Selasa,22 Julai 2014

Kayap menyakitkan

Oleh Siti Zarinah Sahib

Tergelak penulis mendengar cerita seorang rakan yang pernah menghidap kayap ular apabila ibunya meminta dia mencari janda berkahwin bujang atau duda berkahwin anak dara sebagai penawar penyakit.

Pasangan janda atau duda ini diminta memberikan air penawar kepada pesakit dengan cara menyapu pada bahagian dijangkiti kayap bagi mengurangkan bisa. Ini berdasarkan kepercayaan masyarakat Melayu yang mengkategorikan kayap sebagai penyakit tradisional dan memerlukan rawatan tradisional untuk cepat sembuh.

Cerita rakan penulis ini lagi, ketika dijangkiti penyakit ini dia langsung tidak tahu yang penyakit itu kayap ular sehingga mendapatkan rawatan di hospital.

Penyakit ini bermula dengan denyutan di bahagian tertentu dan apabila disentuh terasa sangat sakit, pedih dan panas sehingga selepas tiga hari muncul ruam merah dan gelembung berair seakan-akan cacar air (chikenpox). Gelembung ini muncul lebih banyak seperti rantaian seekor ular yang menjalar (bagaimana wujudnya nama kayap ular).


Pesakit merasakan kesakitan berpanjangan, sukar tidur, pedih, panas dan gatal yang keterlaluan. Ketika ini muncul kepercayaan yang mengatakan sekiranya gelembung ini bercantum (tidak kira sama ada di kawasan pinggang, leher atau anggota badan), ia akan menyebabkan maut.


Walaupun kayap ular (shingles) kerap berlaku dalam kalangan masyarakat, masih ramai tidak mengetahui kaitan antara cacar air dan kayap ular.

Umum hanya mengetahui pesakit yang sembuh daripada cacar air berkemungkinan tidak akan dijangkiti penyakit yang sama pada masa akan datang. Namun begitu virus yang dikenali sebagai Varicella Zoster Virus dalam tubuh pesakit terbabit tidak terus mati sebaliknya menjadi dormant atau tidak aktif. Ia akan kekal dalam sel tubuh yang pernah mendapat cacar air untuk tempoh tertentu dan jika ketahanan badan atau imunisasi seseorang itu lemah, virus ini akan aktif semula dan menyebabkan pesakit mendapat kayap ular.

Dalam bahasa mudah, seseorang itu tidak akan mendapat kayap ular melainkan dia pernah dijangkiti cacar air sebelum ini. Ini kerana dua penyakit ini saling berkait dan akan menyerang seandainya virus ini diaktifkan semula.

Menurut Ketua Jabatan Perubatan dan Unit Penyakit Berjangkit, Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr Christopher Lee, kebiasaannya semua individu pernah mendapat cacar air ketika kecil sama ada mereka mengingatinya atau tidak, mereka tetap berisiko mendapat kayap ular apabila usia meningkat 50 tahun ke atas.

Menurut kajian, 50 peratus orang dewasa berusia 85 tahun akan atau pernah mendapat sekali serangan manakala 10 peratus pula akan mendapat dua kali atau lebih serangan.

“Menyedari ia penyakit yang kerap dihidapi rakyat Malaysia, seharusnya mereka didedahkan dan dididik dengan risiko penyakit ini serta mempunyai pilihan mencegahnya menerusi rawatan serta suntikan vaksin yang selama ini tidak diketahui mereka,” katanya ketika berucap pada bengkel bersama media anjuran MSD, baru-baru ini.

Mengikut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terdapat peningkatan risiko bagi populasi dewasa menghidap kayap ular. Di antara 2000 hingga 2050, dianggarkan pesakit kayap ular bagi individu berusia 60 tahun ke atas di seluruh dunia bertambah sekali ganda daripada 11 peratus kepada 22 peratus. Senario ini turut berlaku di Malaysia apabila dianggarkan pesakit kayap ular bertambah sekali ganda daripada 14.6 peratus pada 2013 sehingga 29.7 peratus menjelang 2040.

Secara epidemiologinya, semakin berumur seseorang itu semakin tinggi risiko jangkitan terhadap penyakit ini. Namun begitu tidak semestinya hanya mereka yang berusia 50 tahun ke atas berisiko mendapatnya kerana kayap ular turut berlaku kepada kanak-kanak, remaja serta orang yang kurang daya tahan terhadap penyakit seperti pesakit HIV, penghidap kanser atau mereka yang menjalani rawatan kemoterapi atau pemindahan sumsum tulang.

Malah ibu hamil yang mendapat cacar air serta bayi yang dilahirkan turut berisiko tinggi menghidapnya meskipun bayi itu tidak pernah mendapat jangkitan cacar air.


Tanda-tanda kayap ular

Pada peringkat awal, kayap ular dapat dikesan menerusi kesakitan pada bahagian tertentu seperti sakit yang menyucuk, pedih, denyutan apabila dipegang, panas serta rasa kebas. Ketika ini kesan pada kulit masih belum muncul sehingga beberapa hari kemudian timbul bintik merah di bahagian tubuh pesakit.

Ruam merah yang bertompok-tompok akan muncul dengan banyak dan pelbagai bentuk seakan-akan kesan melecur. Ruam merah yang bertompok itu mengandungi nanah sebelum pecah dan menyebabkan kulit jadi melecur. Setengah daripada kulit ini berdarah dan rasa sakit akan berterusan apabila ruam terus merebak di sekeliling tubuh.

Kebiasaannya pesakit kayap ular tidak akan menghadapi sebarang komplikasi kecuali jika penyakit itu menyerang muka dan mata pesakit di mana penglihatan pesakit mungkin terjejas. Begitu juga dengan pesakit remaja atau kanak-kanak yang hanya menjadi lebih serius sekiranya rawatan awal tidak diberikan.

Dr Christopher turut menolak dakwaan kepercayaan masyarakat Cina yang mengatakan penyakit ini disebabkan ular dalam tubuh pesakit, begitu juga anggapan kononnya apabila lingkaran bertaut pesakit akan mati. Perlu ditegaskan, lingkaran ini tidak akan bersambung, ia hanya merebak pada bahagian tertentu di permukaan kulit seperti di dada, perut, pinggang dan muka.

Berbeza dengan cacar air, kayap ular tidak berjangkit pada individu lain kerana kuman yang menyebabkan berlakunya kayap berasal dari dalam tubuh individu itu sendiri.


Komplikasi lain

Selain itu, komplikasi yang biasa terjadi ialah post herpetik neuralgia (PHN) atau sakit selepas kayap sembuh terutama membabitkan pesakit dewasa. Semakin berusia seseorang pesakit mereka lebih berisiko mendapat PHN.

PHN adalah komplikasi biasa yang dialami pesakit kayap ular yang biasanya berpanjangan sehingga 90 hari selepas tanda kemerah-merahan timbul. Ia berlaku kerana jangkitan kuman yang menyebabkan kerosakan pada bahagian saraf sekali gus menyebabkan penghidapnya merasai kesakitan luar biasa dan bisa pada keseluruhan badan.

Pesakit biasanya merasai kesakitan yang amat sangat seperti terbakar, panas, menyucuk dan kebas walaupun selepas kayap sembuh. Malah mereka yang mengalami PHN langsung tidak boleh memakai baju atau menyentuh bahagian kayap kerana akan menyebabkan kesakitan. Semakin berusia seseorang itu, kesakitan yang dirasai semakin panjang dan lebih kuat.

Walaupun terdapat pelbagai kepercayaan mengenai penyakit ini serta rawatan tradisional yang diberikan, pesakit seharusnya bertemu doktor untuk mendapatkan nasihat serta pencegahan awal. Sama seperti penyakit kulit lain kayap ular akan sembuh selepas dirawat walaupun memakan masa yang panjang.

Bagi mereka yang berumur, rawatan lebih tertumpu untuk mengelakkan komplikasi penyakit berbanding merawat penyakit itu sendiri terutama PHN. Peringkat permulaan ubat-ubat antiviral diberikan dalam tempoh 24 jam selepas timbul gelembung berair bagi mengurangkan kesan penyakit termasuk kemungkinan sakit selepas sembuh.

Apa yang penting, diagnosis penyakit harus dipastikan terlebih dulu bagi melakukan rawatan segera agar kesan buruk kayap tidak berpanjangan terutama jika terjadi pada mata.

“Namun bagi pesakit yang datang berjumpa doktor melebihi 48 jam selepas timbul gelembung berair, ubat-ubat antiviral tidak perlu diberikan kerana kesannya tidak seberapa. Pada hakikatnya, rawatan yang diberikan kepada pesakit ini adalah untuk mengurang dan meringankan kesakitan. Namun kini terdapat pencegahan awal jangkitan yang boleh diperoleh menerusi suntikan vaksin,” jelas Christopher.

Menurut Pengarah Eksekutif Pusat Perubatan Global Vaksin dan Polisi Merck Vaccines, Dr Eddy Bresnitz, apabila seseorang itu terdedah dengan penyakit yang disebabkan virus, sistem ketahanan badan atau antibodi akan cuba melawan serangan virus dan sekiranya berjaya imunisasi akan terbentuk dengan sendiri.

“Setiap badan manusia akan mengeluarkan antibodi iaitu sejenis sel darah yang bertindak melawan virus tertentu sebagai contoh virus chickenpox dan cuba membina ‘memori’ berdasarkan pengalaman menghalang daripada dijangkiti penyakit itu. Pada masa akan datang, jika mereka dijangkiti virus yang sama secara semula jadi sel darah atau antibodi akan bertindak daripada memasuki saluran darah seterusnya menjadi punca penyakit,” katanya.

Keadaan ini sama seperti vaksin yang dihasilkan untuk bertindak balas terhadap jangkitan virus terutama mereka yang tidak pernah menghidapinya. Sebagai contoh, vaksin untuk kayap ular akan mengeluarkan antibodi secara semula jadi seterusnya menghalang kehadiran virus disebabkan cacar air yang dijangkiti ketika kecil.

“Ini menghalang virus daripada aktif manakala pesakit mendapat imunisasi bersesuaian dengan peringkat usia serta kurang risiko mendapat kayap ular menjelang usia emas,” tambahnya.

Untuk lebih jelas, Ketua Bahagian Geriatik Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Philip Poi menegaskan, suntikan vaksin sangat penting untuk setiap peringkat usia sekali seumur hidup. Ini terutama bagi golongan dewasa harus didedahkan dengan kepentingan vaksin yang dapat melindungi atau mengelak daripada dijangkiti penyakit.

“Tanpa mengira usia, imunisasi sangat penting untuk kualiti hidup yang lebih sihat dan ceria. Sejak bayi misalnya suntikan vaksin diperoleh sehingga sampai pada satu tahap suntikan ini tidak lagi diambil kerana merasakan badan sudah cukup kuat melawan jangkitan penyakit. Namun vaksin yang diberikan hanya untuk penyakit tertentu saja dan mereka tetap berisiko mendapat penyakit berjangkit yang lain. Di sinilah pentingnya kesedaran dalam kalangan masyarakat supaya mendapatkan vaksin bagi kesihatan yang berpanjangan,” katanya.

Menurut WHO, vaksin mampu menghalang jangkitan penyakit lebih daripada 30 penyakit dan dua daripada tiga juta manusia di seluruh dunia hidup sihat dengan mendapat vaksin pada setiap tahun.

Untuk vaksin kayap ular, kini ia sudah digunakan di seluruh dunia termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia manakala di Asia hanya boleh diperoleh di beberapa negara termasuk Singapura, Hong Kong, Taiwan dan Korea. Untuk Malaysia, ia hanya akan dikeluarkan pada tahun hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/18
`