Rabu,23 Julai 2014

Gusar bila jauh

Oleh NURUL HALIFAH HAMIRUDDIN

Cinta jarak jauh ini memang sangat mencabar terutama apabila ramai di luar sana yang lebih cantik dan bergaya pasti akan ada sedikit perasaan goyah di dalam hati. NURUL HALIFAH HAMIRUDDIN ingin merungkai dan berkongsi kisah cinta jarak jauh ini dengan mereka yang berpengalaman.

Apabila berjauhan pasti perasaan rindu menebal dan apa yang dilakukan seharian serba tidak kena. Terutama apabila jarak memisahkan kalian dengan pasangan dan hanya kesetiaan dan kepercayaan yang menemani agar diri tidak berterusan merindui.

Bayangkan waktu tidur juga terbayang-bayang wajah si dia seolah sedang bercakap, menari dan sedang bermain gitar dengan lunak suara, membuatkan perasaan seseorang itu membuai terutama bagi yang sedang hangat bercinta sehingga emak di dapur panggil pun tidak diendahkan.

Kata-kata indah yang pernah dilontarkan juga sering terngiang-ngiang di telinga dan nama seolah diseru oleh si dia yang dipuja itu terutama apabila tidak pernah berjauhan. Sebelum ini tempat berjumpa menjadi lambang cinta apabila melihat saja tempat pernah berkasih mesti hati terus teringat kepadanya. Kini jarak yang memisahkan anda dengan pasangan, seorang di selatan dan seorang lagi di barat.


Maklumlah nak berjumpa memang mustahil, tambahan pula pasangan berada di luar negara menyambung pengajian.


Cinta jarak jauh ini banyak dialami kepada mereka yang sedang bekerja atau belajar yang berlainan tempat, lalu menyebabkan mereka susah untuk berjumpa bagi melepaskan rindu. Namun awas apabila berjumpa, jangan berlebih-lebih pula, mesti sentiasa ingat dosa dan pahala serta haram dan halal.

Kes cinta jarak jauh ini memang biasa terjadi dalam kalangan masyarakat kita, ada yang berkahwin dan hubungan kekal sehingga nafas terakhir. Namun ada juga yang putus di tengah jalan, kekasih dirampas pihak ketiga, cinta beralih arah dan memilih perpisahan sebagai jalan penyelesaian.

Cinta jarak jauh menuntut kepercayaan yang tinggi dan kesetiaan haruslah ada dalam jiwa pasangan masing-masing kerana ia tidak mudah ditangani. Percaya kepada pasangan supaya tidak timbul isu cemburu buta apabila pasangan rapat dengan orang di sekelilingnya.

Bila rindu, apa yang harus kita lakukan? Adakah cara untuk mengubat rindu? Pelbagai tips yang penulis dengar dapat mengurangkan perasaan rindu kepada pasangan. Contohnya meletakkan gambar pasangan di bawah bantal agar si dia sentiasa ingatkan kita dan terbawa ke dalam mimpi.

Selain itu, sebelum meneroka ke dunia yang lain tetapkan harapan terhadap cinta yang terbina agar hubungan itu kekal dan mempunyai batasan dalam berkawan supaya tidak berlaku pergaduhan di antara anda dan pasangan.

Banyak kes perceraian dan putus cinta terjadi kerana tidak ada batasan dalam berkawan terutama apabila mempunyai pasangan yang kuat cemburu dan anda mestilah jujur dalam menjalinkan hubungan cinta ini dan tidak sesekali menipu apabila kantoi curang, barulah sibuk memujuk dia kembali, sesal pun tidak berguna.

Kebanyakan orang yang memutuskan hubungan juga menggunakan jarak sebagai alasan, padahal hati yang tidak kuat dalam menahan godaan orang lain. Ketika berjauhan juga air mata akan menjadi teman setia akibat rindu yang teramat sangat.

Tentu sekali perasaan akan begitu kuat sehingga membawa mati atau membutakan mata dengan menangis berhari-hari seperti Kassim Selamat dalam Ibu Mertuaku. Bukankah perlakuan begitu tidak wajar? Daripada meratapi si dia yang jauh, lebih baik anda banyak luangkan masa bersama teman-teman yang lain tetapi harus diingat mestilah setia dan jangan pernah terlintas di hati untuk curang.

Di samping itu, mereka yang bijak dalam berhubungan juga mengambil kesempatan apabila berjauhan untuk meluahkan perasaan yang terbuku di hati kerana bila dekat memang payah nak luahkan perasaan tetapi bila jauh pula, perasaan rindu itu mudah untuk diluahkan. Contohnya memberikan surat atau e-mel dengan kata-kata puisi cinta dan mengimbas kembali nostalgia lama ketika mula-mula bercinta barulah kasih sayang yang dibina lebih kukuh.

Ringkasnya di sini, jarak bukan penghalang anda untuk berhubung tetapi cara dan kurang memahami pasangan masing-masing menjadi penyebab utama. Tidak ada apa yang perlu digusar andai berjauhan cuma perlu lebih berikan komited terhadap pasangan agar dapat membina sebuah perhubungan yang sihat dan berkekalan.


Jujur dalam hubungan

"Sebagai seorang pelajar, memang banyak cabaran yang saya hadapi ketika menjalani hubungan cinta jarak jauh ini. Apabila ada hubungan cinta jarak jauh, setiap pasangan mestilah memahami antara satu sama lain dan saling bertolak ansur serta jujur dalam perhubungan.

"Bagi saya, jika pasangannya masih belajar mesti akan berlaku konflik teruk sehingga menyebabkan pergaduhan lalu hubungan yang terbina sejak bertahun-tahun akan putus juga.

"Pemikiran kekasih yang masih belajar dan bekerja lain. Komitmen yang diberikan juga berbeza antara satu sama lain, contohnya teman lelaki sudah bekerja dan teman wanita pula masih belajar, maka masa yang tidak menentu untuk mereka berjumpa.

"Sebagai pelajar, tugasan kuliah dan perbincangan kumpulan yang tidak menentu menyebabkan pasangan akan cuba curang dengan keluar bersama perempuan atau lelaki lain, mereka akan memberi alasan curang kerana kita tidak ada masa buatnya.

"Seharusnya hal kecil begini perlu dibawa berbincang dan pasangan masing-masing haruslah faham akan komitmen sebagai seorang pelajar yang kadang-kala sibuk dengan jadual kuliah yang tidak menentu.

"Ada juga di antara mereka yang belajar sehingga ke menara gading ini akan terfikir untuk mencari pasangan yang sama tahap di mana mempunyai pelajaran tinggi seperti dirinya, lalu mula berlaku curang dengan kekasih sendiri.

"Kadang-kadang masa yang terluang juga banyak dihabiskan bersama kawan-kawan dan tidak mempunyai masa untuk pasangan.

"Saya sendiri yang bercinta jarak jauh yang sudah hampir tujuh tahun ini mengamalkan petua iaitu apabila ternampak lelaki lain yang lebih kacak dan baik, saya akan berkata pada diri 'saya sudah ada pasangan dan lelaki dan perempuan itu adalah untuk orang lain'.

"Apabila saya selalu amalkan yang itu kepercayaan dan setia saya hanya buat kekasih saya seorang tanpa pernah curang terhadapnya dan bahagia sehingga kini dan mengharapkan hubungan yang terbina ini akan berakhir sehingga ke jenjang pelamin," katanya.

Nama: Siti Nursuhadah Mamat
Umur: 24 Tahun
Lokasi: Johor


Putus cinta bukan akhir cerita

"Saya pernah menjalinkan hubungan yang lama dengan bekas kekasih dan cinta jarak jauh saya akhirnya menemui kegagalan. Hal ini terjadi apabila pelbagai tohmahan yang saya terima daripada perempuan lain yang juga menaruh hati kepada kekasih saya.

"Selama perhubungan kami, saya memang seratus peratus percayakan dia yang akan setia dengan saya seorang, terutama apabila perwatakan dia yang baik dan warak itu membuat saya percaya bahawa dia tidak akan sesekali berlaku curang.

"Namun hati saya hancur apabila dia curang. Memang berbulan saya menangisi dan bersedih dengan keadaan itu terutama ketika itu saya ada peperiksaan akhir semester yang memerlukan saya memberikan lebih perhatian dalam mengulang kaji pelajaran.

"Ketika kejadian berlaku, saya baru saja keluar bersama dengannya tetapi saya berasa pelik apabila dia pulang agak lewat ke tempatnya di Kedah, yang memang memerlukan perjalanan yang jauh. Ketika itu hati saya berasa tidak selesa seperti ada perkara buruk yang bakal berlaku dan hari berikutnya teman lelaki berterus terang bahawa dia sudah punya kekasih baru. Memang pada dasarnya hubungan kami seolah seperti kawan, dia pernah menyatakan menyayangi saya seorang dalam hidupnya tetapi rupanya dia berhubungan dengan perempuan lain.

"Sebenarnya sudah banyak kali kes saya ditinggalkan sebelum ini, namun dengan kekasih yang ini memang saya berikan sepenuhnya buat dia dan mengharapkan dia menjadi suami, namun tidak kesampaian.

"Walaupun sering ditipu oleh bekas-bekas kekasih, ia tidak mematahkan semangat saya untuk meneruskan kehidupan kerana saya sentiasa ada keluarga dan rakan-rakan yang memberi dorongan serta nasihat untuk saya menjalani kehidupan seperti biasa.

"Sejak ditinggalkan, saya sentiasa mengamalkan surah Yassin dan amalan solat sunat agar saya diberikan petunjuk dan hidayah untuk mendapatkan seorang lelaki yang baik dan sekarang saya bahagia dengan insan lain dan kami bercadang untuk mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.

"Bagi saya, jangan meletakkan kepercayaan penuh kepada pasangan dan simpan sedikit perasaan curiga kerana kadang-kadang pasangan kita akan ada pelbagai cara untuk menipu.

"Tetapi jangan terlalu berlebihan sehingga merimaskan pasangan masing-masing dan jangan terlalu sayangkan pasangan sepenuh hati sebelum sah bergelar suami atau isteri supaya bila apa-apa perkara buruk terjadi, tidak kecewa separuh menonggeng nanti," katanya.

Nama: Noraniza Azmi
Umur: 23 Tahun
Lokasi: Selangor


Ramai yang tidak tahu pasangan sudah mengkhianati dan curang terhadap diri anda. Berikut tips untuk mengenali pasangan yang curang:-

a) Kurang berikan perhatian

Pada permulaan anda akan berasa perubahan terhadap diri pasangan. Misalnya tidak lagi berbalas mesej dan mencuba mencari kesalahan anda walaupun kesalahan yang anda lakukan itu tidaklah sebesar mana dan mula bertindak menengking serta berbual secara sinis dengan memperli dengan kata-kata menyakitkan hati.


b) Menghabiskan banyak masa di tempat kerja

Hal ini akan berlaku secara tiba-tiba dengan menghabiskan banyak masa di tempat kerja kemudian pulang lewat ke rumah. Ini sering terjadi kepada mereka yang sudah mendirikan rumah tangga. Tetapi janganlah berfikiran buruk terhadap mereka kerana mungkin benar mereka berkerja keras untuk beri kesenangan kepada anda. Sebelum membuat andaian buruk, siasat terlebih dulu untuk tahu perkara sebenar.


c) Bau

Setiap pasangan yang sudah berkahwin akan mengenali bau pasangan mereka dan jika ada terdapat perubahan pada bau pasangan anda perlu lebih berhati-hati.


d) Jawab panggilan telefon secara sembunyi

Sekiranya tiada perkara yang salah dilakukan, rasanya tidak perlu untuk pasangan menyembunyikan panggilan telefon mereka. Mereka harus berani untuk menjawab panggilan telefon di hadapan pasangan mereka. Ini adalah untuk mengelakkan rasa curiga. Keputusan untuk hidup berpasangan juga bermaksud bersedia untuk berkongsi segala masalah, rahsia dan sebagainya. Jadi tiada perkara yang perlu untuk dirahsiakan.


e) Layan internet sampai larut malam

Zaman serba canggih ini pelbagai cara boleh dilakukan untuk curang. Salah satunya adalah dengan menggunakan kemudahan internet. Sekiranya sebelum ini pasangan anda tidak menghabiskan masa berjam-jam di hadapan internet dan secara tiba-tiba mereka melayari internet sehingga tengah malam, anda perlu tahu apakah aktiviti yang mereka lakukan di dunia maya itu.


f) Bil bayaran yang luar biasa

Seorang yang cuba untuk curang pasti akan menghabiskan lebih banyak wang. Ini adalah kerana sebelum ini wang hanya diperuntukkan hanya untuk seorang, apabila diperuntukkan untuk dua orang sudah pasti perbelanjaan akan semakin meningkat. Hal ini sering terjadi kepada orang yang sudah berkahwin pasangan tidak akan mengurangkan perbelanjaan terhadap isteri pertama sebaliknya hanya mengekalkan perbelanjaan yang sedia ada, ini adalah untuk mengelakkan timbulnya perasaan curiga. Mereka akan cuba untuk belanjakan wang lebih banyak daripada menyimpan bagi menampung segala aktiviti mereka lakukan.


Tidak memakai cincin yang diberi

g) Kebanyakan orang yang bercinta akan memakai cincin sebagai tanda cinta. Cincin juga adalah satu 'sentimental value' untuk sesebuah pasangan. Boleh dikatakan kebanyakan lelaki akan cuba melihat cincin di jari wanita terlebih dulu sebelum memulakan agenda mereka. Kerana cincin melambangkan status empunya diri. Sekiranya pasangan anda sudah tidak memakai cincin yang anda berikan dan memberikan alasan yang samar-samar atau tidak kukuh mengapa mereka tidak memakainya, anda perlu mengesyaki sesuatu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/16
`