Ikim anjur kursus remaja

Ikim anjur kursus remaja



Pengarah Pusat Perundingan dan Latihannya, Siti Fatimah Abdul Rahman, berkata pelbagai tanggapan negatif yang dikaitkan dengan remaja kebelakangan ini mendorong pihaknya merangka program bercorak motivasi dan kaunseling dengan tumpuan khusus kepada peringkat umur berkenaan.


Katanya, sebagai agensi yang menyediakan alternatif kepada masyarakat untuk bersama-sama mencari jalan kepada kemelut sosial yang kian meruncing di kalangan remaja, Ikim mengadakan beberapa penyelidikan dan analisis bersepadu bagi menyediakan platform penyelesaian seperti disyorkan agama.


“Umum mengetahui zaman remaja adalah satu frasa kritikal untuk seseorang mencari jati diri serta hala tuju sebenar yang akan membentuk sahsiah ketika alam dewasa.


“Pada waktu inilah perlunya untuk kita memberi penekanan dari aspek moral dan akhlak untuk membimbing mereka ke arah sepatutnya,” katanya sempena Bengkel Remaja Perkasa, di sini, baru-baru ini.


Seramai 173 remaja dari seluruh negara menyertai bengkel sehari yang dianjurkan buat pertama kali dengan menghimpunkan peserta berusia 11 hingga 17 tahun untuk mengikuti modul dan aktiviti secara berkumpulan.


Siti Fatimah berkata, pihaknya kini dalam proses untuk mengadakan siri kedua bengkel berkenaan yang dirangka khusus kepada belia berusia 18 hingga 30 tahun dan ia dijadualkan dalam masa terdekat selepas mengambil kira semua keperluan berkaitan.


“Kita harap dengan adanya program sebegini, ia akan membantu memberi kesedaran kepada golongan muda supaya menggunakan ruang yang ada sebaiknya untuk melakukan perubahan ke arah hidup yang lebih cemerlang,” katanya.