Khamis,31 Julai 2014

Kaki kudung digigit tikus

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Kasdi Ali

KAMUNTING: Menyayat hati apabila seorang wanita warga emas yang hidup melarat terpaksa dipotong kaki kiri akibat luka digigit tikus ketika tidur.

Rosiah Din, 56, yang tinggal bersendirian di rumah pusaka di Batu 8, Jalan Terong, Taiping, mendakwa terlalu uzur dan tidak menyedari apa yang berlaku terhadap kakinya itu.


Menurutnya, dia merasai kesakitan keesokan harinya apabila melihat kakinya berdarah di beberapa bahagian termasuk jari kaki.

“Walaupun menyedari ia berpunca daripada gigitan haiwan, saya membiarkan luka berkenaan dan tidak merujuknya ke hospital bagi mendapatkan rawatan berikutan tinggal bersendirian.


“Namun dua hari selepas kejadian itu, badan saya lemah diikuti demam panas serius menyebabkan saya dibawa jiran ke hospital,” katanya.


Dia yang tinggal sebatang kara dan tidak mempunyai anak disahkan doktor dijangkiti kuman serius kesan daripada gigitan tikus berkenaan.

“Bimbang kuman itu merebak dan merosakkan organ utama tubuh menyebabkan doktor berkenaan menjalankan pembedahan memotong kaki kiri saya bulan lalu,” katanya.


Dia yang kematian suami tiga tahun lalu mendakwa dihantar Jabatan Kebajikan Masyarakat Taiping untuk menetap di rumah Pertubuhan Kebajikan Jagaan Wargamas Ehsan, Jalan Kolam 1, Kamunting Baru Tambahan.

Sementara itu pengasas rumah kebajikan itu, Norizazan Nordin, 48, berkata, pusat terbabit yang menempatkan lebih 50 warga emas lelaki dan wanita disewa RM2,200 sebulan.


“Kebanyakan mereka dirujuk pihak hospital kepada kami berikutan tiada waris yang menuntut mereka selepas menerima rawatan di Hospital Taiping.


“Kami memerlukan peruntukan RM10,000 bagi membiayai kos lampin pakai buang, kenderaan, makanan dan sewa kediaman setiap bulan,” katanya.


Menurutnya, orang ramai yang ingin menghulur bantuan boleh menghubunginya di talian 019-578 7650 selain menyumbang ke nombor akaun CIMB Bank 082900064901.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/11/18
`