Jumaat,25 Julai 2014

China main kotor, sabotaj pemain!

Guangzho: Pengadil perlawanan bersekongkol dengan China untuk sabotaj pemain negara?

Itulah hakikat yang dipersoalkan di Kejohanan Dunia di Gimnasium Tertutup Tianhe, Guangzhou, China.


Sejak peringkat pertama, papan keputusan di tiga gelanggang berbeza yang membabitkan pemain negara, Chong Wei Feng, Datuk Lee Chong Wei dan Ong Jian Guo-Lim Yin Loo tiba-tiba rosak .

Mujur ketiga-tiga pemain negara tenang dan berjaya mengawal keadaan sebelum menewaskan lawan masing-masing tetapi papan keputusan kembali berfungsi apabila pemain negara lain memasuki gelanggang.


Begitupun malang buat beregu campuran nombor dua negara, Tan Aik Quan-Lai Pei Jing apabila menjadi mangsa percaturan strategi buruk China itu.


Berdepan pemain tuan rumah Tao Jiaming-Tang Jinhua, Aik Quan dan Pei Jing bermain cemerlang di set pertama biarpun ketika itu papan keputusan sudah tidak berfungsi.

Aik Quan-Pei Jing ketinggalan 19-20 di set pertama tapi berjaya meraih mata penyamaan tetapi pengadil gagal mengadili perlawanan dengan baik, mengulangi kedudukan sama 19-20 menyebabkan pemain negara membantah keputusan pengadil dan fokus mereka terjejas sehingga tewas 19-21.


Bersambung set kedua, pemain negara yang kali pertama beraksi di Kejohanan Dunia langsung tidak boleh fokus hingga kalah 7-21.

“Di set pertama memang kami protes kerana pengadil tersilap membuat kiraan, apabila kami gagal mendapat mata mental kami sudah ‘koyak’ hingga kalah mudah set kedua,” kata Aik Quan.


Pei Jing bagaimanapun tidak mampu memberikan reaksi, hanya menangis kecewa.


Pengurus pasukan negara Tony Tan dikatakan akan membuat bantahan kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).


Sebelum itu, pegawai media BWF Gayle Allen mengaku tidak dapat menjelaskan mengapa situasi papan keputusan tidak berfungsi pada kejohanan ini berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/06