Sabtu,15 Februari 2014

Bukit Mawi uji peserta

Oleh Malik Muhamad

Marang: Pelumba yang bakal menyertai Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Sirkit 3 di negeri ini pada 5 Oktober, mengaku mereka bagaikan tidak sabar menguji kemampuan kejohanan yang julung kali diadakan di trek Bukit Mawi.

Selain tidak sabar mencuba kepantasan trek baru sejauh 40 kilometer itu, rata-rata pelumba ditemui menyifatkan trek itu sesuai sebagai lokasi kerana laluannya begitu mencabar dan pemandangan cantik di tepi pantai serta tidak berbahaya kepada pelumba. Pelumba Eretrim Cycling Club (ECC), Khairulnizam Kamaruddin, 31, mengaku tidak sabar beraksi di trek yang disifatkan paling mencabar bagi dirinya sejak berjinak dalam sukan itu lebih dua tahun lalu.


Menurut pelumba berasal dari Manir, Kuala Terengganu itu, trek itu sesuai bagi peminat sukan lasak yang sudah pasti inginkan cabaran setiap kali beraksi.

“Selepas memantau trek itu, saya teruja menyertai kejohanan MTB Harian Metro apatah lagi buat pertama kali kejohanan besar seperti itu berlangsung di Terengganu,” katanya yang menyasar juara sirkit ketiga ini.


Selain itu, pelumba yang sudah lebih 25 kali menyertai sukan lasak itu berpendapat trek Bukit Mawi bakal menguji ketangkasan peminat sukan itu dan rugi jika tidak menyertai MTB ini apatah lagi berlangsung di negeri sendiri.


“Keindahan pemandangan daerah ini membuatkan saya tidak sabar memperagakan kemahiran dalam sukan yang boleh dianggap popular di negeri ini kerana melahirkan ramai atlet berbasikal berbakat.” Pelumba yang mewakili kelab Geng Meppeh Paka, Abd Rahim Awang, 33, pula berkata, selepas mencuba trek, dia akur laluannya begitu mencabar.

“Saya pernah menyertai kejohanan berbasikal di tempat lain lebih 15 kali namun trek di Marang ini paling menarik kerana terdapat pelbagai halangan selain kawasan bukitnya yang memerlukan ketahanan mental dan fizikal tinggi,” katanya yang menyasar lima tempat terbaik.


Pelumba veteran, Shaipuddin Mohamad, 50, berkata, walaupun trek di Bukit Mawi dianggap paling mencabar, dia tidak mahu melepaskan peluang beraksi walaupun sedar usianya semakin meningkat.

“Selepas mengetahui Harian Metro akan menganjurkan MTB di Marang, saya bertekad menyertai kejohanan kerana minat selain ingin mencuba kemahiran sebagai pelumba basikal lasak.


“Saya harap kejohanan ini bukan hanya sekali berlangsung di daerah ini dan Harian Metro dapat terus menganjurkan sukan ini sebagai acara tahunan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/14
`