Khamis,21 Ogos 2014

Federer kempunan, Nadal mara

New York: Roger Federer tersingkir pada pusingan keempat Terbuka AS semalam manakala Rafael Nadal merakam kemenangan ke-19 berturut-turut di gelanggang keras sebelum mara ke suku akhir tanpa membenarkan lawan merampas servisnya.

Federer mengalami kejutan besar di tangan pilihan ke-19 dari Sepanyol, Tommy Robredo, dengan kemenangan 7-6 (7/3), 6-3, 6-4 itu adalah yang pertama dicatatnya dalam 11 perlawanan menentang juara 17 Grand Slam itu yang juga pemenang Terbuka AS lima kali.


“Saya kalah kerana kesilapan sendiri,” kata Federer. “Terpulang kepada saya untuk melakukan perubahan tapi gagal.

“Saya menghancurkan diri sendiri, sesuatu yang amat mengecewakan. Apabila berada di saat genting saya tidak mampu melakukannya. Ia amat menyedihkan.” Kegagalan Federer, yang hadir selepas tewas mengejut pada pusingan kedua Wimbledon, menafikan potensi pertembungan suku akhir dengan juara 12 Grand Slam, Nadal bagi pertembungan sulung di gelanggang keras New York.


“Jika saya bermain seperti ini, saya tidak mungkin mampu menundukkan Rafa,” kata Federer.


Ini tahun pertama sejak 2002 Federer tidak layak ke final acara Grand Slam.

Sebaliknya, ia adalah suku akhir pertama buat Robredo pada Terbuka AS menentang pilihan kedua dan rakan senegara Nadal, yang menyingkirkan pilihan ke-22 dari Jerman, Philipp Kohlschreiber 6-7 (4/7), 6-4, 6-3, 6-1.


“Ia keadaan yang amat sukar, terlalu panas dan berbahang. Saya banyak berpeluh,” kata Nadal. “Namun lawan saya hebat. Mungkin saya bernasib baik mara.” Nadal menang semua enam pertemuan dengan Robredo namun Federer mendahului 10-0 menentang Robredo sebelum disingkirkan.

“Dia pasti hadir dengan keyakinan tinggi,” kata Nadal. “Saya harap mampu bersedia dengan baik.” Pilihan keempat dari Sepanyol, David Ferrer layak ke suku akhir Grand Slam kali kelapan berturut-turut apabila mengalahkan pilihan ke-18 dari Serbia, Janko Tipsarevic 7-6 (7/2), 3-6, 7-5, 7-6 (7/3). - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/04
`