Ahad,31 Ogos 2014

IPK Perak dapat ketua cemerlang

IPOH: Bekas Ketua Penolong Pengarah Latihan dan Kompetensi Polis Bukit Aman, Datuk A Paramasivam dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perak yang baru berkuat kuasa semalam.

Paramasivam menggantikan Datuk Zakaria Yusof yang akan menyandang jawatan Ketua Pusat Sains Pengurusan Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras.


Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, Paramasivam yang juga anak jati Ipoh cukup sinonim dengan pasukan PDRM Perak kerana pernah berkhidmat di negeri ini bermula sebagai pegawai penyiasat seterusnya menjawat Ketua Siasatan Jenayah Polis Perak. “Secara peribadi saya cukup mengenali beliau (Paramasivam) kerana pernah berkhidmat bersama di Selangor di mana saya menjawat Ketua Polis Daerah Shah Alam, sementara dia pula sebagai Ketua Polis Daerah Klang.

“Pelantikannya tepat memandangkan beliau bukan hanya mempunyai pengalaman luas, malah mempunyai kredibiliti tersendiri. Tidak dinafikan namanya cukup popular bukan hanya dikalangan anggota polis, malah cekap dalam membanteras jenayah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Perak bertempat di Mes Pegawai Kanan Polis Ipoh, di sini, semalam.


Katanya, cabaran PDRM kini bukan hanya menjaga keselamatan orang awam, malah tumpuan turut terarah kepada usaha mengurangkan kes jenayah.


“Kontinjen Perak mencatat penurunan kadar jenayah indeks sebanyak 14.2 peratus berbanding tahun lalu. Saya percaya kecemerlangan ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dengan bantuan daripada semua jabatan termasuk orang awam,” katanya.

Terdahulu, Mohd Shukri turut menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Ipoh dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.


Bekas Timbalan Ketua JSJK Bukit Aman, Asisten Komisioner Sum Chang Keong dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Ipoh menggantikan Asisten Komisioner Azisman Alias yang dilantik ke jawatan Ketua Unit Sains Kepolisian Maktab PDRM Cheras.

Sementara itu, bekas Ketua Unit Saham dan Komoditi JSJK Bukit Aman, Superintendan Maszely Minhat pula dilantik sebagai Ketua JSJK IPK Perak menggantikan Superintendan Amarjit Singh yang mengambil alih jawatan dikosongkan Maszely.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/04
`