Dekorasi ruang tamu luas

Dekorasi ruang tamu luas



Mempunyai ruang tamu yang luas memberi pelbagai kelebihan kepada pemilik untuk menzahirkan idea mengikut cita rasa.

Bagaimanapun, ruang yang terlalu luas memerlukan keprihatinan supaya idea dekorasi diketengahkan benar-benar sesuai.

Bahkan, kebanyakan pemilik rumah sering menghadapi ketandusan ilham berkaitan memilih dan menyusun atur perabot.

Ketiadaan dinding penghadang menyebabkan ada yang cenderung menempatkan semua perabot rapat ke dinding.

Keadaan itu menyebabkan wujudnya ruang kosong yang hambar di tengah-tengah.

Berikut beberapa petua menangani ruang tamu luas dikongsi bersama.

Ruang tamu yang lapang lumrahnya berkonsep terbuka iaitu dibina sekali dengan ruang makan.

Anda hendaklah mengambil kira fungsi kedua-dua ruang itu ketika menempatkan perabot. Perabot khusus untuk ruang tamu dan ruang makan perlu disediakan.

Jika ada lebihan ruang, wujudkan sudut menonton atau membaca. Ini bermakna anda perlu membahagikan keseluruhan kawasan kepada beberapa sudut atau ruang kecil.

Perabot yang sesuai hendaklah diletakkan selaras dengan fungsi ruang itu. Sudut meraikan tetamu atau berbincang sesuai diwujudkan di kawasan jauh sedikit dari kawasan lalu lalang.

Perabot yang sesuai digunakan adalah set sofa fabrik atau kulit sepenuhnya atau gandingkan set kerusi upholsteri dengan sofa.

Kawasan berhampiran ruang dapur wajar diletakkan set meja makan yang serasi dengan perabot di ruang tamu.

Ruang lebihan yang dijadikan tempat menonton pula boleh diletakkan sofa dua atau tiga tempat duduk.

Anda yang ingin gaya seragam, pilih perabot yang mempunyai pertalian warna atau bentuk dicadangkan.

Jika ingin mewujudkan suasana tersendiri untuk setiap ruang duduk, gunalah perabot yang berlainan.

Bagaimanapun, ruang tamu rasmi perlu ditatahias dengan gaya yang tidak keterlaluan supaya sesuai dengan fungsinya.

Begitu juga dengan ruang menonton yang berfungsi sebagai ruang bersantai, pastikan penampilannya memenuhi ciri sedemikian.

Sementara sudut berhampiran pintu gelongsor pula sesuai menempatkan sebuah kerusi dua tempat duduk dan dua kerusi beralas tangan.

Sudut menonton pula sebaik-baiknya ditempatkan kabinet televisyen dan sofa panjang yang digandingkan dengan kerusi ottoman.

Bagi ruang, anda boleh tempatkan kerusi ringkas dalam reka bentuk Inggeris atau jenis antik ringan.

Kerusi itu boleh ditarik ke ruang tamu jika bilangan tetamu yang datang ramai.

Pada masa sama, anda boleh mengubah suai lantai menjadi aras selisih.

Langkah ini dapat mewujudkan suasana tersendiri di ruang berkenaan.

Namun, cara ini menelan sedikit perbelanjaan kerana membabitkan kerja memecah dan membina semula.

Kaedah yang sama boleh dibuat pada siling. Gaya siling tinggi rendah dapat membantu mewujudkan pembahagi ruang.

Di samping itu, mengecat dinding dengan warna gelap boleh membuatkan suasana ruang yang lebih luas nampak lebih kecil berbanding bukaan sebenar.

Dalam situasi itu anda boleh menampilkan penggunaan banyak warna dalam satu ruang dan hasilnya menjadikan ruang kelihatan lebih sempit.

Penggunaan kertas dinding berlainan corak juga boleh diamalkan untuk tujuan yang sama.

Jika semua perabot disusun di tepi dinding, ini boleh menampakkan suasana rumah seperti tidak cukup perabot.

Jadi pilihlah penggunaan perabot berukuran besar dan padu serta diletakkan di tengah-tengah ruang tanpa membahagikan ruang berkenaan kepada beberapa ruang kecil yang lain.

Bagi memenuhkan ruang yang masih kosong, anda boleh menempatkan pokok pasuan, meja peti dan lampu lantai.

Pembinaan laluan mempunyai gerbang juga adalah cara berkesan untuk mengecilkan ruang.