Jumaat,29 Ogos 2014

Kapcai jadi superbike

Oleh ERYWAN NORSHAL

Kelibat superbike mini ini di setiap pertandingan autoshow pasti mencetuskan tanda tanya pengunjung untuk mengetahui apakah model sebenar motosikal itu.

Jika dilihat secara kasar, sukar untuk mempercayai bahawa motosikal kapcai Yamaha 135 LC boleh menjelma menjadi motosikal berkuasa tinggi ala superbike.

Jentera yang mengambil masa hampir setahun untuk diubah suai itu kini di peringkat akhir pembikinannya selepas menelan belanja hampir RM16,000.

Pemiliknya, Yong Kwee Tang, 40, berkata, idea untuk mengubahsuai jentera itu bermula ketika melihat motosikal tinggi yang banyak mewarnai jalan raya di negara ini.


"Saya memulakan 'eksperimen' ini dengan meletakkan rim kereta 17 inci dengan dibaluti tayar motosikal berkuasa tinggi bersaiz 160/50 R17.


"Menggunakan rim ini banyak cabarannya kerana saya terpaksa mengubahsuai lengan tempat pemegang tayar," katanya.

Kwee Tang berkata, dia turut melayari laman sesawang untuk mencari ilham mengubahsuai motosikal berkenaan, terutama jentera modifikasi dari Thailand.

Menurutnya, hasil kajiannya dalam laman sesawang memberi banyak idea untuk mengubahsuai dengan menggunakan kit badan yang ditempah khas dengan rekaan motosikal perlumbaan sebelum ia dicat warna merah dan kuning.

"Tangki minyaknya turut diperbuat daripada material sama sehingga boleh dikatakan hampir 80 peratus keseluruhan kit badannya menggunakan gentian kaca," katanya.

Menurutnya, menggunakan ekzos kereta yang terletak di bawah tempat duduk belakang membuatkan ia tampak kreatif, selain memberi impak seolah-olah jentera ala perlumbaan.

Katanya, selain penyertaan autoshow, jentera itu boleh ditunggang seperti biasa dengan menggunakan enjin yang tidak dilakukan pengubahsuaian.

Menurutnya, jentera diubahsuai itu sangat berjasa kerana kerap memenangi pertandingan autoshow selain menaikkan nama kedai motosikalnya di Semenyih, Selangor.


SPESIFIKASI

KOS PENGUBAHSUAIAN: RM16,000
JENTERA ASAL: Yamaha 135 LC
EKZOS: Menggunakan ekzos berkembar kereta
RIM: rim kereta 18 inci
TAYAR: motosikal berkuasa tinggi bersaiz 160/50 R17
KIT BADAN: Gentian kaca yang ditempah khas
BREK: Racing Boy
ENJIN ASAL: Yamaha 135 LC
KERANGKA ASAL: Yamaha 135 LC

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/11