Kaedah belajar sambil bermain

Kaedah belajar sambil bermain

Oleh Sam Sarina Salfudin
samsarina@hmetro.com.my


Begitu juga yang dihadapi guru kelas prasekolah pendidikan integrasi yang menempatkan pelajar seawal usia empat tahun tetapi dikategorikan sebagai pelajar sindrom down, hiperaktif, autisme, masalah pendengaran, masalah bertutur, cerebral palsy. Bukan itu saja malah ada antaranya yang masih memakai lampin pakai buang.

Menurut Haidatul Azila Johar, mengajar dalam kelas pendidikan khas sememangnya memberi cabaran berbeza berbanding di sekolah biasa.

Jika di sekolah biasa murid menuntut kesabaran yang tinggi guru, di kelas Prasekolah Pendidikan Khas Integrasi lebih daripada itu.

“Perasaan geli atau jijik pada najis atau hingus kanak-kanak tiada dalam kamus guru di Pendidikan Khas. Sebaliknya kami berusaha membersih­kan mereka dan melayan mereka sebaik mungkin bagaikan seorang ibu melayan anak sendiri,” katanya yang sudah hampir lima tahun bertugas di kelas Prasekolah Pendidikan Khas Integrasi, Sekolah Kebangsaan Sultan Omar Dungun, di Terengganu.

Katanya, walaupun dalam kelas dia mengajar enam orang murid saja, tumpuan dan kaedah yang diajar untuk berbeza kerana tahap pembelajaran setiap pelajar tidak serupa.

“Mengajar pelajar istimewa menggunakan kaedah belajar sambil bermain. Contohnya bagi kanak-kanak yang hiper­aktif dan autisme kebanya­kan mereka kenal huruf cuma yang menjadi masalah mereka tidak tahu duduk diam dan sukar memberi tumpuan ketika belajar,” katanya berusaha memastikan aktiviti mengajar menarik perhatian murid-murid.

Menurutnya, pelajar istimewa yang mengalami hiperaktif dan austisme selalunya lebih cenderung kepada bidang teknikal seperti komputer, telefon bimbit mahupun kamera.
Oleh itu, Haidatul me­ngambil inisiatif untuk mengajar mereka membuat latihan menggunakan komputer.

Sementara itu bagi pelajar sindrom Down, mereka diajar melukis atau membuat contengan bebas atau membuat latihan memegang bola atau alat permainan.

“Perhatian memang lebih diberikan pada pelajar hiperaktif kerana tindak balas mereka kadangkala tidak dijangka. Pernah terjadi pelajar terbabit menolak almari sehingga terbalik tetapi syukurlah almari itu tidak menimpa pelajar lain,” katanya yang lega kerana dibantu oleh Pembantu Pengurusan Murid (PPM), Wan Siti Nurul Nadia Wan Ahmad, 27.

Justeru, kata Haidatul, hubungan dan keserasian dengan PPM penting bagi memastikan tugas menga­jar berjalan lancar dan saling bantu membantu antara satu sama lain.

Kegigihan Haidatul me­ngajar anak-anak istimewa itu tidak pudar walaupun dia disahkan menghidap kanser payudara pering­kat tiga tetapi itu bukan alasan untuknya mengabaikan tang­gungjawab mendidik insan istimewa yang memerlukan bimbi­ngan dan kasih sayang.

Menurutnya, kebanyakan pelajar istimewa datang daripada keluarga berpendapatan rendah jadi dia tidak kisah jika tiada ganjaran atau hadiah daripada mereka.

Menurut Haidatul, bukan itu saja kadangkala ada juga pelajar hiperaktif itu yang berani bertindak menukar kata laluan komputer di kelas.

Jadi sebagai guru mereka terpaksa mendapatkan bantuan ibu bapa untuk mengetahui kata laluan yang biasa digunakan pelajar itu ketika di rumah.

Menurut Haidatul, sebagai guru di kelas pendidikan khas mereka perlu kreatif merancang aktiviti pelajar supaya mereka berminat mengikuti kelas dan memberi tumpuan pada perkara yang diajar. Oleh itu, Haidatul menggunakan kemudahan Internet untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan kaedah mengajar yang lebih berkesan.

Selain penat lelah me­ngajar, kadangkala telatah anak istimewa di sekolah itu juga mencuit hati guru.

Seperti tahun lalu, ada pelajar istimewa itu yang suka membaling barang sehinggakan kasut guru dan pembantu pun kadangkala menjadi mangsa balingan.

Kalau kasut dibaling di longkang sudah perkara biasa, pernah terjadi kasut yang dibaling itu sampai ke atas atap. Kesudahannya, guru mengambil keputusan sentiasa mengunci pintu jeriji supaya murid yang hiperaktif tidak dapat berlari keluar.

Pelajar istimewa juga turut didedahkan dengan aktiviti luar sama dengan kanak-kanak normal di tadika biasa. Di taman permainan itu, bagi yang mampu mereka boleh bermain gelongsor, buaian atau berjalan di atas palang bergantung pada kemampuan pelajar.

Bagi pelajar yang tidak mampu selalunya guru akan memimpin mereka untuk melakukannya. Selain itu murid-murid pendidikan khas yang berusia tujuh hingga 13 tahun pula akan dibawa melawat ke padang futsal dan bowling bagi mendedahkan mereka pada aktiviti sukan bagi menambah keyakinan diri mereka.