Evolusi muzik lebih besar

Evolusi muzik lebih besar

Oleh Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Kini, kesinambungan kejayaan program realiti terunggul yang menonjolkan kreativiti tanpa batasan diteruskan dengan sebuah lagi konsert muzik rock yang diberi nama Gig Triple Play.

Menampilkan juara pertama Versus iaitu Hujan, Bunkface dan Nidji dari Indonesia, Gig Triple Play akan berlangsung pada Sabtu, 30 Jun, jam 8.30 malam dan disiarkan secara langsung menerusi stesen TV nombor dua negara, TV9 (Saluran 119).

Pengurus Besar TV9, Sherina Nordin berkata, kejayaan dan penerimaan positif pada Versus membuktikan bahawa Malaysia sudah bersedia untuk evolusi muzik yang lebih besar.

“Kami tampilkan Gig Triple Play sebagai platform untuk meletakkan ketiga-tiga kumpulan ini di tahap sama. Uniknya, konsert ini menyatukan tiga kumpulan berbeza genre muzik rock yang berasal dari 2 negara (Malaysia dan Indonesia) di mana mereka akan menunjukkan kreativiti masing-masing di atas satu pentas.

“Bunkface dengan muzik Pop Punk & Punk Rock, Hujan dengan muzik rock alternatif dan Nidji pula cenderung pada pop alternatif. Variasi muzik rock yang diketengahkan ketiga-tiga bakat ini akan memberikan kelainan dalam pengisian konsert ini. Lebih hebat lagi apabila mereka turut akan ‘shuffle’ atau mempersembahkan lagu dari kedua-dua kumpulan lain.

“Lebih daripada itu, penganjuran konsert ini juga adalah untuk meraikan ulang tahun keenam TV9, di samping memberi penghargaan kepada penonton setia kami yang sentiasa menyokong kami.

“Buat pertama kalinya, TV9 akan memberi peluang kepada penonton setia kami yang juga peminat tegar ketiga-tiga kumpulan ini, untuk menentukan playlist atau senarai lagu konsert ini,” katanya.

Melihatkan latar belakang ketiga-tiga kumpulan ini, kesemuanya mempunyai kekuatan tersendiri bagi menarik 1,000 peminat untuk hadir menyaksikan Gig Triple Play yang akan berlangsung di KL Live.

Kumpulan Hujan yang dianggotai Noh, Dimas, Izzat, AG dan Am, mula dikenali ramai sejak ditubuhkan pada 2006. Alunan muzik mereka diberi penghargaan apabila meraih Anugerah Industri Muzik 2009 (AIM 2009) menerusi ‘Album Terbaik Hujan’ dan ‘Lagu Rock Terbaik’ ‘Bila Aku Sudah Tiada.’ Malahan, Hujan turut mempunyai peminat setia yang menggelarkan diri mereka Raingers.

Bunkface pula diterajui tiga anak muda berbakat besar iaitu Sam, Youk dan Pa’an. Mereka banyak menghasilkan lagu-lagu bergenre pop punk dan punk rock.

Kumpulan ini dibentuk pada 2005 dan sudah memenangi beberapa anugerah seperti ‘Anugerah Bintang Popular 2009’ (ABP 2009) dalam kategori ‘Penyanyi Duo/Kumpulan Popular,’ ‘Anugerah Shout! 2009’ bagi kategori ‘Break Out Award’, ‘Rockstar Award’ dan ‘The Ultimate Shout Award’ serta ‘Anugerah Shout! 2010’ bagi kategori ‘Rockstar Award’ dan ‘Music Video Award’.

Manakala Nidji dianggotai Giring (vokal), Rama dan Ariel (gitar), Adri (dram), Andro (bass) dan Run-D (keyboard). Mereka sudah bersedia untuk berkongsi pentas dengan dua kumpulan hebat tanah air, Bunkface dan Hujan, demi meraikan muzik dan kreativiti tanpa batasan.

Nidji yang popular menerusi lagu Laksar Pelangi bukan saja dikenali di Indonesia dan Malaysia, bahkan turut dikenali di Jepun, Hong Kong dan Amerika Syarikat. Mereka begitu berbesar hati untuk berkongsi kreativiti dan seterusnya menghiburkan komuniti Nidjiholic di Malaysia.

Tiket-tiket eksklusif konsert ini hanya boleh didapati menerusi peraduan yang dianjurkan di laman web rasmi dan laman sosial media iaitu Twitter dan Facebook TV9.

Selain itu, ia juga boleh dimenangi melalui peraduan yang akan dianjurkan komuniti peminat Bunkface, Hujan dan Nidji serta melalui radio rasmi Hot FM.

Hot FM yang turut bertindak sebagai geng radio Gig Triple Play akan mempromosikan konsert ini melalui corong radio serta memberi peluang kepada pendengar setia mereka untuk memenangi tiket-tiket eksklusif melalui peraduan dan Hot FM Zoomers.

Sementara itu, Harian Metro tidak ketinggalan turut bekerjasama dengan TV9 apabila menawarkan 50 tiket percuma kepada peminat bagi menonton Gig Triple Play.

Untuk mendapatkan sekeping tiket percuma, pembaca hanya perlu membawa keratan asal artikel ini dan menukarnya di balai pengawal Sri Pentas, Bandar Utama. Penukaran hanya dibuat pada hari ini (Khamis) bermula jam 11 tengahari hingga 2 petang.

Sebarang maklumat lanjut boleh dibuat dengan melayari laman web rasmi www.tv9.com.my/gigtripleplay dan di laman twitter @tv9malaysia melalui #gigtripleplay.