Rabu,03 September 2014

Cemar kesucian

KUALA LUMPUR: Tindakan pelakon, Farid Kamil mengenakan pakaian istiadat tentera pada majlis resepsi perkahwinannya menimbulkan rasa kecewa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan menyifatkannya mencemar ‘kesucian’ pakaian berkenaan apabila dipakai orang awam sewenang-wenangnya.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, kejadian itu mendukacitakan pihaknya walaupun dengan niat tidak memudaratkan keselamatan.


Katanya, mengikut Seksyen 25 Kanun Keseksaan, Farid boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih tujuh bulan atau kedua-duanya sekali sekiranya disabit kesalahan menyalahguna pakaian seragam pasukan keselamatan.

Beliau berkata, ATM akan meneliti perkara itu dengan pihak-pihak lain sebelum mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Farid.


“Jika melihat baju seragam istiadat yang dipakai Farid, ia boleh disalah erti sebagai memperlekehkan warga tentera selepas pangkat serta lencana dikenakan di baju dan juga topi berkenaan dipakai secara ‘cacamarba’.


“Sekiranya Farid atau orang awam lain ingin mencuba mana-mana pakaian seragam ATM, mereka boleh membuat permohonan rasmi supaya cara pemakaiannya boleh diawasi pihak ATM sendiri seterusnya mengelakkan rasa tidak senang di kalangan warga tentera,” katanya selepas Majlis Penyampaian Diploma Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia (KPSM) Siri 41/2012 di Dewan Bankuet Wisma Perwira ATM, Kem Kementerian Pertahanan, di Jalan Padang Tembak, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/13
`