Ketinggalan kerana kurang ilmu, monopoli kumpulan lain

Ketinggalan kerana kurang ilmu, monopoli kumpulan lain



Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Puteri UMNO Datin Norsabrina Mohd Noor berkata, kebanyakan daripada usahawan Bumiputera masih berada di tahap mikro, gagal menonjolkan diri dan bersaing menyebabkan mereka tidak dapat menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP).


“Selama ini, kebanyakan usahawan Bumiputera terutama yang muda tidak dapat melangkah jauh disebabkan pelbagai kekangan termasuk kurang ilmu pengetahuan mengenai selok-belok dunia perniagaan.


“Selain itu, apabila menyentuh mengenai pinjaman perniagaan, mereka turut mengalami kesukaran kerana terlalu banyak birokrasi serta hubungan antara usahawan dengan usahawan lain tidak cukup kuat untuk membantu antara satu sama lain,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.


Beliau yang juga Penaung Persatuan Pengeluar Kosmetik Wilayah Utara menyatakan, peniaga sedia ada yang sudah stabil atau mengecapi kejayaan seharusnya menolong dan berkongsi kekuatan dengan usahawan muda.


Justeru, agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera itu diharap dapat memantapkan lagi status Bumiputera dan pelaksanaannya pula mesti selari dengan apa yang dicadangkan.


Ia harus tepat dengan sasaran dan dipantau secara berterusan supaya menepati aspirasi diingini bukan saja oleh kerajaan malah rakyat khususnya yang mahukan pembaharuan dari semasa ke semasa.


“Selain bidang keusahawanan yang banyak dipelopori oleh lelaki, diharapkan dengan adanya inisiatif ini, peniaga wanita turut dapat maju ke depan bagi membantu ekonomi diri, keluarga dan negara,” katanya.