PRUMutakhir

Calon PKR di Bayan Baru

GEORGE TOWN: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak Sim Tze Tzin diumumkan sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertanding kerusi Parlimen Bayan Baru pada pilihan raya umum ke-13.


Pengumuman berkenaan dibuat Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada ceramah perdana Pakatan Harapan Rakyat di Sepuluh Kongsi, Sungai Ara dekat sini, malam tadi.

"Ahli Parlimen Bayan Baru yang lalu telah lompat entah ke mana...tak apalah. Jadi, sekarang kita nak tonjolkan seorang calon muda, lulusan Sains Politik dari Amerika Syarikat, pernah menjawat jawatan sebagai setiausaha politik saya dan berkhidmat sebagai ketua cabang PKR di sini dan juga seorang Adun," katanya.


Selain Sim, Anwar turut mengumumkan parti itu mempertaruhkan aktivis reformasi sejak 1998 yang juga Pengurus Sumber Manusia Linear Semiconductor Sdn Bhd Muhammad Bakhtiar Wan Chik sebagai calon kerusi Parlimen Balik Pulau menggantikan Mohd Yusmadi Mohd Yusoff.


"Sebelum ini kita ada saudara Yusmadi. Yusmadi telah menjadi Ahli Parlimen yang baik dan saya ucapkan terima kasih atas khidmat dan susah payah dia membawa perubahan.

"Tapi saya ingat sudah sampai ketikanya dia sebagai seorang pemuda kalau dia setuju bagi dia tugas lain di pejabat saya dan di sekretariat pusat keadilan dan Insya-Allah dalam kerajaan baru," katanya.

Hadir sama pada ceramah dihadiri lebih 1,000 orang itu, Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Mohd Salleh Man, pengerusi PKR negeri Datuk Mansor Osman dan pengerusi DAP negeri Chow Kon Yeow.

Pada pilihan raya umum 2008, calon PKR Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim memenangi kerusi Parlimen Bayan Baru dengan majoriti 11,029 undi menentang calon Barisan Nasional (BN) Ooi Siew Kim, sebelum meninggalkan parti berkenaan dan mengisytiharkan sebagai wakil rakyat bebas.

Mohd Yusmadi pula menang bagi kerusi Balik Pulau dengan majoriti 708 undi menentang calon BN Norraesah Mohamad. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/06