Rabu,30 Julai 2014

Conti lengkap import Tok Gajah

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Bekas pemain kelab Tristan Suarez dari Liga Primera B Argentina Matias Conti melengkapkan kuota pemain import skuad Pahang bagi mengharungi Liga M musim ini.

Conti, 23, dari Reconquista diharap membantu menajamkan lagi jentera serangan yang dilihat gagal menyerlah pada saingan Liga Super.


Setiausaha Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) Fuzzemi Ibrahim berkata, kehadiran Conti mampu menajamkan lagi jentera depan skuad itu.

Menurutnya, pengalaman Conti boleh menambah sengat skuad itu bersama penyerang tempatan Mohd Fauzi Rozlan.


“Selepas aksi hambar dipersembahkan Borji dan Klechkaroski, kami harap dua import baru akan membentuk persefahaman lebih mantap untuk meletakkan Pahang pada kedudukan terbaik,” katanya.


Mengulas sama ada Conti dan Stewart akan beraksi pada pusingan kedua Liga Super bertemu T-Team, Sabtu ini, Fuzzemi berkata, pihaknya akan berusaha menyenaraikan mereka.

Setakat ini, urusan berkaitan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) akan diselesaikan secepat mungkin bagi mendapatkan lesen daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).


“Kami mahu menurunkan mereka pada pertemuan dengan T-Team tapi ia bergantung kepada keputusan FAM.”

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/11
`