Khamis,18 September 2014

Bukan sofa kulit

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

SHAH ALAM: “Teruja dengan pelbagai promosi jualan perabot terutama set sofa kulit, ramai pengguna terus membeli tanpa mengetahui perbezaan sebenar jenis sofa kulit yang dijual dan dibimbangi kebanyakannya terpedaya seperti apa yang saya alami,” kata guru, Hana Shukur, 30.

Hana bersama suaminya, Bashasunnahar Puasa, 31, berjaya dalam tuntutan mereka di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) untuk mendapat ganti rugi daripada syarikat perabot, Sentosa Resources Sdn Bhd, selepas mendakwa terpedaya dengan taktik jurujual ketika membeli set sofa yang dikatakan sebagai separa kulit pada Mac tahun lalu.


Selepas menghadiri sesi perbicaraan di TTPM yang dihakimi Presidennya, M Suppiah, Sentosa Resources bersetuju membayar ganti rugi dengan menukar keseluruhan permukaan sofa berkenaan kepada separa kulit seperti yang diberitahu kepada pasangan itu ketika membuat pembelian.

Hana berkata, dia dan suaminya tertarik membeli set sofa dan membayar RM4,460 termasuk sebuah meja kopi selepas mengetahui mengenai promosi serta mendengar penerangan jurujual yang mendakwa set berkenaan adalah separa kulit dengan jaminan selama lima tahun.


Bagaimanapun, katanya, dia kecewa kerana hanya selepas setahun, permukaan sofa berkenaan mula merekah seterusnya menyedari terpedaya kerana sebenarnya dia membeli sofa yang diperbuat daripada cebisan kulit yang disalut dengan satu lapisan sintetik bagi menampakkan permukaannya seakan sofa mewah.


“Kalau harganya terlalu murah iaitu dalam lingkungan RM3,000 hingga RM4,000, belum tentu ia kulit kerana sofa menggunakan kulit tahan lama sekali gus harganya memang mahal,” katanya selepas perbicaraan ketika ditemui di TTPM di Menara MRCB di sini, semalam.

Selain itu, pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB), Mohd Safeia Ibrahim, 38, turut berjaya mendapatkan ganti rugi bagi deposit kereta RM1,000 yang dibayarnya kepada Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, selepas membatalkan hasrat membuat tukar beli kereta jenis Honda City miliknya kepada Grand Livina edisi terbaru bernilai RM85,564.


Beliau berkata, harga tawaran yang dibuat kedai kereta berkenaan untuk Honda City keluaran 2004 itu adalah jauh lebih rendah daripada harga pasaran iaitu hanya RM41,000 berbanding RM48,000 tetapi dia bersetuju pada awalnya selepas jurujual membuat tawaran diskaun bagi pemasangan aksesori lain contohnya hanya RM1,500 bagi cermin gelap.

Katanya, ketika membuat bayaran deposit, dia bertanya kepada jurujual sama ada boleh mendapatkan semula wang pendahuluan itu sekiranya menukar fikiran keesokannya kerana mahu berbincang dengan isterinya terlebih dulu bagi proses seterusnya.


“Jurujual itu cakap ‘boleh, jangan risau’ tetapi apabila saya menukar fikiran selepas isteri memarahi saya kerana harga yang ditawarkan terlalu rendah, mereka beri banyak alasan untuk membayar balik deposit itu.


“Selepas tidak tahan diperkotak-katikkan, saya kemudian terus membuat aduan kepada TTPM dan berpuas hati selepas tribunal mengarahkan mereka membayar semula wang itu kepada saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2010/11/03
`