Selasa,02 September 2014

Hafiza intai gelaran

Kuala Lumpur: Selama empat tahun berada di Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, 2013 dilihat sebagai musim terbaik bagi Mohd Hafiza Rofa memburu gelaran utama dalam kariernya.

Pelumba Warner Pumps YSP yang mula menceburi Kejuaraan Cub Prix sejak 2010 seakan sukar digugat apabila kini sedang mendahului kategori Wira dengan rekod sempurna meraih hatrik daripada tiga pusingan.

Kejayaan mendominasi saingan kelas Wira membolehkan pelumba 17 tahun itu mendahului kedudukan dengan 75 mata maksimum, 35 mendahului pencabar terdekat, kedudukan yang dilihat agak selesa buat Hafiza ketika itu.

Jika dilihat pada usia, ini adalah tahun terakhir dia berpeluang untuk memburu takhta juara keseluruhan dalam kategori ini.


“Dia sebenarnya sudah lebih daripada bersedia untuk menyertai kelas CP115,” kata pengurus Warner Pumps YSP Lee Waye Siang.


Namun mereka memutuskan untuk Hafiza berada setahun lagi dalam kelas Wira bagi membolehkan dia meningkatkan keyakinan diri dan memperbaiki kemahiran asas sebelum beralih ke kelas lebih tinggi.

Sepanjang tiga tahun lalu Hafiza antara pencabar utama dan tidak pernah ketinggalan daripada menghiasi kedudukan podium Wira.

Cuma kelibatnya sering dibayangi kehandalan pelumba lain seperti Mohd Hafiz Nor Azman, Fakhrusy Shakirin Rostam, Zulsyafiz Rosli dan Mohd Adib Rosley.

Bermula dengan aksi cemerlang dalam perlumbaan satu pengeluar Cabaran Honda icon 2010 apanila dia menamatkan saingan di tangga kedua keseluruhan, Hafiza kemudiannya menyertai YSP dan menamatkan musim 2011 sebagai naib juara keseluruhan pada tahun pertama beraksi dalam kategori Wira.

Percaturan pasukan untuk menggunakan jentera Honda berbanding Yamaha pada 2012 sedikit menjejaskan aksi Hafiza apabila sekadar menamatkan musim keduanya dalam kategori Wira di tangga kelima keseluruhan.

Tahun ini YSP kembali memilih jentera Yamaha dan keserasian bersama jentera yang membawa gelaran naib juara pada 2011 jelas membantu Hafiza untuk kembali menguasai perlumbaan.

Kemenangan terbaru di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu selepas memenangi perlumbaan Pusingan 1 di Pulau Pinang dan Pusingan 2 di Melaka menjadi bukti.

“Kemenangan minggu ini amat bermakna untuk saya. Dengan jentera terbaik yang disediakan oleh pasukan, saya berjaya mendahului pelumba lain pada setiap sesi sehinggalah kepada pencapaian gelaran hatrik ini.

“Lebih manis kerana semua ini dicapai di halaman sendiri, di hadapan keluarga dan rakan yang hadir memberikan sokongan,” kata Hafiza.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/27
`