Isnin,22 September 2014

Haida aktif semula

Oleh Norhadiani Baharom

HAMPIR tidak kenal pada wajah ini. Berbanding kemunculannya sedekad yang lalu, penampilan baru wanita ini jauh lebih mengancam!

Masih belum dapat meneka siapakah gerangan wanita ini? Wajahnya pernah menghiasi klip video Zapin Usik Mengusik, dendangan bersama kumpulan Senario sekitar 1998 dulu.

Sekian lama lama menyepi, Noor Haida Mohd Idris atau memilih Haida sebagai nama pentasnya kembali untuk menggegarkan persada seni suara selepas hampir lapan tahun mengasingkan diri dari dunia glamor demi menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga.

Bertekad untuk kembali aktif, apatah lagi dirinya kini bukan lagi di bawah tanggungan suami apabila secara sah berpisah pada April 2011, Haida perlu mencari rezeki demi masa depannya.


Lantas, dunia nyanyian terus menjadi pilihan lantaran minat menyanyi sekian lama yang sekian terpahat dalam jiwa penyanyi berusia 31 tahun itu.


“Bukan tidak ada pekerjaan lain, cuma cinta saya pada bidang nyanyian tidak pernah padam sekalipun sedikit masa lalu kurang aktif.

“Memilih untuk kembali aktif menyanyi, bukan didorong kehendak diri saja malah ramai teman-teman dan mereka yang menyokong kerjaya seni saya sejak dulu bertanya bilakah saya mahu merakamkan album semula.

“Bukan syok sendiri, akan tetapi terfikir juga apa salahnya mencuba. Mana tahu, kemunculan kali ini lebih membawa sinar kerana dulu saya berkahwin muda dan tidak sempat untuk melihat kerjaya muzik berkembang,” katanya.

Haida menamatkan zaman bujang dengan bekas penerbit rancangan televisyen, Aminudin Yahya pada 2004 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Muhammad Al Hafiz Aminuddin, yang kini berusia tujuh tahun.

Tidak menafikan, ada yang cuba memperlekehkan usahanya bergiat aktif semula namun, Haida enggan melihat cemuhan itu sebagai pematah semangat.

Merencanakan sebuah single baru, Lima Tahun Saja, lagu ciptaan Panji, komposer dari seberang itu, diharap dapat menjadi sandaran untuk kembali dikenali. Tambahan pula, bukan sedikit pelaburan dilakukan dan ia menelan kos RM20,000.

“Saya sering mengikuti perkembangan Panji dan sudah lama memasang angan untuk bekerjasama dengannya. Saya sukakan karyanya yang mesra pendengar dan kebanyakan lagunya mendapat sambutan hangat.

“Untuk mendapatkan khidmatnya, saya melalui jalan sukar pada awalnya namun mujurlah dengan bantuan seorang kawan akhirnya saya dapat berhubung dengan Panji.

“Bermula awal tahun lalu kami banyak berbincang menerusi BBM. Saya juga ada menghantar rakaman suara dan kemudian barulah dia menghasilkan lagu bersesuaian dengan vokal saya.

“Sesudah lagu disiapkan, saya diminta terbang ke Bandung untuk menjalani rakaman di sana. Sejumlah wang yang besar saya laburkan untuk satu single ini iaitu RM20,000, tetapi mendengarkan semula hasilnya saya berpuas hati,” katanya menandatangani kontrak di bawah pengurusan Indigital Sdn Bhd selama tahun.

Ditemui di majlis rumah terbuka Indigital Sdn Bhd dan Cube Film di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya, Bangsar, baru-baru ini, hati wanitanya turut diselami apabila dilaporkan gagal mendapatkan hak penjagaan anak sebaliknya hak itu diserahkan kepada bekas suami.

Berasa sedih dengan ketetapan itu pada mulanya, namun dia akur kerana penting baginya mendahulukan perasaan anak berbanding dirinya sendiri.

“Saya yang mengandungkannya sembilan bulan sepuluh hari dan saya yang melalui kesakitan melahirkannya, sudah tentulah saya berasa terkesan apabila terpaksa berjauhan dengan anak.

“Tetapi perasaan saya tidak lagi penting, mengenangkan Hafiz rapat dengan ayahnya, saya berkorban. Lagipun, bekas suami tidak pernah menghalang saya bertemu Hafiz pada bila-bila yang saya suka.

“Yang penting, adalah kebahagiaan Hafiz dan saya yakin dia dalam keadaan yang baik di bawah penjagaan ayahnya. Sekiranya dia bahagia, saya pun turut berasa bahagia.

“Sebagai ibu saya tidak pernah lepas tangan dan memastikan segala keperluan Hafiz dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/21

Artikel Lain

`