Dinding jantung tebal

Dinding jantung tebal



Di dalam artikel yang lalu saya membincangkan mengenai penyakit otot jantung bengkak dan lemah. Selain daripada penyakit otot jantung bengkak, otot jantung juga boleh menjadi tebal.

Biasanya otot jantung yang tebal tidak menyebabkan jantung menjadi lemah tetapi ia akan menyebabkan otot jantung menjadi keras dan tidak dapat relaks dengan sempurna ketika darah kembali ke jantung.

Otot jantung menjadi tebal kerana pertumbuhan dan penambahan sel otot jantung. Ini biasanya berlaku dalam keadaan di mana otot jantung terpaksa bekerja terlebih kuat untuk mengepam darah keluar ke seluruh badan.

Keadaan ini adalah:

  • pesakit yang mempunyai darah tinggi yang tidak dikawal dengan baik.
  • Injap aortic yang sempit (aortic stenosis).
  • ahli sukan yang sangat aktif seperti pelari maraton.

    Darah tinggi yang tidak dikawal dan injap aortic yang sempit menjadi halangan atau rintangan untuk darah dipam keluar. Jadi untuk memastikan seluruh badan mendapat darah yang cukup, otot jantung dipaksa bekerja lebih kuat. Ini yang menyebabkan pertumbuhan lebih banyak sel otot jantung supaya jantung boleh mengepam lebih kuat. Namun, pertumbuhan itu ada hadnya yang mana jika melebihi tahap tertentu, jantung boleh menjadi lemah dan bengkak.

    Di dalam kes ahli sukan, otot dilatih untuk bekerja kuat kerana individu itu menjalani aktiviti yang lasak. Lama-kelamaan, otot jantung boleh menjadi tebal untuk memastikan cukup darah dapat dipam terutamanya ketika seseorang itu bersukan.

    Selain itu, dinding jantung boleh menjadi tebal disebabkan faktor genetik. Ini bermakna pesakit itu memang dilahirkan dengan masalah itu dan terdapat ahli keluarga seperti ibu bapa atau adik-beradik mengalami masalah sama.

    Dalam keadaan itu, otot jantung boleh menjadi begitu tebal sehingga menyempitkan trek di mana darah dipam keluar dari jantung. Penyakit itu dinamakan ‘Hypertrohic Obstructive Cardiomyopathy’ (HOCM).

    Simptom yang akan dialami pesakit otot jantung tebal biasanya sama dengan simptom pesakit jantung bengkak dan lemah. Kesukaran bernafas ketika berjalan atau bersenam ialah simptom paling kerap dialami. Simptom lain termasuk pening atau pengsan. Ini terjadi kerana otot jantung yang tebal boleh menyebabkan masalah ritma atau denyutan jantung menjadi sangat laju sehingga boleh menyebabkan kematian mengejut.

    Ujian yang boleh dilakukan untuk mengesan penyakit ini ialah echocardiogram atau ultrasound jantung. Imbasan MRI juga adalah ujian yang baik kerana boleh mengesan otot jantung dengan jelas. Ujian Holter atau 24 jam ECG juga akan dilakukan untuk mengesan masalah denyutan jantung laju yang boleh meninggikan risiko kematian secara mengejut.

    Daripada segi rawatannya, jika masalah ini disebabkan darah tinggi, ia perlu dikawal dengan baik menerusi ubat-ubatan. Jika disebabkan injap aortic yang sempit, pembedahan tukar injap perlu dilakukan.

    Bagi pesakit yang menghidap penyakit genetik iaitu ‘HOCM’, rawatan khas untuk menipiskan otot jantung yang tebal itu diperlukan sekiranya otot itu menutup atau menyempitkan pengaliran darah keluar dari jantung.

    Rawatan boleh dilakukan secara luaran atau ‘percutaneous’ di mana sejenis bahan kimia akan disuntik terus ke salur darah yang membekalkan darah kepada otot jantung yang tebal untuk mematikan sel otot yang berlebihan itu. Selain itu, otot yang tebal juga boleh dinipiskan secara pembedahan di mana otot yang berlebihan itu dipotong (‘myomectomy’).

    Selain itu, ubat yang boleh memperlahankan denyutan jantung biasanya dapat mengurangkan masalah kesukaran bernafas. Jika terdapat masalah denyutan laju, alat khas dinamakan ‘Implantable Cardiac Defibrillator (ICD)’ boleh dipasang. Alat ini berfungsi untuk mengesan denyutan jantung tidak normal laju dan ia akan mengeluarkan kejutan atau ‘shock’ untuk memulihkan ritma jantung itu. Alat itu terbukti dapat mengurangkan risiko kematian secara mengejut.