Sabtu,02 Ogos 2014

Ibu dapat balik anak

Oleh Salman Hamat

PASIR GUDANG: “Saya serik meninggalkan Ashraf dengan orang lain, cukuplah terpisah selama setahun hingga hampir membuatkan saya hilang pertimbangan kerana terlalu rindu kepadanya,” kata Wanchak Ibrahim, 43, selepas dipertemukan semula dengan anaknya, Muhammad Ashraf Abdullah, berusia dua tahun selepas terpisah lebih setahun lalu.

Hasil kerjasama polis, Ashraf kini dikembalikan ke pangkuan ibu kandungnya selepas diserahkan sepasang suami isteri berusia 20-an dan 30-an dalam satu majlis ringkas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, di sini, Rabu lalu.

Wanchak yang berasal dari Singapura berkata, dia menitiskan air mata kerana terlalu gembira dapat memangku semula Ashraf walaupun kanak-kanak berkenaan agak kekok kerana tidak mengenali dirinya berikutan terpisah sejak berusia 11 bulan.

Sepanjang terpisah dengan anak bongsunya itu, dia hanya memeluk gambar dan tuala digunakan Ashraf untuk melepaskan rindu.


“Kerana hilang pertimbangan, ada kalanya saya keluar dari rumah untuk mencari Ashraf hingga ke pagi walaupun tahu usaha itu sia-sia.


“Bagaimanapun, sebagai ibu hanya itu yang mampu saya lakukan kerana terlalu rindukan anak saya.

“Selain itu, saya tidak lalu makan dan tidur, malah terfikir jika saya boleh pusing semula waktu pasti ia akan dilakukan kerana tidak mahu terpisah dengan Ashraf, tetapi semua itu mustahil.

“Kini, saya amat bersyukur kerana dapat bertemu semula dengannya,” katanya ketika ditemui di Pasir Gudang di sini, semalam.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/03/17
`