan yang terbaik kepada anak.

"Tanpa sokongan suami, pasti saya tidak dapat merealisasikan impian ini. Dia memberi kebenaran setelah melihat saya bersungguh-sungguh menyusukan tiga anak selama dua tahun setengah untuk setiap orang malah meneruskan penyusuan ibu untuk anak keempat yang kini berusia setahun setengah," katanya.

Hafiza bukanlah menentang pendidikan awam kerana dia sendiri mempunyai pengalaman menyeronokkan ketika zaman persekolahan sehingga melanjutkan pelajaran di Universiti Multimedia, Cyberjaya.

"Semua guru saya sangat memahami dan senang diajak berbincang. Jadi saya merasakan zaman persekolahan saya adalah masa yang sangat manis dan menyeronokkan.

"Sejak kecil saya dibesarkan nenek yang sangat mementingkan pelajaran serta banyak mengajar mengenai nilai murni. Justeru, pengalaman menjalani pembelajaran dengan nenek dan moyang serta ibu bapa di rumah, ingin dikongsi dengan semua ibu.

"Saya dan suami mempunyai banyak persamaan, ini membuatkan kami sangat menghargai ilmu serta sentiasa berusaha memperbaiki diri bagi memberi pendidikan sempurna kepada anak-anak," katanya.

Walaupun pernah ditawarkan sebagai pereka grafik profesional dengan pendapatan RM5,000 sebulan pada usia 20 tahun, Hafiza menolak tawaran itu kerana baginya berkongsi ilmu dengan anak tidak dapat diganti dengan wang ringgit.

"Masa bersama anak sangat penting dan berharga dengan menjadi ibu sepenuh masa. Mengajar anak-anak di rumah, saya boleh bersama mereka pada bila-bila masa sama ada senang atau susah. Keputusan yang saya ambil sangat tepat kerana kini saya boleh mendapat lebih daripada RM5,000 dengan hanya bekerja di rumah," katanya.

Sebagai ibu dan guru, selain melengkapkan dirinya dengan ilmu, Hafiza juga perlu kekuatan daripada segi mental, fizikal dan emosi. Ini kerana kesabaran sangat diperlukan dalam mendidik anak-anak.

"Saya tidak boleh menggunakan kekerasan atau memarahi mereka. Pendekatan digunakan adalah dengan cara menasihati serta menerangkan sebab dan musababnya.

"Malah di mulut saya tidak lekang dengan perkataan positif seperti bagus, baik, bijak dan pandai supaya mereka mendapat semangat belajar. Saya juga menggunakan kata ganti nama seperti pak cik, mak cik, abang dan kakak apabila menerangkan sesuatu supaya anak berasa dekat di hati mereka.

"Bagi menambah semangat belajar, saya menggunakan sistem kupon misalnya sekiranya mereka melakukan sesuatu yang boleh menggembirakan hati saya, mereka akan menerima hadiah contohnya 30 minit berdua dengan saya tanpa anak lain. Peluang berdua dengan ibulah yang sangat mereka sukai dan bukannya hadiah mahal," jelasnya.

Menurut Hafiza, sistem pendidikan digunakan sama seperti di sekolah iaitu sistem Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah. Cuma dia menambah dengan pendidikan moral dan sosial.

Sejak anak berusia dua tahun setengah, mereka sudah didedahkan dengan mata pelajaran sejarah, sains dan geografi, tetapi pelajaran mengikut kematangan usia.

Malah pada setiap bulan, dia akan membawa anak ke rumah anak yatim supaya mereka bergaul dengan anak yatim, membantu membersihkan kawasan rumah serta berkongsi pendapat. Ini dilakukan supaya mereka memahami nasib anak malang ini serta bersyukur dengan apa yang dimiliki sekarang.

"Setiap malam Jumaat, saya atau suami membawa anak ke masjid berhampiran untuk solat berjemaah serta membaca surah Yasin. Saya sedar selain moral, pendidikan agama sangat penting. Ibu bapa harus bersama anak dalam apa juga dilakukan dan bukan hanya membiarkan anak melakukan sendiri.

"Di rumah saya turut mengajar mereka membaca al-Quran bermula daripada usia anak dua setengah tahun. Memang kita beranggapan mereka masih tidak faham, tetapi sebenarnya anak memahami apa yang dilakukan ibu bapa," katanya.

Hafiza memberitahu, dia tidak akan menghalang sekiranya anak ingin mengambil peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) atau Penilaian Menengah Rendah (PMR) apabila mereka berusia 12 dan 15 tahun nanti sebagai calon persendirian.

"Malah apabila mereka berusia 17 tahun, saya membenarkan anak-anak mengambil peperiksaan SAT Reasoning Test," katanya. Bagi membolehkan mereka bersosial, Hafiza menghantar anak sulung ke kelas aikido dan kelas hip hop. Ini berdasarkan kecenderungan Kirua Hakimy kepada muzik. Kirua juga meminati fotografi malah dia kini menjadi jurugambar sambilan untuk Nuffnang serta agensi lain. Malah dia boleh membuat penyuntingan gambar mengikut kehendak pelanggan.

Anak kedua diajar bermain piano manakala anak ketiga dihantar ke kelas balet.

"Saya sendiri tidak pernah mengambil kelas piano cuma belajar menerusi Internet dengan Andrew Furmanczyk, 24, pemain piano profesional daripada Prince George, Kanada. Dia juga hanya mendapat pendidikan di rumah oleh ibunya sejak berusia lima hingga 17 tahun. Jadi kami berkongsi banyak pendapat," katanya.

Jadual pembelajaran keempat-empat anak Hafiza ini sangat padat. Bermula jam 6 pagi, Hafiza sudah mengejutkan anak-anaknya untuk solat Subuh diikuti bacaan al-Quran sebanyak dua muka surat. Kemudian dia bersama anaknya mengumpul pakaian kotor untuk dicuci, selepas itu bersarapan bersama. Pelajaran dimulakan dengan latihan muzik diikuti latihan makmal.

"Tengah hari selepas solat Zuhur, saya mengajar mereka mengenai komputer, penulisan dan reka bentuk grafik diikuti dengan aktiviti di padang. Malam pula, semua anak diwajibkan solat Maghrib berjemaah diikuti bacaan al-Quran. Selepas belajar, mereka diberikan masa menonton televisyen.

"Sebelum tidur saya akan membacakan tiga buku mengikut pilihan mereka. Kemudian setiap anak akan menerima roket yang dibuat ayah mereka sebagai tanda kasih dan sayang," jelasnya.

Walaupun terpaksa berdepan dengan cabaran membesarkan anaknya, Hafiza berharap mereka membesar sebagai insan yang bukan saja berjaya dari segi luaran, tetapi dalaman. Seimbang dari segi rohani dan jasmani, bukan hanya mementingkan kebendaan semata-mata, tetapi nilai kemanusiaan.

Pembelajaran bukan setakat di sekolah, paling penting pendidikan di rumah. Justeru ibu bapa perlu melengkapkan diri dengan ilmu sebelum mendidik anak. Paling penting jangan memaksa mereka mengikut pilihan ibu bapa, sebaliknya melihat kecenderungan dan minat anak.


"Zaman ini bukan seperti dulu. Ibu bapa harus bertanya minat anak dan jangan sesekali memaksa mereka mengikut kehendak ibu bapa. Ini berdasarkan pengalaman saya, dulu bapa mahu saya menjadi doktor, tetapi saya tidak minat kerana saya lebih meminati komputer.

"Sekarang saya buktikan yang saya lebih berjaya dalam bidang yang saya minati," katanya.

Tip memulakan sekolah di rumah:

  • Niat yang baik untuk memberikan yang terbaik kepada anak. Selepas itu Tuhan akan tunjukkan jalan mudah. Percaya pada doa dan berusaha sepanjang masa.


  • Sokongan mental dan fizikal daripada suami sangat penting kerana sekolah di rumah membabitkan komitmen kedua-dua pihak.


  • Wasatiah. Sentiasa memilih untuk bersederhana dalam semua perkara dan sentiasa memperbaiki kelemahan diri dengan membuat penyelidikan, membaca serta menimba ilmu daripada buku dan Internet. Ibu bapa perlu menaik taraf dan memperbaiki diri sebelum mengambil jalan untuk mengajar anak.


  • Sediakan ruang belajar untuk anak. Bina sudut kecil untuk mereka melukis, membaca, membuat eksperimen dan membuat latihan. Di saat mereka menelaah itulah sebenarnya otak mereka berimaginasi menjadi lebih kreatif.


  • Mempunyai jadual harian. Jadual sekolah di rumah, kebersihan, pemakanan dan aktiviti luar (lawatan ke rumah anak yatim, masjid, taman permainan dan kelas tambahan) amat penting kerana akan membolehkan ibu bapa sentiasa bersama anak-anak. Bagi ibu bapa yang inginkan panduan mengenai sekolah di rumah, layari laman sesawang www.LittleKittle.com.

  • Kongsi artikel ini menerusi media sosial


    IKLAN


    iklan
    iklan

      Artikel Lain

    iklan
    iklan