Selasa,30 September 2014

Drama lucu penyampai Hot FM

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PENERIMAAN positif dari pelbagai pihak akhirnya memanggil stesen radio Hot FM dan TV9 untuk bergabung lagi bagi memberikan sesuatu yang menarik buat peminat sempena Aidilfitri.

Tahun lalu ia menyaksikan kolaborasi mereka menghasilkan lagu raya berjudul Hangatnya Raya Di Hatiku dengan menggabungkan penyampai radio Hot FM bersama adik-adik dari program realiti TV, Idola Kecil.

Kali ini kemeriahannya bertambah lagi apabila mereka bergandingan menerusi dua projek berskala besar bergelar telefilem raya berjudul Hangitnya Raya serta Kita Punya Raya yang menampilkan beberapa penyampai Hot FM di KL Sentral dan lintas langsung dari Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur.

Bertempat di Restoran Saloma, Jalan Ampang, Selasa lalu, berlangsung meriah majlis berbuka puasa dan pelancaran program dinamakan Kita Punya Raya Hot FM dan TV9 yang turut dihadiri ramai artis terbabit dengan program yang disusun buat peminat.


Barisan nama hebat ini antara­nya Rosyam Nor, Rozita Che Wan, Fiza Halim, Norkhiriah, Bell Ngasri, Shahz Jaszle, Talha Harith, Aizat dan Altimet sekali gus membayangkan kehangatan program yang bakal menemui peminat pada Syawal nanti.


Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul berkata, Hot FM gembira de­ngan kerjasama yang terjalin dengan TV9. Justeru kali ini kesinambungan itu diteruskan lagi dengan idea yang lebih menarik.

“Tahun lalu kami tampil dengan dua lagu raya maka tahun ini kami hadiahkan pula telefilem berjudul Hangitnya Raya untuk sebuah kelainan sebagai penghargaan kepada pendengar Hot FM dan penonton TV9,” katanya.

Hangitnya Raya yang dijana oleh idea kreatif Hot FM dan TV9 diterbit­kan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd milik Rosyam. Ia diarahkan Amie Maziah yang pernah mengarahkan drama siri Dingin Lavenda dan Hanya Dikau.

Telefilem mengisahkan kerenah seorang penyampai radio stesen terkenal (lakonan AG) yang ‘memberontak’ akibat tidak mendapat kelulusan untuk cuti beraya ini turut dibintangi Fara Fauzana (Fafau), Faizal Ismail (FBI), Ikhwan, Usop, Suraya dan Kieran.

Skrip Hangitnya Raya ditulis oleh Wan Mahani Wan Hassan dan menemui peminat pada Syawal ketiga jam 12.30 tengah hari.

Tambah Seelan, kolaborasi Hot FM dan TV9 berterusan lagi menerusi program Kita Punya Raya di mana Fafau dan FBI akan berada di KL Sentral bersama orang ramai.

“Mereka akan berinteraksi dengan artis jemputan seperti Izara Aishah dan Anas Mentor serta ramai lagi. Persembahan akustik dari band Klangit juga akan dibuat di situ.

“Sementara di Jalan TAR pula, AG dan Ikhwan menyelitkan beberapa aktiviti menarik bersama orang ramai dan sesiapa yang bertuah berpeluang mendapat duit raya!

“Program ini disiarkan secara eksklusif pada 18 Ogos bermula jam 9.30 malam di TV9,” katanya yang tampil segak berbaju Melayu pada majlis itu.

Kalau Hot FM tampil dengan program hangat, apa kurangnya pula dengan TV9 yang sudah bersedia menghidangkan juadah menarik buat penonton.

Pengurus Besar Kumpulan TV3 & TV9, Sherina Nordin berkata, pelbagai program menarik disediakan bermula 8.30 malam dan 12.30 tengah hari.

“Program kami bermula pada malam raya seperti Galaksi Raya, Versus Reunion, Laskar Nidji dan GIG Triple Play manakala empat telefilem terbaik yang menampilkan Norkhiriah, Shahrizal Jaszle, Talha Harith dan Fiza Halim siaran 12.30 tengahari.

“Kepuasan penonton adalah kepuasan kami juga dan itulah yang dimaksudkan dengan slogan ‘Kita Punya Raya’ yang kami pilih,” katanya.

Selain program yang disebutkan, Kita Punya Raya Hot FM dan TV9 turut menampilkan siri filem jenama Senario iaitu Senario The Movie (raya keempat), Senario Lagi (raya kelima) dan Senario Pemburu Emas Yamashita (raya keenam).

Turut ditayangkan menerusi slot Filem Terbaik ini adalah filem Puteri Gunung Ledang (raya ketujuh). Slot Telefilem Terbaik pula menampilkan Raya Tanpa Wayar (raya pertama) Bedah Tong Gas Nak Raya (raya kedua) dan Mencari Nurfitri (raya keempat).

Lain-lain program menarik termasuklah FBI Raya Awal (malam raya, 10.30 malam), Ketupat Rendang Kopi O (sehari sebelum raya sehingga raya ketiga, 8 pagi), Ahmad Muhammad (raya pertama, 11 pagi), Lama Terbaru (raya kedua, 10 pagi) dan Saya Melayu Mekah (raya keenam, 10 pagi).

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/06
`