Ilham terbaik bina taman

Ilham terbaik bina taman

Oleh Hartini Mohd Nawi
tini@hmetro.com.my


Latar pintu masuk festival yang dihiasi pelbagai bunga-bungaan segar cukup membuatkan pengunjung teruja dan tidak terlepas peluang merakam gambar di segenap sudut.

Bertemakan Bunga Kertas - Tetap Menawan (Bougainvillea - Enduring Beauty), festival itu menyasarkan himpunan lebih 400,000 pokok daripada pelbagai spesies dan kultivar bungabungaan serta tanaman hiasan.

Ini sekali gus memaparkan kemeriahan warna bunga dan tumbuh-tumbuhan yang terdapat di negara ini serta tempat lain di dunia.

Malah, ia turut menampilkan 15 pereka taman dan penggubah bunga antarabangsa yang membabitkan muka baru dan belum pernah mengambil bahagian sebelum ini.

Mereka mempamerkan landskap taman dalaman, taman luaran dan taman orkid dari Australia, Taiwan, Indonesia, Filipina, China, Belanda, Korea Selatan, Amerika Syarikat, United Kingdom, Hong Kong, Afrika Selatan, Thailand serta Myanmar.

Pengunjung juga berpeluang menikmati tujuh taman luaran berkonsepkan bunga kertas yang terdiri daripada taman bunga mawar, taman bunga semusim, taman bonsai, taman bunga berhawa dingin, taman bunga heliconia, taman tumbuhan daun berwarna dan taman bunga kertas.

Menerusi Floral Pavilion iaitu ruang pameran tertutup berhawa dingin yang menampilkan kepelbagaian bunga-bungaan dalam bentuk landskap lembut dan kejur sentuhan peserta tempatan dan luar negara.

Pastinya pengunjung tidak terlepas pandang keunikan Taman Tesco dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

Menurut Pengurus Perhubungan Awam dan Korporat Tesco, Dazrene Azmil Darus, Tesco turut bekerjasama dengan MTIB dalam menyasarkan menanam 500,000 pokok bagi tempoh tiga tahun.

“Pengunjung berpeluang menaja RM10 untuk setiap pokok dan penyertaan program penghijauan bumi (Greener Earth) dalam festival ini bertujuan mendidik semua lapisan masyarakat terutama generasi muda mengenai kepentingan menyayangi alam sekitar.

“Binaan pondok yang dinamakan Teratak Alam Mesra pula memberi peluang kepada pengunjung menikmati keindahan dan kehijauan taman yang dipagari buluh hitam iaitu antara buluh yang jarang ditemui,” katanya.

Usaha itu juga antara sebahagian tanggungjawab sosial korporat Tesco dan taman itu bertujuan memberi inspirasi kepada pengunjung untuk menyayangi serta menjaga alam sekitar.

“Belajarlah cara melindungi bumi kita dengan aktiviti pendidikan dalam suasana yang tenang dan persekitaran taman yang semula jadi selain dilengkapi alunan muzik lembut,” katanya.

Ketika melewati Taman Johor Bahru Tengah, pengunjung tentunya singgah sebentar untuk mengetahui lebih dekat elemen landskap yang cuba diketengahkan.

Bertemakan ‘Rhythm of Nature,’ setiap elemen hiasan taman yang ditampilkan mempunyai makna dan seni tersendiri.

Reka bentuk kuda kepang menjadi analogi kepada binaan taman itu secara keseluruhannya.

Panorama taman dihiasi elemen semula jadi dan mesra alam selain bunga kertas sebagai hiasan landskap lembut yang utama bagi menepati tema Floria kali ini.

Penggunaan bahan terbuang dan hasil seni rimba yang boleh didapati dengan mudah di sekeliling kita seperti batang buluh, batang kelapa, batang pinang, arang dan tali jut turut diketengahkan.

Antara komponen utama reka bentuk adalah kolam kuda kepang, menara tinjau, rumah ghazal, teres bunga kertas, arca palma, arca batang pinang dan arca batang kelapa.

Dominasi arca dengan motif daun palma sebagai asas reka bentuk memberikan imej fantasi dalam taman ini.

Susunan vertikal pada motif daun palma itu banyak mempengaruhi ekspresi awal dan emosi pengunjung yang datang.

Reka bentuk yang disatukan dengan pancuran air bertujuan mendapatkan impak dinamik pada persekitaran melalui curahan airnya di samping menyumbang kepada elemen bunyi yang tersendiri.

Bagi pengunjung, Zuraini Ali, 40, festival itu banyak menginspirasikan idea landskap untuk binaan terbaik di laman kediaman.

“Banyak idea baru dapat dikongsi dengan elemen semula jadi yang menenangkan,” katanya.

Sempena festival itu, pengunjung boleh menyertai lebih 200 aktiviti harian, bengkel dan demonstrasi perkebunan antaranya Showcase Gardens, Garden Bazaar, Laman Seni, Floral Parades, Pertandingan Fotografi, Lukisan Cat Air dan persembahan istimewa Australian Brass Band.

Festival yang berakhir esok dibuka dari jam 9 pagi hingga 12 tengah malam dan masuk adalah percuma.

Layari www.ppjgov.my/putrajayafloria/floria.html untuk maklumat lanjut.