Khamis,20 Februari 2014

Kapten baru Pahang kecewa

Oleh Asrol Awang

Kuantan: “Bukan tuah saya sebagai kapten untuk memastikan kemenangan buat Pahang,” itu reaksi Azamuddin Mohd Akil yang gagal meraih kemenangan dalam dua perlawanan selepas mengambil alih tugas Jalaluddin Jaafar.

Azamuddin berkata kegagalan memungut enam mata mutlak buat Pahang dalam dua perlawanan sememangnya mengecewakan kerana tidak dapat memenuhi sasaran jurulatih Dollah Salleh mencatat kemenangan.


Namun, pemain kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu tetap bersyukur kerana sejak memikul tugas sebagai kapten dalam dua perlawanan, tidak menghampakan.

“Cuma saya terkilan kemenangan gagal diraih tetapi gembira kerana masih mampu meraih dua mata ketika seri 2-2 dengan bertemu Terengganu semalam dan Selangor, Selasa lalu.


“Dua mata diperoleh ini tidak meletakkan Pahang ketinggalan jauh dengan pasukan teratas liga ketika semua pasukan berusaha untuk memperbaiki kedudukan lebih baik,” katanya semalam.


Mengulas keputusan seri 2-2 dengan Terengganu kelmarin, Azamuddin agak kecewa kerana prestasi pasukan tidak seperti diharapkan selepas Terengganu bermain dengan 10 orang.

Menurutnya, dia dan rakan sepasukan gagal bermain dengan lebih konsisten sebaliknya tuan rumah bijak mengawal permainan hingga membolehkan mereka menjaringkan gol.


“Namun, kami bernasib baik kerana gol minit akhir perlawanan daripada Abdul Malek Mat Ariff memastikan Pahang tidak kehilangan mata. Saya dan rakan sepasukan berterima kasih kepada Malek,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/12
`