Rabu,01 Oktober 2014

Elfira, Zoey: Mesra bagai adik abang

Oleh HELLINIE SINA

Apabila Elfira Loy memuat naik gambar mesranya dengan Zoey Rahman di laman sosial Instagram miliknya, persahabatan yang terjalin sekian lama mula disalahertikan sesetengah pihak.

Peminat kedua-dua selebriti itu memberikan maklum balas bahawa pasangan itu sepadan dan menginginkan mereka benar-benar bercinta walhal gambar itu hanyalah babak dari rantaian drama Demi Dia yang menggandingkan mereka berdua dan bakal ditayangkan Ramadan nanti.

Bertemu Elfira pada majlis Seindah Ramadan TV3 baru-baru ini, gadis itu menafikan dakwaan yang tersebar. Tegasnya, dia hanya menganggap Zoey sebagai abang.

Katanya, gosip seperti ini akan timbul setiap kali dia digandingkan dengan pelakon lelaki. Ketika sama-sama menyertai program realiti Fear Factor, Elfira akui ada juga mengambil gambar berdua dengannya tetapi tidaklah kecoh seperti sekarang.


“Saya sudah mengenali Zoey sejak usia 11 tahun. Keluarga kami memang kenal dan agak rapat. Tidak mungkin saya akan bercinta dengan orang yang sudah saya anggap seperti abang kandung. Rasa macam sumbang mahram pula,” katanya sambil ketawa.


Pun begitu bagi Elfira, dia lega apabila mendapat maklum balas seperti itu lantaran pengarah Aziz M. Osman sering memarahi mereka berdua kerana kemesraan yang ditunjukkan kelihatan seperti adik beradik dan bukannya pasangan suami isteri.

Apabila kemesraan pada gambar itu ditafsirkan peminat berlainan dari realiti, itu adalah penanda aras bahawa mereka mencapai keserasian dan membawa watak dengan baik.

Bagi Zoey, 28, perkara itu dianggap asam garam sebagai anak seni. Dia tidak perlu terlalu memikirkan tanggapan orang dan menjalankan komitmennya dengan baik.

“Saya tidak tahu apa yang perlu saya jelaskan kerana hubungan kami tidak lebih sebagai adik dan abang. Saya sudah 28 tahun dan dia masih terlalu muda. Saya tidak melihat ruang untuk kami bercinta.

“Kalau kami keluar menghabiskan masa bersama pun, mesti dengan rakan-rakan lain seperti Dafi dan Dazrin, tidak pernah berdua. Saya tidak kisah pun orang nak cakap apa. Paling penting bagi saya, memberikan tumpuan pada kerjaya,” katany.

Zoey yang pertama kali diberi watak matang berbanding watak pelajar kolej sebelum ini kerana mempunyai wajah lebih muda dari usia sebenar serta mempunyai tubuh kecil hingga sering diberikan watak itu, bersyukur kerana selepas menyertai Fear Factor banyak peluang diberikan sesuai dengan usianya.

Katanya, bagi mengelak diberikan watak sama, dia juga mengubah cara penggayaan rambut dan penampilan diri.

“Alhamdulillah, saya sudah keluar dari kepompong itu. Selepas ini saya mungkin akan memilih watak bukan kerana watak pelajar itu tidak mencabar tetapi saya mahu diri saya versatil,” katanya.

Memegang watak Zack dalam drama itu, Zoey menjelaskan dia terpaksa mengubah cara jalan dan percakapan bagi mengimbangi wajah comelnya dengan karakter.

Walaupun agak mencabar dan kadang-kala memenatkan kerana terpaksa bercakap menggunakan suara dalam, tetapi dia puas dapat mengekspresikan dirinya dalam sudut lain.

“Itu salah satu cabaran yang saya lalui tetapi perkara yang paling susah kami hanya diberikan skrip beberapa jam sebelum penggambaran. Apabila tiba di lokasi, abang Aziz akan duduk dan menulis skrip kemudian berikan pada kami,” katanya yang turut menjadi hos rancangan Hello Bro, Tolong Deko untuk Astro Ria.

Bagi Elfira pula, dia terbabit dengan alih suara animasi Smurfs 2 yang bakal ditayangkan pada Hari Raya pertama nanti. Dalam Smurfs 1 yang alih bahasa atas usaha Astro, dia memegang watak Odile namun kali ini diberikan watak berbeza.

“Dalam filem Smurfs 2 saya harus mengubah suara dan cara ketawa. Imaginasi kena lebih kali ini. Harap semuanya okey,” kata.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/30

Artikel Lain