Rabu,24 September 2014

Filem penuh kasih sayang

Hari ini bukan senang mencari filem bertemakan kasih sayang kekeluargaan dan sesuai ditonton seisi famili. Lambakan filem aksi yang ganas, hantu dan berorientasikan seks masih bersarang di pawagam dan ia lebih sesuai untuk mereka yang baligh.

Bagaimanapun, ketika ini muncul sebuah karya yang saya kira sesuai untuk ditonton ayah, ibu dan anak-anak. Mungkin anda sudah mendengar filem The Impossible dan itulah filem yang saya maksudkan.

Kerana yakin dengan nilai kasih sayang dan kekeluargaan yang sangat tinggi, saya terus mencadangkan kakak saya agar pergi menonton filem itu bersama suami dan anak-anak mereka di pawagam kelmarin. Kali terakhir mereka ke pawagam adalah demi Ombak Rindu. Malah ibu saya turut dibawa sekali menonton The Impossible. Hmm... “not bad” kata saya dalam status Facebook (fb).

Bukannya dekat, mereka sanggup memandu kenderaan dari Alor Setar ke Pulau Pinang untuk menonton kerana kebetulan, selepas menonton, mereka hendak makan Nasi Kandar Line Clear yang terletak di bucu Penang Road. Jangan tak tahu, itulah juga nasi kandar kegemaran Allahyarham Tan Sri P Ramlee.


Selepas menonton filem itu, saya terus telefon bertanyakan komen mereka. Ibu saya berkata, dia sangat belas dan gerun menonton filem itu dan kakak pula berkata setiap famili harus menonton filem itu kerana mesej kasih sayangnya sangat kuat. Kata mereka, memang berbaloi mereka mendengar cadangan saya dan ‘mengembara’ agak jauh untuk pergi menonton wayang bersama-sama pada hujung minggu.


Sabtu lalu, ruangan Soseh-Soseh di akhbar ini juga menyiarkan cerita pelakon Tam Suhaimi menangis beberapa kali sepanjang menonton The Impossible. Saya kira itu menarik kerana sebagai pelakon Tam si kaki wayang itu memang sangat cerewet. Kadangkala kalau orang serius, dia akan ketawa kerana ada saja benda yang dia nampak. Maklumlah mata anak wayang lain daripada kita orang biasa dan selalu jugalah Astro Awani menjemput Tam mengulas mengenai filem Hollywood.

Namun saya difahamkan, emosi Tam tersentuh dengan The Impossible kerana itu adalah berdasarkan kejadian benar tatkala tsunami melanda Asia pada Boxing Day, 26 Disember 2004.

Dari segi kesan psikologi, apabila kita menonton sebuah filem yang digarap daripada kisah benar, minda dan pemikiran kita akan lebih tersentuh dengan apa yang kita tonton. Kita akan lebih gerun membayangkan bagaimana kalau kita berada di tempat mereka.

Walaupun ia masih filem cereka lakonan semula namun dasarnya kita sendiri tahu, itulah bencana alam yang benar-benar pernah terjadi dan menggemparkan dunia pada 2004.

Ini berbeza dengan filem bencana fantasi seperti 2012 contohnya kerana kita tahu itu hanyalah khayalan semata-mata. Cerita begitu memang nampak megah dari sudut ‘special effects’ namun lama kelamaan ia semakin menjadi mengarut dan melalut.

Namun demikian The Impossible lakonan Naomi Watts, Ewan McGregor bersama pelakon kanak-kanak yang menjadi anak-anak mereka, Tom Holland, Samuel Joslin dan Oaklee Pendergast, diikat dengan skrip yang baik dengan latar kisah bencana alam yang semua orang sedia maklum. Lebih menarik, mereka melakonkan watak sebuah keluarga berbangsa Sepanyol yang terselamat daripada ombak maut itu.

Malah bagi mereka yang sudah menonton filem ini tentu akan terpikat satu watak pembantu, seorang kanak-kanak yang namanya Daniel. Dia cuma muncul dalam dua tiga babak saja tetapi kesannya, saya tetap ingatkan babak Daniel yang sangat bersahaja.


Terkenang karya Jamil Sulong

Bila agaknya kali terakhir kita menghasilkan filem yang menonjolkan limpahan kasih sayang anak-anak yang agung terhadap adik-beradik mahupun ibu bapa mereka?

Penghasilannya mungkin ada namun tidak ada satu pun karya sebegitu pada zaman ini yang benar-benar melekat dalam pemikiran saya kecuali karya lama seperti Lela Manja, Sayang Anakku Sayang, Dia Ibuku dan Ranjau Sepanjang Jalan.

Usah lupa daripada empat filem yang saya sebutkan itu, tiga daripadanya adalah arahan Pak Jamil Sulong dan satu lagi, Yassin Salleh. Memang hebat Pak Jamil. Nampak di sini pengarah dulu-dulu lebih hebat dan kreatif berbanding berbanding pengarah sekarang dari sudut memancing penceritaan.

Bagi saya, The Impossible sendiri membuka semula minda saya terhadap genre filem-filem kita. Saya sedar keadaan di Acheh lebih teruk daripada yang berlaku di Khao Lak. Namun Hollywood tentunya akan mengangkat watak dari Barat kerana dengan itu ia akan memudahkan mereka membuat pemilihan pelakon atau ‘casting’. Mungkin lebih ramai mat salleh berada di Thailand berbanding di Acheh.

Nampak benar lakonan Naomi Watts memang berkesan dengan tanpa calitan mekap dan kalau disolek pun, wajah dan tubuhnya penuh dengan kesan luka, calar dan bengkak-bengkak. Ini tidak seperti mana kita melihat dia pernah memberahikan King Kong di tangan Peter Jackson.

Tidak hairanlah Naomi akhirnya menerima pencalonan Oscar akan datang atas tiket The Impossible bagi kategori Aktres Terbaik. Menang kalah kata orang belakang kira kerana dalam konteks Academy Awards, dicalonkan pun sudah dikira menang.

Kita haruslah ingat kuasa membeli tiket wayang bukannya hanya terletak kepada pelajar kolej, pasangan yang sedang khayal bercinta, mat rempit, ‘gangster’ dan golongan pemuja hantu semata-mata. Kenapa kita selalu terlepas pandang kepada golongan yang sebenarnya lebih daripada mampu membeli tiket sekiranya tema dan jalan cerita itu bersifat global dan relevan dengan keluarga?

Inilah antara perkara yang perlu difikirkan pengkarya filem kita dan kemudian baru bercakap mengenai kenapa filem mereka tidak laku daripada menyalahkan itu dan ini -- slen28@gmail.com/ roslenmetro@yahoo.com.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/20
`