Rabu,03 September 2014

KFC ke-500

Oleh Rosyahaida Abdullah

KFC Holdings (Malaysia) Berhad (KFCH) menjangkakan peningkatan dua kali ganda pendapatan dan keuntungannya tahun ini berikutan senario ekonomi berkembang positif selain perbelanjaan semasa semakin meningkat.

Pengarah Urusannya, Jamaludin Md Ali berkata, sejak tiga tahun lalu pendapatan syarikat berkembang melebihi 10 peratus dengan rangkaian restoran KFC menjadi penyumbang terbesar keseluruhan pendapatan kumpulan.


Beliau berkata, bagi memastikan pertumbuhan itu berkekalan dan meningkat, syarikat akan melabur kira-kira RM40 juta bagi memperluaskan operasi restoran serta kerja membesarkan kilang pemprosesan di Pelabuhan Klang, Selangor.

“Kerja membesarkan kilang dijangka menelan belanja RM15 juta manakala RM25 juta lagi akan digunakan untuk aktiviti memperluaskan operasi rangkaian restoran.


“Sasaran syarikat tahun ini untuk membuka 25 lagi restoran KFC di seluruh negara selain 13 cawangan baru di India dan beberapa cawangan lagi di Singapura dan Brunei,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan restoran KFC ke-500 di Shah Alam, Sabtu lalu.


Setakat ini, KFCH memiliki 520 rangkaian restoran di seluruh negara dan beberapa cawangan di Singapura, Brunei dan India.

Jamaludin berkata, pihaknya melihat India sebagai negara yang berpotensi besar untuk membuka lebih banyak rangkaian restoran KFC susulan perkembangan positif perniagaan di negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/01/17
`