SELAMA 10 tahun bersiaran dan diterbitkan sebanyak 15 musim, jangka hayat yang agak panjang bagi sesebuah program televisyen.
Kartini berkata, meskipun masing-masing mempunyai kerjaya lain, tetapi setiap kali dipanggil untuk sesi cambah minda untuk musim baru 3R, mereka teruja kerana hubungan yang terjalin sekian lama bukan setakat rakan setugas, tetapi kawan karib.
"Meskipun saya sibuk sebagai DJ di Hot FM, Rafidah menulis skrip drama dan filem, Celina menguruskan perniagaan sendiri, tetapi kami tetap mencari masa untuk bertemu dan berbincang. "Walaupun diburu waktu, kami tidak tertekan kerana kami bertiga melakukan perkara yang disukai. "Setiap kali sesi cambah minda, terlalu banyak idea sehingga ada yang terpaksa dipotong kerana setiap episod hanya mengupas satu isu. "Kami juga tidak berasakan diri ini selebriti, sekadar penyampai maklumat dan berkongsi pengalaman dengan penonton," katanya.
Oleh kerana program ini bersiaran mengikut kesanggupan penaja, jelas Kartini, selepas setiap musim 3R habis bersiaran, penerbit eksekutif program itu, Lina Tan, tidak mahu memberikan sebarang harapan yang 3R akan bersiaran lagi pada musim berikutnya. "Bagaimanapun, sehingga kini kami masih mendapat sokongan penaja seperti Kotex, Guardian dan penaja lain yang terus membantu kami untuk meneruskan jangka hayat 3R," katanya.
Mereka bertiga ditemui ketika sidang akhbar sambutan Hari Wanita Sedunia 2010 bersama 3R bertemakan Hak Saksama, Peluang Saksama, Bersama Kita Ke Hadapan. Hadir sama Datin Paduka Marina Mahathir yang juga Penerbit Eksekutif 3R. Sambutan itu akan berlangsung di Central Park, Bandar Utama, Petaling Jaya pada 13 Mac ini, jam 12 tengah hari hingga 8 malam. Tarikh sambutan Hari Wanita Sedunia yang sebenar ialah pada 8 Mac ini.
Pelbagai acara disusun pada hari itu. Antaranya Perarakan Aman yang bakal disertai 100 peserta (orang awam, pelajar dan anggota badan bukan kerajaan). Mereka akan mengambil bahagian dalam perarakan aman sepanjang dua kilometer di sekitar Bandar Utama sambil membawa sepanduk melaungkan mesej Hak Saksama, Peluang Saksama, Bersama Kita Maju Ke Hadapan. Turut diadakan Projek Sentuh (Seksualiti dan Tubuh) yang mengetengahkan mengenai isu diskriminasi seksualiti di negara ini melalui persembahan teater dan pameran. Juga diadakan bazaar beli-belah, aktiviti bersama 3R dan konsert amal. Konsert itu akan dijayakan pasukan sorak Extreme Malaysia All Stars (Emas), B Boys dengan penampilan istimewa Alam (juara program realiti So You Think You Can Dance), kumpulan rap TRS (Jin Hackman dan Shazet Beatboxer), One Nation Emcees, Aizat, Vince Chong, Lah Ahmad, Dayang Nurfaizah dan Azlan & Typewriter. Sambutan Hari Wanita Sedunia bersama 3R itu juga menyokong kempen katakan 'tidak' pada beg plastik.