Rabu,23 Julai 2014

Enam bulan masuk kelas

Oleh Norhadiani Baharom

JUMLAHNYA bukan sedikit. Lebih RM100,000 diperuntukkan penyanyi dan pelakon, Nas Adila Mohd Dan atau Adila, 26, untuk memulakan perniagaan studio, Nas Adila D’apple Studio Dance & Slimming Center yang kini beroperasi di Jalan Samudra Utara 11, Taman Samudra, Batu Caves, Selangor.

Nyata, jumlah itu satu pelaburan yang besar dan pastinya mengundang tanda tanya dari manakah dia memperoleh wang sebanyak itu sedangkan kalau diukur dari segi populariti, gadis mesra disapa Adila itu masih belum benar-benar kukuh menawan industri seni.

Barangkali orang sudah kenal namanya, namun Adila sendiri pernah mengakui kurang mendapat peluang. Lantas, segelintir pihak melontarkan pandangan sinis apakah perniagaan barunya itu ditaja pihak tertentu?

“Sebelum ini saya pernah buka perniagaan cuci kereta di Shah Alam dan selepas setahun beroperasi memang saya sangat berpuas hati dengan sambutan pelanggan.

Foto

Foto

Foto

Foto

Foto

“Bagaimanapun, perniagaan ini memerlukan fokus dan saya perlu berada di premis setiap masa memantau operasi yang dijalankan sedangkan jadual seni saya juga padat.

“Apabila tidak dipantau, timbul pula masalah misalnya berkaitan pekerja dan macam-macam lagi. Selepas berfikir panjang, saya mengambil keputusan untuk menutup perniagaan itu dan mencuba sesuatu yang baru lantaran minat berniaga membuatkan saya mahu terus mendalaminya.

“Kebetulan, saya dilantik sebagai duta D’Apple Fiber iaitu produk di bawah rangkaian jenama Dya D’Masha. Tanpa disangka-sangka, sambutan yang diberi cukup hangat sehingga pengeluar produk itu memberikan bonus kepada saya dan daripada hasil pendapatan itulah termasuk wang simpanan yang lain hasil daripada pendapatan menyanyi, mengacara dan berlakon, saya jadikan modal membuka studio ini.

“Justeru, segala kos RM100,000 yang dilaburkan untuk membuat pengubahsuaian studio ini 100 peratus duit saya sendiri, bukannya ditaja atau perkongsian dengan mana-mana pihak,” tegasnya.

Adila menambah, idea memperkenalkan konsep studio itu tercetus daripada pengalamannya sebagai pengguna D’Apple Fiber.

Gadis tinggi lampai ini percaya, mengambil makanan tambahan saja tidak cukup seandainya tidak mengamalkan senaman.

“Ada pelanggan bertanya pada saya berat badan mereka turun, tapi tidak banyak. Apabila ditanya adakah mereka menjaga pemakanan dan bersenam, nampaknya hal itu kurang dititikberatkan.

“Wanita harus faham, untuk memperoleh berat badan ideal secara cepat serta potongan badan yang menarik, mereka harus melakukan senaman. Bagaimanapun, kebanyakan rakyat Malaysia kurang rajin bersenam.

“Justeru, timbul idea untuk membuka studio tarian ini supaya pelanggan D’Apple Fiber mahupun bukan pelanggan dapat sama-sama menjalani kehidupan sihat dengan cara yang lebih menghiburkan berbanding senaman. Apa yang penting mereka mesti berpeluh.

“Selain menari, di sini juga saya menjual produk D’Apple Fiber serta terdapat rawatan melangsingkan badan. Perkhidmatan 3 dalam 1 ini iaitu menari, pengambilan makanan tambahan serta rawatan langsing dapat membantu wanita mendapatkan tubuh badan yang diinginkan.

“Ada beberapa jenis tarian. Selain tradisional dan poco-poco yang saya sendiri turun padang untuk mengajar kalau ada kelapangan. Studio ini juga menawarkan tunjuk ajar tarian pop dan salsa yang dikendalikan pereka tari terkenal,” katanya.

Bicaranya lagi, pendaftaran untuk dewasa cuma RM150 dan RM69 untuk kanak-kanak. Bayaran yuran setiap bulan cuma RM100 untuk dewasa dan RM40 (kanak-kanak) untuk lapan sesi.

Sempena pembukaan studio itu, pihaknya turut mengadakan promosi. Justeru, ini masa terbaik buat wanita dan lelaki yang ingin merasai keseronokan kelas tarian D’Apple Studio Dance.

Akui Adila lagi, dunia tarian tidak asing baginya kerana ibunya, Rashidah Hamid adalah bekas penari Kebudayaan Johor.

Bahkan, tahun lalu selama enam bulan dia mengikuti kelas tarian di bawah bimbingan Linda Jasmine untuk mewarnakan lagi persembahannya khususnya dalam menyampaikan lagu rancak.

Mengemas kini aktiviti seninya, jujur Adila, dia harus mendahulukan perniagaan yang baru bermula. Bagaimanapun, dia sudah merangka beberapa perancangan.

Baru saja selesai penggambaran drama 13 episod, Sedetik Lebih arahan Jurey Latiff untuk RTM, Adila membawa cabaran besar melakonkan watak wartawan meja jenayah, Liyana.

“Ini drama kedua saya selepas Opah. Sekadar mencuba, akhirnya saya jatuh cinta, apatah lagi lebih sebulan menjalani penggambaran Sedetik Lebih, hubungan saya dengan pelakon serta kru bagai sebuah keluarga.

“Saya putuskan, alang-alang sudah jatuh cinta apa salahnya saya terus menjadikan ia bidang kerjaya yang serius untuk masa depan.

“Menyentuh karakter saya menerusi drama ini, saya memegang watak Liyana yang bertugas sebagai wartawan di meja jenayah yang sering bekerjasama dengan seorang peguam lakonan Shafiq Bakri. Lama kelamaan mereka jatuh cinta.

“Sukar sebenarnya untuk menghidupkan watak ini lebih-lebih lagi babak menangis, selain wujud jurang antara karakter Liyana di rumah dan ketika bekerja. Di rumah, dia seorang anak yang manja sedangkan sewaktu bekerja, dia serius dan garang,” katanya.

Terdapat satu tawaran menantinya bulan ini. Adila berkata, dia bakal menjalinkan kerjasama dengan ‘rapper’ popular, Altimet tidak lama lagi.

“Sesudah siap projek ini barulah saya kembali fokus pada rakaman lagu solo. Ikutkan hati sebenarnya saya hampir mengalah apabila pelbagai usaha dilakukan untuk mengetengahkan karier nyanyian selalu tidak menjadi.

“Dua tahun lalu, saya pernah merakamkan single berjudul Bidadari Syurga ciptaan Koha dan Jay dipetik daripada album EP yang turut memuatkan lagu I Love You.

“Mencari formula segar sehingga ke Indonesia juga diharapkan dapat memberi sinar baru kepada nasib saya. Namun perancangan untuk melancarkan video muzik serentak dengan Bidadari Syurga hanya tinggal angan-angan apabila video muzik yang menelan belanja RM50,000 itu tidak menepati kehendak saya.

“Saya diperkenalkan kepada mereka oleh produser lagu Bidadari Syurga sendiri. Sebelum penggambaran dimulakan, saya minta ‘story board’ daripada pihak penerbitan, namun ada saja alasan mereka. Sudahnya apabila siap, hasilnya sangat mengecewakan.

“Memang tersangat kecewa tapi saya jadikan pengalaman ini pengajaran. Walaupun ada masanya saya hampir-hampir menyerah kalah, namun selepas berfikir panjang, saya menjadi bertambah kuat,” katanya.

Adila pernah muncul dengan dua album berkonsepkan irama tradisional sebelum ini, Kekasih Kerinduan (2004) dan Istana Janji (2006). Bagaimanapun, kedua-dua album berkenaan belum cukup kuat menyerlahkan kemampuan dirinya. Namun siapa tahu selepas ini Adila akan bangkit dengan semangat baru.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/05
`