Rabu,03 September 2014

Kacang merunggai dikenali ‘pokok ajaib’

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

KACANG merunggai terkenal sebagai makanan kegemaran masyarakat India yang kaya dengan pelbagai khasiat untuk kesihatan dan kecergasan tubuh.

Berasal dari keluarga tumbuhan Moringaceae, ia juga dikenali dengan nama kacang kelur, rembungai dan lembungai di kalangan masyarakat setempat.

Ia ditanam secara meluas di beberapa negara seperti di India, Ethiopia, Filipina, Sudan, Africa Selatan, Timur dan Barat, Asia, Amerika Latin, Kepulauan Caribbean, Florida dan Kepulauan Pasifik.

Merunggai atau nama saintifiknya Moringa oleifera berasal dari India, Pakistan dan Afghanistan; dan tumbuhan itu mampu mencapai ketinggian sehingga 10 meter dan ia sesuai ditanam di tanah kering serta berpasir.


Pohon itu turut dikenali sebagai ‘pokok ajaib’ oleh pengkaji Barat kerana khasiatnya yang mengagumkan dan memberi banyak manfaat kepada manusia.


Walaupun ia mempunyai pelbagai kelebihan, khasiat merunggai kurang diketahui masyarakat Melayu, mungkin kerana ia bukan berasal dari negara ini.

Pertubuhan dari negara Barat membuat kajian teliti terhadap pokok itu hingga menggelarnya ‘pokok kehidupan’ dan mengguna pakai pokok merunggai untuk menolong rakyat miskin.

Merunggai juga dikenali sebagai sumber vitamin atau makanan tambahan termurah kerana ia mampu memberi zat untuk menjaga kesihatan tubuh badan seseorang.

Ia mengandungi khasiat vitamin A yang lebih tinggi daripada lobak merah, lebih banyak zat besi daripada bayam, lebih banyak vitamin C daripada limau, lebih banyak kalsium daripada susu, lebih banyak kalium (potassium) daripada pisang dan kualiti proteinnya setanding telur dan susu serta mudah dihadam.

Semua bahagian pokok itu boleh dimakan dan berguna namun tidak digalakkan memakan akarnya kerana ia mengandungi alkaloid spirochin, iaitu bahan yang mampu melumpuhkan sistem saraf.

Daun pokok merunggai segar boleh dimasak pelbagai cara manakala daun yang sudah kering boleh disimpan lama tanpa hilang khasiat.

Buah merunggai muda boleh dimasak seperti sayur dan bijinya pula boleh dimasak atau dipanggang, Minyak merunggai digunakan untuk menaikkan rasa salad dan bunganya pula boleh dimakan selepas dimasak.

Minyak biji merunggai mempunyai kandungan antara 30 hingga 40 peratus minyak yang dikenali sebagai ‘Ben Oil’ yang turut digunakan dalam minyak wangi dan perubatan. Minyaknya tidak melekat dan digunakan untuk peralatan serta jentera halus.

Sungguh mengagumkan apabila bijinya yang sudah dikisar sehingga menjadi serbuk boleh digunakan untuk merawat air menggantikan aluminium sulfat, seperti yang dilakukan di kawasan pedalaman Indonesia di mana air dari kawasan tanah gambut dirawat menggunakan biji meruggai.

Daun dan sisa biji merunggai selepas diambil minyaknya juga boleh digunakan sebagai makanan ternakan, selain bahan kelat daripada batang pokoknya boleh digunakan untuk perusahaan kulit serta pembuatan gam.

Semua bahagian pokok berkenaan mempunyai khasiat perubatan seperti mampu menstabilkan tekanan darah, mengawal kadar glukos dalam darah, meningkatkan ketahanan badan.

Ia juga mampu merawat cirit-birit, bengkak dalam usus, parasit dalam perut, sengal tulang, sakit sendi, gout, sakit kerongkong, jangkitan saluran kencing dan kurang darah.

Merunggai mempunyai sifat anti kuman, termasuk bakteria Helicobacter pylori yang menyebabkan sakit ulser dan gastrik, serta anti bengkak.

Benihnya mengandungi minyak yang tidak berbau, glycerides oileic, asid stearik dan palmitik.

Bagi mereka yang ingin menjaga kesihatan, amalan memakan tumbuhan semula jadi seperti merunggai boleh memberi segala zat yang diperlukan tubuh tanpa mengharapkan makanan tambahan yang mahal.

Pokok berkenaan begitu mudah untuk ditanam iaitu dengan mengambil satu ranting atau dahannya dan cucuk ke dalam tanah serta disiram atau dibaja sekali-sekala.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/06/17
`