STATISTIK terkini yang dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menunjukkan pelanggan telefon bimbit di negara ini berjumlah 30.3 juta pada akhir tahun lalu dengan kadar penembusan sebanyak 106.2 peratus.
Sayangnya, ia turut mengundang jenayah siber yang cuba mengeksploitasi kemudahan terbabit untuk kepentingan kewangan dengan menghantar SMS palsu atau menipu menggunakan SMS yang dikirim kepada pengguna.
Lebih membimbangkan, masih ramai pula pengguna yang terpedaya berikutan kurangnya kesedaran mengenai masalah ini atau rambang mata dengan tawaran hadiah palsu mengujakan dihantar penyamun digital itu.
Mungkin anda pernah menerima SMS seperti disenaraikan di bawah. Antaranya ialah:
Senarai terbabit antara SMS yang tidak sah dan cuba mengaburi mata pengguna untuk membalasnya.
Malah, terdapat pengguna kehilangan kredit prabayar sebaik membalas SMS yang diterima mereka.
Salah satu teknik penipuan SMS dilakukan menerusi taktik 'hoax' yang mana penghantar SMS dengan sengaja menipu penerima agar percaya kepada sesuatu yang nyata padahal sebenarnya ia hanya khayalan semata-mata.
SMS hoax dilakukan menggunakan mesej sebenar, tetapi menipu dalam konteks atau perkataan yang dimuatkan dalam SMS terbabit.
Contohnya, pengguna akan menerima SMS yang meminta mereka menghantar maklumat kepada 10 orang lain bagi menerima ganjaran tertentu yang langsung tidak wujud.
Masalah penipuan SMS melalui taktik hoax tidak tertumpu di negara ini semata-mata, malah ia tersebar meluas di seluruh dunia terutama selepas peningkatan penggunaan telefon bimbit di kalangan masyarakat.
Gergasi telekomunikasi Australia, Telstra misalnya mengingatkan pengguna agar berhati-hati dengan mesej dalam SMS yang menjanjikan penghantaran SMS percuma kepada pelanggan mereka.
Ia berikutan gejala penghantaran e-mel palsu secara besar-besaran yang memberitahu penerima bahawa mereka akan menerima SMS percuma selama satu bulan sebagai ganjaran untuk menyampaikan mesej kepada lapan orang lain.
Malah tahun lalu, penipuan serupa berlaku di Vietnam apabila ribuan pelanggan sebuah syarikat telekomunikasi menerima SMS yang memberi harapan palsu bagi menerima 90 dong (mata wang Vietnam).
SMS hoax itu mirip dengan sejumlah e-mel hoax termasuk Siemens Giveaway Hoax yang meminta orang ramai meneruskan penghantaran e-mel kepada lapan orang untuk mendapatkan telefon Siemens baru pada suatu ketika dulu.
Satu lagi taktik menggunakan yang sering dikaitkan dengan jenayah SMS dihasilkan melalui kejuruteraan sosial yang menyamai teknik 'Phishing' iaitu 'Smishing'.
Untuk makluman, Smishing diringkaskan daripada perkataan 'SMS phishing' yang dihantar kepada pengguna.
Seperti phishing, smishing menggunakan SMS pada telefon bimbit untuk memancing pengguna mendedahkan maklumat peribadi mereka bertujuan memerangkap individu yang tidak arif mengenai teknologi.
Kaedah yang digunakan untuk benar-benar 'menangkap' maklumat pengguna atau menghubungkan SMS yang dibuka ke laman web tertentu secara automatik sebelum 'mengorek' data pengguna.
Menyedari penipuan SMS masih belum berhenti dan semakin berleluasa di negara ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memulakan langkah tegas yang bertujuan mengekang penyebaran SMS palsu.
Kajian terbaru yang dikeluarkan Forum Pengguna Malaysia (CFM) menunjukkan SMS tidak dilanggan menguasai 69 peratus daripada sejumlah 97 aduan yang diterima berhubung penyalahgunaan SMS pada 2009.
Manakala penipuan SMS mencatatkan angka 13 peratus selain SMS tidak diundang serta SMS promosi masing-masing sebanyak tujuh peratus.
Lebih membimbangkan, jumlah purata bulanan kes sedemikian mencatatkan peningkatan 100 peratus dari lapan kes sebulan tahun lalu kepada 16 kes sebulan tahun ini.
CFM mendedahkan, pemantauan SMS meliputi mesej tidak dilanggan yang menawarkan pindah turun video lucah, mempromosikan ubat kuat seks lelaki, makluman memenangi sesuatu serta promosi menarik pindah turun masa berbual dengan menawarkan kredit masa berbual serta SMS yang bersifat samar-samar.
Selain itu, CFM turut mengesan SMS yang mempromosikan perkhidmatan pindah turun dengan caj tersembunyi dalam kebanyakan SMS biasa yang tidak diundang.
Tahun lalu, CFM menerima sejumlah 1,331 aduan tahun lalu di seluruh negara.
Mulai Julai ini, penyedia perkhidmatan aplikasi dan kandungan tidak akan terlepas jika mereka didapati bersalah menyalahgunakan teknologi SMS.
Menurut Pengarah Jabatan Pematuhan SKMM, Sharizan Abdul Aziz, tindakan undang-undang akan diambil ke atas syarikat terbabit sebaik saja Akta (Pindaan) Komunikasi dan Multimedia dikuatkuasakan.
"Buat masa ini, kami mendapati terdapat syarikat kecil yang menyalahgunakan perkhidmatan SMS," katanya.
Beliau memaklumkan, antara hukuman dikenakan termasuk penjara yang mampu menjadi pencegah kepada syarikat kecil selain kemungkinan berhadapan dengan penutupan perniagaan.
"Tindakan tegas dilakukan turut menjejaskan reputasi syarikat terutama syarikat penyenaraian awam yang mungkin kehilangan keyakinan di kalangan pemegang saham dan pelabur mereka," katanya.
Sharizan turut menasihatkan masyarakat agar lebih bijak menjadi pengguna dengan meneliti maklumat SMS diterima dan tidak mempercayainya bulat-bulat.
Bagi syarikat telekomunikasi pula, mereka mengambil langkah berjaga-jaga dengan memaklumkan kepada pengguna mengenai penipuan yang kerap berlaku di talian masing-masing.
Celcom Axiata Berhad (Celcom) menasihatkan ingin pelanggan untuk berhati-hati serta mengabaikan SMS yang menjanjikan ganjaran dan hadiah wang tunai.
Terdapat SMS yang menggunakan nama syarikat terbabit untuk mengaut keuntungan dan Celcom menyarankan pengguna tidak membalas SMS diterima seperti:
Dalam kenyataannya, Celcom mengingatkan pelanggan mereka untuk tidak melayan sebarang SMS yang menjanjikan wang tunai sebagai hadiah selain mengabaikan nombor telefon antarabangsa bermula dengan 00xxxxxxxxxxx.
Hanya SMS dari Celcom 12302 atau Xpax saja yang digunakan secara rasmi manakala pengguna yang mendapat SMS meragukan perlu menghubungi perkhidmatan pelanggan di talian 1-300-111-000.
Maxis Berhad (Maxis) pula melancarkan kempen 'Do Not Disturb' yang mengutamakan privasi pelanggan bagi menangani SMS 'Spam' yang diterima.
Syarikat terbabit memasang aplikasi Anti-Spam pada platform mereka yang bertindak sebagai 'firewall' menghalang spam berdasarkan kata kunci pengenalan.
Setiap aduan daripada pelanggan akan diselidiki dan berdasarkan penemuan kata kunci dari SMS spam terbabit, ia akan disekat daripada mengakses telefon pelanggan Maxis pada masa depan.
Menurut kenyataan Maxis, SMS Spam yang tidak dikenali biasanya bermesejkan pemasaran atau menawarkan hadiah wang palsu.
SMS spam akan dihantar keluar kepada ribuan pelanggan pada waktu tertentu.
Dalam kebanyakan kes, SMS spam akan dihantar tanpa kelulusan daripada salah satu pelanggan atau pembekal seperti mesej di bawah:
DiGi Telecommunications Sdn Bhd (DiGi) pula menyenaraikan SMS yang dikategorikan palsu mengaitkan nama syarikat telekomunikasi itu untuk mendapatkan keuntungan. Antaranya:
DiGi menasihatkan pengguna agar mengabaikan sebarang SMS yang menjanjikan hadiah wang tunai atau sebarang hadiah dari sumber tidak diketahui.
Ketua Perkhidmatan Pelanggannya, Christina Ng, mengatakan mesej terbabit tidak dihantar DiGi dan menyarankan pelanggan untuk melaporkan dan memadam mesej yang diterima.
"DiGi tidak mengiktiraf surat berantai dengan gaya mesej spam ini. Kami berharap pelanggan kami tidak mudah tertipu," katanya.
Ng menambah, pelanggan DiGi boleh menghubungi perkhidmatan pelanggan di talian 016-2211800 atau www.digi.com.my untuk mengesahkan dan melaporkan mesej mencurigakan yang diterima.
Bank Negara Malaysia (BNM) pula meminta orang ramai berwaspada apabila menerima SMS yang mendakwa dari BNM atau mana-mana bank perdagangan.
"BNM tidak pernah meminta sebarang maklumat perbankan peribadi daripada orang ramai sama ada melalui SMS mahupun panggilan telefon.
"Berdasarkan aduan yang diterima BNM kebelakangan ini, terdapat peningkatan kejadian panggilan telefon atau SMS palsu kepada orang ramai yang tidak mengetahui kegiatan ini bagi mendapatkan maklumat perbankan peribadi mereka dengan tujuan mengambil wang akaun mangsa," katanya.
Orang ramai yang menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan tawaran hadiah lumayan diminta melaporkan segera ke Jabatan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Siber Malaysia (MyCERT) di talian 03-89926969 atau SMS 019-2813801.
Untuk menghindari penipuan SMS, anda harus berhati-hati mendedahkan nombor telefon anda walau di mana anda berada.
Apabila anda mengisi borang pendaftaran, pastikan membaca syarat dan terma sebelum mendedahkan nombor telefon anda.
Sebahagian besar syarikat terkemuka dan perkhidmatan rasmi akan meminta izin untuk mendedahkan butiran anda kepada pihak ketiga untuk tujuan pemasaran.
Meskipun banyak pihak mengambil langkah berjaga-jaga dalam menangani masalah penipuan SMS ini, pengguna sendiri perlu mengambil langkah bijak dengan menyelidik SMS yang diterima selain memastikan keselamatan nombor telefon anda.