Sertai komuniti myMetro

login|daftar
Layari »
Jumaat, 12 Mac 2010

Bahu tersepit

Oleh Muhammmad Aifat

2010/02/08
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MUADZAM SHAH: "Saya cuba menarik keluar mangsa namun gagal kerana bahunya tersepit akibat dihempap keretanya," kata Ali Yazid Chik, 44, saksi awal kemalangan membabitkan dua kereta mengakibatkan seorang lelaki rentung, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa Amiruddin Abd Rahman, 31, meninggal dunia di tempat kejadian apabila kereta Mazda dipandunya bertembung sebuah Proton Waja dipandu seorang lelaki di Jalan Bahau-Kuantan berdekatan simpang Bukit Serok, dekat sini, sebelum terbabas dan terbakar.

Ali berkata, ketika melalui jalan terbabit, dia ternampak dua kereta tersadai di tepi jalan secara berasingan akibat bertembung sesama sendiri.

"Ketika tiba di tempat kejadian, mangsa masih hidup sebelum dia pengsan ketika cuba merangkak keluar dari kenderaan, namun gagal kerana bahunya tersepit dihempap keretanya.


"Api masih kecil ketika saya cuba membantunya bersama seorang lagi orang awam, namun cubaan kami gagal kerana api marak dengan cepat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, mangsa tidak menjerit meminta pertolongan, namun cuba merangkak keluar dari kenderaannya melalui belakang kereta yang terbalik.

Katanya, dia menyuruh anaknya memadamkan kebakaran kecil itu, namun tidak sampai beberapa saat api menyambar keseluruhan kenderaan menyebabkan mereka hanya mampu melihat saja sebelum meminta pertolongan.

Seorang lagi saksi, Zubaidah Abdullah, 42, berkata dia bersama suami dan anak lelakinya dalam perjalanan pulang ke rumah di Kota Perdana, di sini, selepas selesai kerja menyelenggara elektrik di Felda Keratong sebelum terlihat kejadian ngeri itu.

Menurutnya, angin kuat menjadi punca api merebak dan menyukarkan usaha memadamkan kebakaran.


Seorang lagi mangsa dikenali sebagai Mohd Norhafizi Jalil, 22, berasal dari Felda Keratong 3 yang memandu Proton Waja cedera di lutut.

Katanya, dia terlihat lampu kereta memancar ke arahnya sebelum bertembung mengakibatkan keretanya terbabas di longkang besar tepi jalan.

"Ketika itu saya hanya memandu pada kelajuan 70 hingga 80 kilometer sejam, namun tidak menyangka akan bertembung dengan kenderaan itu," katanya.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang ke kampung halamannya di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Bapa mangsa, Abd Rahman Kechut, 55, berkata mangsa anak sulung daripada empat beradik dan bekerja di Kuantan sebagai kontraktor pembinaan jambatan di sebuah syarikat swasta.

"Kali terakhir dia pulang ke kampung seminggu lalu dan kami sekeluarga tidak menyangka itu kali terakhir bertemu arwah," katanya ketika ditemui di Hospital Muadzam Shah, semalam.

Ibu mangsa, Hamimah Wahab, 55, berkata pada pertemuan terakhir itu anaknya memintanya memasak lauk udang untuk dia dan rakan.

"Saya minta dia mengajak rakannya datang makan pada cuti Tahun Baru Cina akan datang.

"Sayu hati apabila semuanya kini tinggal kenangan," katanya sebak.

Kongsi artikel ini menerusi media sosial