Sabtu,02 Ogos 2014

Jebak puyuh seni tradisi

Jebak puyuh adalah sejenis alat perangkap untuk menjerat burung puyuh. Ia seperti sebuah sangkar burung berbentuk separa bulatan dengan tapak yang rata.

Bentuk dan ukurannya cukup untuk memerangkap seekor burung puyuh.
Jebak puyuh dihasilkan dengan menggunakan papan daripada kayu nangka, sentul dan jelutung untuk dijadikan tapak serta ukiran di bahagian hadapan jebak.


Lazimnya motif awan larat, bunga kunyit dan bunga mawar sering menjadi pilihan untuk diukir.

Bagi membentuk kerangka luaran jebak puyuh, bilah buluh atau rotan digunakan.
Sementara serungkup jebak dihasil menggunakan anyaman ribu-ribu.


Apabila kerangka jebak siap, anyaman tulang belut daripada batang ribu-ribu besar pula dibentuk pada kerangka itu sebagai pemegang kepada anyaman yang memenuhi keseluruhan badan jebak itu.

Kebiasaannya, jebak puyuh dipasang di kawasan belukar berdekatan sawah padi.
Sebaik burung puyuh liar masuk ke jebak kerana tertarik dengan denak di dalamnya, ia pasti terpijak jerat yang dipasang dan secara automatik pintu jebak itu tertutup.

Hanya mereka yang sabar dan berminat boleh memikat burung puyuh.
Ia dijual dengan harga beza mengikut saiz. Bagi saiz 26 sentimeter (sm) lebar x
30sm tinggi dijual pada RM150. Ada jebak puyuh yang dijual mencecah ribuan ringgit.

Antara pakar membuat jebak puyuh terkenal ialah Che Mud Che Awang dari Kampung Bunuhan, Kelantan.

Pada 1989, Kraftangan Malaysia melantiknya sebagai Adiguru Kraf Jebak Puyuh.
Maklumat lanjut layari www.kraftangan.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16
`