Rabu,23 Julai 2014

Enam kali tunda periksa

Kuala Lumpur: Rata-rata pelajar Malaysia di Mesir yang sudah dibawa pulang berharap akan dapat kembali menyambung pengajian di negara itu apabila kembali terkawal dan tidak lagi berlaku pergolakan.

Penuntut tahun tiga Universiti Ain Shams, Nurul Sheila Fatin Zaidi, 21, yang sudah pulang ke tanah air berharap kerajaan mengambil inisiatif itu bagi manfaat pelajar kerana rata-rata mereka sudah selesa belajar di sana.


Katanya, dia tidak bersetuju dengan cadangan sesetengah pihak untuk menempatkan pelajar Mesir di universiti tempatan.

“Bukan bermaksud universiti tempatan tak bagus, tapi kami mahu menamatkan pengajian di Mesir kerana sudah selesa dengan sistem pembelajaran di sana. Kalau tukar di sini, banyak sistem pembelajaran yang terpaksa diubah.


“Biarlah kami teruskan pengajian di sana selepas keadaan aman. Walaupun lambat, tak apa yang penting kami mahu tamatkan pengajian,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.


Menurutnya, dia serta suami lega apabila dapat pulang ke tanah air walaupun terpaksa menunggu pesawat yang ditempah khas hampir 17 jam di Lapangan Terbang Kaherah.

Katanya, mereka berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan semua pihak yang terbabit membantu membawa pulang mereka dengan selamat.


Suaminya yang juga penuntut tahun tiga universiti sama, Muhammad Kamil Kamaruddin, 21, berkata sepanjang berada di Mesir pelbagai halangan terpaksa dihadapi sehingga peperiksaan terpaksa ditangguh enam kali.

Katanya, ia disebabkan faktor keselamatan pelajar dan beberapa masalah lain yang dihadapi universiti, namun berjaya menghabiskan peperiksaan pada Ramadan lalu.


“Ada juga sekali kami dikejutkan dengan berita daripada jiran mengenai kes tembak menembak berdekatan rumah kami hingga menyebabkan seorang wanita Mesir cedera. Pada waktu itu memang kami langsung tak keluar rumah.


“Hanya doa yang dipohon agar tidak berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/25