Rabu,01 Oktober 2014

Elemen kayu hiasan dekorasi

Teks dan gambar Mohd Amin Jalil

DEKORASI menawan bukan sekadar pencetus damai kepada penghuni kediaman, tetapi tarikan untuk tetamu yang bertandang.

Justeru, tidak hairanlah setiap pemilik kediaman berusaha keras menggunakan daya kreativiti mereka bagi membina dekorasi menarik dan memenuhi citarasa masing-masing.

Konsep ala Inggeris dan jati antara yang sering menjadi pilihan ramai walaupun ada yang menyatakan ia ketinggalan zaman.

Ini kerana kedua-dua konsep itu adalah malar segar dan sesuai bagi mereka yang mahukan elemen kayu dalam hiasan dekorasi kediaman.

Foto

UNGGUL...set almari kayu jati di ruang tamu.

Foto

HIJAU...Haridah menggunakan pasu bagi menzahirkan kehijauan di luar rumah.

Foto

SANTAI...set kerusi di bahagian beranda.

Foto

UNIK...setiap sudut tidak dibiarkan kosong.


Bagi pasangan Karim Abu Bakar, 55 dan isterinya, Haridah Muhammad, 51, mereka memilih konsep itu untuk kediaman teres setingkat di Taman Cempaka Fasa 4, Senawang Seremban, Negeri Sembilan.


Sekalipun tampak sederhana, tetapi terdapat aura pada kediaman pasangan ini memang ketara apatah lagi dengan konsep kombinasi aksesori hiasan yang menarik.

Pasangan itu memilih perabot kayu jati di ruang tamu manakala aksesori tambahan menggunakan konsep ala-Inggeris seperti almari dan meja hiasan.

“Saya ingin kelainan dan tampak eksklusif kerana itu saya cuba menggunakan kedua-dua konsep itu dalam menghias dekorasi kediaman ini.

“Kayu jati memang serasi dengan gaya klasik Inggeris malah ia tampil dengan keistimewaan tersendiri dan memukau.

“Jika dilihat klasik Inggeris kian digemari kerana pilihan rona klasik yang begitu mantap dengan karakter tersendiri menjadikan ia kekal segar dan menarik sepanjang masa.

“Saya melakukan secara berperingkat kerana ia memerlukan modal besar dan berharap impian memiliki konsep ala-Inggeris dan jati menjadi kenyataan,” kata Haridah.

Dia yang juga pesara sebuah syarikat swasta, menggunakan daya kreativiti tersendiri selain rujukan majalah dan akhbar untuk menyusun perabot supaya nampak menarik.

Di bahagian luar rumah, Haridah membina laman hijau dengan pelbagai pokok bunga dalam pasu kerana ia lebih mudah dijaga atau ubah suai.

“Perancangan teliti untuk setiap dekorasi menjadikan sesebuah ruang itu sedap mata memandang dan memberikan seribu kepuasan,” katanya.

Ibu kepada tiga orang anak berusia antara 18 hingga 26 tahun, mengakui kedudukan dekorasi dan kreativiti amat penting dalam menghias laman.

“Kita perlu bijak menggunakan keseluruhan ruang ada, namun saya gemar kepada suasana yang selesa dan santai kerana ia memberi ketenangan.

“Kediaman adalah tempat berehat dan perlu tampil dengan suasana yang selesa serta menyenangkan hati,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/02/10
`