Rabu,23 Julai 2014

Caj 30 peratus lonjak harga rumah

Caj pemajuan dikenakan kerajaan Selangor kepada pemaju apabila menyiapkan mana-mana projek menjadi antara punca harga rumah di negeri itu meningkat secara mendadak.

Timbalan Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Datuk Fateh Iskandar Mohamed Mansor berkata, menerusi caj itu yang diperkenalkan sejak 2010, pemaju perlu membayar 30 peratus daripada harga hartanah asal apabila menyiapkan projek.


“Antara sebab berlakunya kenaikan harga rumah apabila pemaju membayar kos penyiapan. Contohnya, di Selangor yang mengenakan caj 30 peratus menerusi Akta Pemajuan 2010 apabila projek pembangunan disiapkan.

“Ini bermakna, jika tanah yang dibeli sebelum projek pembinaan terbabit dilaksanakan berharga RM10 juta, apabila dimasukkan semua infrastruktur dan kemudahan, ia akan meningkat kepada RM13 juta dan kos ini diserapkan kepada pembeli,” katanya perbincangan panel acara Business Times Insight - Perumahan Mampu Milik, di sini, semalam.


Hadir sama, Pengerusi The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan, Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohammad Azlan Abdullah, Pengarang Urusan Kumpulan NSTP Datuk Abdul Jalil Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA Bhd (PR1MA) Datuk Abdul Mutalib Alias.


Sementara itu, Abdul Mutalib berkata, pihaknya memahami mengenai masalah masyarakat memiliki rumah mampu milik dan sedang mencari beberapa alternatif yang sesuai.

“Kami sudah membentuk satu pasukan untuk melihat pilihan yang ada antaranya pembiayaan bukan konvensional. Kami sedang melihat kemungkinan melaksanakan skim sewaan dan perkongsian ekuiti.


“Perkara ini masih di peringkat permulaan dan belum ada penyelesaian lengkap mengenainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/30
`