Cedera pergelangan kaki

Cedera pergelangan kaki



Pergelangan kaki adalah tempat tiga tulang bertemu membentuk sendi buku lali, iaitu tulang tibia dan fibula pada bahagian betis dan tulang talus dari bahagian kaki. Tulang ini dipegang antara satu sama lain untuk membentuk persendian buku lali oleh ligamen (struktur berbentuk jalur pita yang anjal). Regangan ligamen ini mengekalkan kedudukan tulang itu ketika sendi buku lali bergerak dalam putaran normalnya.

Otot dan urat tendon di sekeliling pergelangan kaki pula menyokong kestabilan sendi, menggerakkan sendi dan sebagai penampan sendi buku lali daripada kecederaan.

a. Sendi buku lali tergeliat adalah kecederaan paling biasa pada pergelangan kaki. Kesan jangka panjang kecederaan ini adalah sakit sendi kronik. Jenis tergeliat yang selalu terjadi adalah inversi iaitu kaki terlipat ke dalam secara paksa ketika terjatuh. Apabila sendi buku lali tergeliat, ligamen tertarik meregang melebihi panjang normalnya atau terkoyak dan ligamen yang selalu tercedera ialah ligamen talo-fibular. Dalam kes lebih teruk, ligamen kalkaneo-fibula koyak dan kadangkala urat tendon sekitar pergelangan kaki juga cedera.

Apa saja perbuatan yang menyebabkan pergelangan kaki tergelincir meningkatkan kemungkinan sendi buku lali tergeliat, umpamanya ketika bersukan (melompat dan terjatuh di atas kaki seseorang ketika bola tampar dan bola keranjang), berjalan di atas permukaan tidak rata atau ketika gerakan berpusing.

Beberapa faktor meningkatkan risiko sendi buku kali tergeliat termasuk otot kaki terlalu lemah sehingga tidak mampu menghalang kejadian tergeliat, deria propriosepsi atau keseimbangan teruk dan sendi buku lali pernah tergeliat tetapi tidak mendapat rawatan rehabilitasi secukupnya, terutama rehabilitasi deria propriosepsi.

Propriosepsi ialah deria rasa yang memberitahu otak di mana dan apakah kedudukan sendi buku lali ketika itu. Jika otak tidak mendapat maklumat, otot di sekeliling pergelangan kaki tidak bersedia menghalang sendi buku lali daripada tercedera.

b. Otot meregang atau terkoyak adalah kecederaan kepada otot dan urat tendon, yang menjadi struktur penghubung antara otot dan tulang. Ini terjadi apabila otot tertarik dan meregang terlalu panjang. Kecederaan otot meregang biasanya terjadi kepada otot paha dan betis.

Ada dua otot pada pergelangan kaki yang menstabilkan sendi buku lali dan kaki iaitu otot peroneal. Urat tendon peroneal boleh menjadi radang dan bengkak kesan penggunaan melampau atau trauma. Ia dipanggil tendonitis.

Otot terkoyak yang akut boleh terjadi akibat aktiviti pergerakan berulang atau trauma. Jika otot terkoyak jenis degeneratif atau kemerosotan, ini bermakna ia sudah lama terkoyak dan keadaan ini dipanggil tendonosis. Urat tendon ini boleh terputus atau tergelincir dari kedudukan asalnya akibat trauma atau variasi bentuk tulang atau otot.

c. Kepatahan tulang dan tergeliat pergelangan kaki boleh terjadi jika sendi buku lali terpusing jauh melampaui kedudukan normal. Ini terjadi ketika tersandung atau jatuh, mendarat dengan kekok selepas melompat, berlari atau berjalan di atas permukaan tidak rata, kesan impak mendadak seperti kemalangan kereta, memusing atau memutar pergelangan kaki. Tanda klinikal pergelangan kaki tergeliat dan patah hampir sama. Kerana inilah kepatahan tulang boleh disalahertikan sebagai tergeliat.


Tanda

Tanda biasa adalah sakit secara tiba-tiba dan parah, bengkak, lebam dan pesakit tidak mampu berpijak atau berjalan menggunakan kaki tercedera. Sendi tergeliat berasa kejang dan sukar digerakkan kerana sakit, pergelangan kaki yang patah pula terasa sangat sakit apabila bahagian tulang yang patah disentuh dan bentuk pergelangan kaki bengkak dan hilang bentuk asal.

Tendonitis dan koyak akut urat tendon peroneal selalunya ada tanda sakit dan bengkak. Pergelangan kaki juga terasa panas bila disentuh. Dalam kes koyak akut, pergelangan kaki menjadi lemah dan tidak stabil. Tendonosis urat tendon peroneal boleh mengambil masa beberapa tahun untuk terjadi.

Gejalanya termasuk sakit berulang pada luar pergelangan kaki, lemah dan ketidakstabilan pergelangan kaki serta pembentukan lengkuk kaki lebih tinggi. Jika tendon peroneal tergelincir, pesakit berasa lemah dan tidak stabil pada pergelangan kaki. Pesakit juga berasa sakit di belakang pergelangan kaki.


Apa patut dilakukan selepas pergelangan kaki tercedera?

Seseorang itu boleh melakukan rawatan pertolongan cemas dengan mengikut teknik RICE:

  • R untuk ‘Rest’ atau rehat — Merehatkan pergelangan kaki yang tercedera penting untuk mengelak ia bertambah teruk apabila masih menanggung beban ketika bergerak.

  • I untuk ‘Ice’ atau ais — Penggunaan ais memperlahan dan mengurangkan bengkak serta memberi rasa kebas yang melegakan sakit. Ini dilakukan dengan membalut paket ketulan ais dengan tuala dan letakkan pada bahagian tercedera. Jangan menekap ais lebih dari 20 minit pada satu masa dan biarkan tanpa ais selama 40 minit sebelum mengulanginya bagi mengelak tisu rosak akibat suhu terlalu sejuk. Jangan tuam dengan bahan panas pada bahagian cedera kerana panas meningkatkan pengaliran darah ke bahagian itu, menyebabkan lebih bengkak dan sakit.

  • C untuk ‘compression’ atau tekanan — Balut bahagian tercedera untuk mengampunya, tetapi jangan balut terlalu ketat.

  • E untuk ‘elevate’ atau tinggikan — Letak pergelangan kaki yang tercedera di atas alas lembut supaya berkedudukan sama atau lebih tinggi dari aras jantung bagi mengurangkan bengkak dan sakit.

    Jangan berpijak pada kaki yang tercedera sehingga doktor mengesahkan tahap dan jenis kecederaan. Jika dibiar berlarutan atau tidak dirawat dengan betul, ia boleh menyebabkan masalah jangka panjang yang kronik pada pergelangan kaki seperti kecederaan berulang, sendi buku lali lemah dan artritis.


    Ikuti sambungan artikel kecederaan pergelangan kaki dan cara rawatan pada siri akan datang.