Ahad,13 Julai 2014

Fokus senjata Gelombang FC ‘A’

Oleh Mohd Rafi Mamat

PENGALAMAN menjadi kelebihan kepada Gelombang FC ‘A’ untuk muncul juara Kejohanan Futsal Terbuka Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Wilayah Kuantan di Kuantan Futsal Centre, Kampung Tiram, Kuantan.

Pada perlawanan akhir, skuad dari Terengganu itu menewaskan Court Soccer dari Kuala Lumpur 5-4 untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dan Piala Presiden MBFM manakala Court Soccer (RM2,000). FF Team dan dan UD Team, masing-masing menerima RM1,000. Pada saingan akhir Gelombang FC ‘A’ yang diperkuat tiga bekas pemain futsal Felda United, Mohd Shafily Jusoh, Zulkarnai Abd Majid dan Amir Shafik Zaini mendahului lawan 4-1 pada babak pertama.


Kebangkitan lawan terserlah di hujung babak kedua apabila merapatkan jurang dengan menghasilkan tiga gol dalam masa tujuh minit namun belum mencukupi untuk menyaingi lawan.

Kapten Gelombang FC ‘A’, Mohd Shafily berkata, pengalaman luas dan kesungguhan menjadi kelebihan mereka muncul juara kali ini. “Tidak dinafikan saingan sengit sepanjang kejohanan ini memaksa kami memberikan sepenuh tumpuan terhadap setiap perlawanan,” katanya yang menjuarai Kejohanan Futsal Giant di Kuala Lumpur bulan lalu.


“Saya puas hati dengan kejayaan kedua ini walaupun hanya membabitkan 60 pasukan namun kemeriahan dan saingannya begitu sengit. Kejayaan ini menjadi pembakar semangat kami untuk berusaha lebih gigih bagi kejayaan akan datang,” katanya.


Menurutnya, sepanjang tahun lalu Gelombang FC ‘A’ menyertai lebih 20 kejohanan di seluruh negara termasuk pernah melangkah ke suku akhir Grand Final Futsal Harian Metro.

Hadiah disampaikan Presiden MBFM, Anuar Abd Manap. Turut hadir Pengerusi MBFM Wilayah Kuantan, Mohd Sharim Md Zin.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/02/15
`