Rabu,03 September 2014

Karl Shafek: Selesa gaya vintaj

Oleh HELLINIE SINA

Satu cara menilai kematangan seseorang itu sebagai anak seni ialah menerusi penampilannya, sama ada gaya rambut mahupun pakaian. Kadangkala, mereka akan muncul menjadi pencetus fesyen baru.

Namun, tidak semua berjaya tampil sesuai dengan imej dan diterima umum.

Ada juga yang menjadi mangsa fesyen, sekali gus dikatakan cuba meniru penampilan orang lain hingga identitinya dilihat sama dengan individu tertentu.

Jika sebelum ini kita melihat Khairul Shafek Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Karl Shafek tampil dengan wajah bersih tanpa misai dan jambang serta berpakaian santai, kini semuanya berubah.

Dia membiarkan misai dan jambang tumbuh serta lebih banyak memakai sut ketika menghadiri majlis.

Melihat perubahan itu, ada peminat yang juga ikon fesyen vintaj dikenali sebagai Wak Doyok tidak senang dengan penampilannya kerana dilihat seolah-olah meniru fesyen Wak Doyok.


Bagaimanapun, Karl menepis dakwaan itu.


Katanya, penampilan dibawanya kini tiada kaitan dengan populariti Wak Doyok sebagai ikon fesyen.

Malah, akui Karl, dia berkawan dengan Wak Doyok dan Fairuz Ramdan tetapi tidak sekali pun meniru fesyen atau penampilan mereka.

“Mereka berdua adalah orang pertama yang akan saya rujuk mengenai fesyen.

Apa yang saya gayakan ini adalah trend yang tengah ‘in’.

“Rasanya, tidak timbul masalah pun untuk saya tampil seperti ini.

Saya cuma mengikuti arus perkembangan fesyen terkini,” katanya.

Kata Karl, dia selesa dengan penampilan terbarunya dan tidak ambil hati apabila dikatakan cuba meniru Wak Doyok.

Baginya, dia ada hak untuk mengubah penampilan diri dan mencuba fesyen lain, apatah lagi kerjayanya membuatkan dia sering menjadi perhatian ramai.

“Setakat ini, maklum balas yang saya terima apabila tampil bermisai dan berjambang adalah positif, tetapi saya tidak berniat untuk kekal dengan imej begitu.

Ia hanya untuk sementara waktu,” katanya.

Sebenarnya, ada sebab mengapa Karl tampil dengan imej begitu.

Katanya, dia terbabit dengan MasterChef Malaysia All Star dan tema kali ini Hidangan Pembalasan.

“Semua peserta harus nampak bengis dan garang untuk ‘membalas dendam’ bagi mengejar gelaran juara.

Saya biarkan misai dan jambang tumbuh kerana cuba memenuhi tema kali ini.

Tidak terfikir pun untuk mengekalkan penampilan ini dan bercadang mencukur misai dan jambang selepas tamat penggambaran MasterChef.

“Apabila ramai memberi maklum balas positif, mereka katakan penampilan itu sesuai dengan saya, mungkin buat sementara waktu saya akan biarkan, tapi tidaklah tampil selekeh.

Saya selalu trim misai dan jambang supaya kemas.

Rambut juga saya sikat dengan rapi,” katanya.

Jika dulu wajah bersih Karl menampakkan dirinya ‘jambu’ tetapi penampilannya kini memperlihatkan sisi kacak Karl.

Selesa dengan penampilan itu, Karl tidak berdepan masalah menguruskan misai dan jambangnya.

Dituduh bermulut lancang kerana berani memberi kenyataan mengenai kes tidak mendapat baki bayaran teater Maduku Kalut, Karl dengan tersenyum berkata, dia tidak pernah berniat berkelakuan seperti itu.

“Saya bukan sengaja memperbesarkan perkara itu, tetapi saya cuma menjawab pertanyaan diajukan.

Bukan mahu mengejar sangat bayaran yang tertangguh.

Perkara itu pun sudah selesai.

Tiada apa lagi perlu diperkatakan,” katanya.

Meletakkan syarat pada diri sendiri untuk membabitkan diri dalam teater hanya setahun sekali, Karl berkata, dia ingin memberi tumpuan dalam bidang pengacaraan.

“Teater ini sebenarnya seronok, tetapi sesi latihan saja mengambil masa lama.

Saya ingin memberi tumpuan pada bidang pengacaraan kerana saya menceburi bidang ini untuk menjadi hos.

“Masih ramai tidak nampak saya sebagai pelakon.

Tidak kisah pun kerana saya mahu lebih dikenali sebagai pengacara.

Ada dapat tawaran berlakon filem juga, tapi saya masih belum dapat dedahkan sekarang,” katanya yang menjadi hos Muzik Xtra bersiaran di TVi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/01

Artikel Lain