Jumaat,25 Julai 2014

Irama, pergerakan jadi tarikan

Kuala Lumpur: Tertarik dengan irama, maksud lagu dan pergerakan comel membuatkan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Asajaya, Samarahan, Sarawak, ini meniru perlakuan aksi dalam klip video Gwiyomi.

Nur Hidayah Gani, gadis dalam video bertajuk Kiyomi Malaysian sepanjang 2:43 minit berkata, dia kali pertama menyaksikan klip video itu menerusi YouTube pada penghujung Mac lalu.


Selepas memuat naik rakaman video peribadi ke laman sosial itu, dia tidak pernah menyangka jumlah tontonan mencecah hampir 9,814 pengunjung setakat kelmarin, biarpun dia hanya gadis biasa.

“Boleh dikatakan hampir setiap hari saya memperuntukkan masa empat jam bagi melayari Internet, termasuk membuka laman YouTube, untuk melihat klip video muzik terbaru tak kira sama ada lagu Melayu, Inggeris mahupun Korea.


“Sewaktu melayari laman YouTube pada 30 Mac, saya terjumpa video Gwiyomi dan mendapati ia sangat menarik serta mudah diikuti. Disebabkan gemar meniru mimik muka artis di YouTube, mudah bagi saya mengikuti perlakuan comel itu.


“Keesokannya, saya membuka komputer riba dan merakam video sendiri melalui webcam. Sebelum memuat naik video ke YouTube menerusi akaun kakak sulung, terlebih dulu saya tunjukkan video berkenaan kepada ibu dan kakak untuk mendapatkan respons mereka. Nyata, maklum balas mereka positif,” katanya.

Menurut anak kedua daripada tiga beradik ini, dia kerap merakam video peribadi namun tidak pernah dimuat naik ke YouTube, sebaliknya disimpan dalam DVD sebagai simpanan peribadi.


Ditanya sama ada video Gwiyomi miliknya ditujukan kepada teman lelaki, pantas Nur Hidayah menafikannya, sebaliknya sekadar ingin berkongsi minat dengan orang luar.

Bercita-cita menceburi bidang seni, Nur Hidayah berkata, dia tidak menerima tentangan daripada keluarga, sebaliknya mendapat dorongan dengan syarat perbuatan dilakukannya tidak memalukan serta menjatuhkan nama baik keluarga.


Tidak sekadar meniru tanpa mengkaji bait-bait lirik, si manis 17 ini terlebih dulu mencari makna tersembunyi di sebalik lagu itu.


Bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, Nur Hidayah berpendapat fenomena Gwiyomi sekadar hiburan dan yakin ia tidak meninggalkan kesan negatif dalam kalangan remaja.


Sementara itu, pemilik video berdurasi 0:50 saat, gwiyomi-Dia Adila, Nurul Adilah Nurdin terlebih dulu memuat naik video peribadi ke laman Facebook sebelum didorong teman untuk dimuat naik ke YouTube pada 13 April lalu.


Dalam tempoh dua minggu, video miliki gadis berusia 18 tahun berasal dari Kedah ini berjaya menarik 5,361 tontonan pelayar YouTube hingga kelmarin.


Mengetahui demam Gwiyomi melanda YouTube daripada kakaknya, Nurul Adilah mengakui tertarik dengan susunan lagu dan pergerakan comel serta ringkas dilakukan warga Korea itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28
`