Sabtu,20 September 2014

Empat syarat isteri masuk syurga

TERDAPAT hadis Nabi s.a.w yang menceritakan keadaan di neraka, antaranya ramai kaum wanita di neraka dan wanita mendapat seksaan disebabkan dosa besar yang mereka lakukan ketika di dunia.

Bagi wanita yang menjadi isteri, hanya empat syarat untuk mereka ke syurga. Daripada Anas, Nabi bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai.” (Hadis Riwayat Ahmad).

Wanita tidak perlu keluar berjihad atau berperang, cukup sekadar mengerjakan haji atau umrah bagi yang cukup syaratnya.

Daripada Aishah katanya, aku berkata, “Ya Rasulullah, kita mengetahui bahawa jihad adalah sebaik-baik amalan. Oleh itu apakah kami kaum wanita tidak boleh ikut berjihad? “ Baginda terus menjawab: “Bagi kamu semua (kaum wanita) jihad yang paling baik ialah mengerjakan haji dan mendapatkan haji mabrur.”


Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Jihad orang yang tua, lemah dan wanita ialah menunaikan haji” (Hadis Riwayat an-Nasa’i).


Dari Abdullah bin Umar katanya: Rasulullah bersabda bermaksud: “Wahai kaum wanita! Bersedekahlah kamu dan perbanyakkanlah istighfar iaitu memohon ampun. Kerana aku melihat kaum wanitalah yang lebih ramai menjadi penghuni neraka.”

Seorang wanita yang cukup pintar di antara mereka bertanya: “Wahai Rasulullah, kenapa kami kaum wanita yang lebih ramai menjadi penghuni neraka?”

Rasulullah bersabda: “Kamu banyak mengutuk dan mengingkari suami. Aku tidak melihat mereka yang kekurangan akal dan agama yang lebih menguasai pemilik akal, daripada golongan kamu. “

Wanita itu bertanya lagi: “Wahai Rasulullah! Apakah maksud kekurangan akal dan agama itu? “Rasulullah bersabda maksudnya: “Maksud kekurangan akal ialah penyaksian dua orang wanita sama dengan penyaksian seorang lelaki.

“Inilah yang dikatakan kekurangan akal. Begitu juga wanita tidak mendirikan sembahyang pada malam-malam yang dilaluinya kemudian berbuka pada bulan Ramadan kerana haid. Maka inilah yang dikatakan kekurangan agama.”

Dalam hadis lain, dari Ali bin Abi Talib: Aku dengar Rasulullah bersabda maksudnya: “Tiga golongan dari umatku akan mengisi neraka jahanam selama tujuh kali umur dunia. Mereka adalah:

1. Orang yang gemuk tapi kurus
2. Orang yang berpakaian tetapi telanjang
3. Orang yang alim tapi jahil


Berdasarkan hadis di atas, jelaslah bahawa tiga golongan manusia yang akan menerima seksaan di neraka jahanam selama tujuh kali umur dunia.

Hanya Allah yang Maha Mengetahui berapa juta tahun umur dunia ini daripada mula penciptaannya sehingga berlaku hari kiamat. Huraian untuk tiga golongan itu adalah seperti berikut:

Pertama, orang yang gemuk tapi kurus. Mereka ialah wanita yang sihat tubuh badannya tetapi kurang ibadat. Kenapakah wanita dikatakan kurang beribadat? Ramai wanita yang meninggalkan solat terutama di akhir haidnya.

Wanita kurang mengambil perhatian sebahagiannya tidak begitu prihatin. Contohnya, wanita yang bekerja di pejabat, apabila habis darah haidnya jam 3 petang biasanya mereka tidak akan mandi hadas di pejabat dan hanya mandi apabila pulang ke rumah.

Hakikat sebenarnya, dia sudah meninggalkan solat fardu wajib. Wanita juga tidak mengambil berat bab solat ketika kesibukan majlis kenduri-kendara.

Begitu juga dengan puasa Ramadan yang ditinggalkan semasa haid atau nifas, apabila melebihi tahun berikutnya, di samping puasa wajib dibayar dan dikenakan fidyah tetapi ramai wanita tidak mengambil berat fidyah yang wajib ditunaikan.

Sebahagian wanita yang berkemampuan masih menangguh kewajipan menunaikan fardu haji, dia lebih suka menghabiskan waktu cuti untuk melancong.

Kedua, orang yang berpakaian tetapi telanjang ialah wanita yang cukup pakaiannya tetapi tidak taat kepada agama. Di tafsirkan juga wanita yang sudah lengkap menutup aurat tetapi masih tidak taat pada agama seperti wanita yang sempurna menutup aurat tetapi kain pakaiannya masih nipis, jarang atau ketat sehingga menampakkan bentuk badan mereka dan menampakkan perhiasan di dada.

Mereka seolah-olah tiada berpakaian (bertelanjang). Sesuailah dengan hadis Nabi yang mengatakan wanita berpakaian seksi tidak mencium bau syurga. Rasulullah bersabda maksudnya: “Ada dua golongan penghuni neraka yang aku belum pernah melihatnya: Lelaki yang tangan mereka mengenggam cambuk yang mirip ekor sapi untuk memukul orang lain dan wanita-wanita yang berpakaian namun telanjang dan lenggang-lenggok. Kepalanya bergoyang-goyang seperti bonggol unta. Mereka itu tidak masuk syurga dan tidak pula mencium baunya. Padahal sesungguhnya bau syurga itu boleh tercium dari jarak sekian dan sekian.” (Hadis Riwayat Muslim).

Pada dasarnya, apa saja bentuk pakaian boleh dipakai, asalkan memenuhi syarat berikut:

1. Menutup seluruh tubuh kecuali wajah dan telapak tangan.
2. Tidak nipis dan jarang.
3. Longgar dan tidak memperlihatkan lekuk-lekuk dan bentuk tubuh (tidak ketat)
4. Bukan pakaian lelaki atau menyerupai pakaian lelaki.
5. Tidak berwarna-warni dan bermotif terlalu menjolok mata. Sebab pakaian yang menjolok mata akan mengundang perhatian kaum lelaki.


Ketiga, orang alim tapi jahil ialah golongan ulama yang menghalalkan perkara haram bagi kepentingan peribadi.

Syarat layak digelar ulama adalah takutkan Allah.

Seorang alim yang faqih sekalipun, namun apabila tidak ada takwa, di sisi Allah mereka tidak layak digelar ulama walaupun manusia seluruhnya memanggilnya ulama.

Takut kepada Allah bagi seorang ulama ada dalam beberapa hal antaranya, mengeluarkan pandangan atau fatwa benar-benar kerana Allah dan untuk kepentingan Islam, bukan pandangan atau fatwa kerana takutkan individu tertentu atau kelompok tertentu atau untuk menagih sesuatu habuan dari sesiapa.

Selain itu, takut kepada Allah bagi seorang ulama adalah sentiasa hidup dalam keadaan amanah kepada ilmu dengan cara beramal dengan ilmunya dan memperjuangkan kebenaran ilmu itu supaya manusia benar-benar menerimanya sebagai panduan kehidupan.

Sekiranya seseorang ulama itu sanggup menghalalkan diharamkan Allah atau mengharamkan sesuatu yang dihalalkan Allah atau membisu sahaja walaupun kemungkaran dilakukan oleh umarak di hadapan matanya, maka ulama seperti itu amat dibenci Allah.

Itulah yang dikatakan orang alim tetapi jahil. Marilah kita menginsafkan diri dan janganlah melakukan sesuatu yang mendatangkan dosa kepada Allah.

Buatlah amal soleh sebanyak-banyaknya semoga kita menjadi mukmin yang sentiasa diredai dan dirahmati Allah.

Kita diberi pilihan untuk memilih jalan yang lurus atau bengkok.

Jalan yang lurus adalah jalan ke syurga sedangkan jalan yang bengkok adalah jalan menuju ke neraka.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/05/03
`