Kilang Proton buah hasil

Kilang Proton buah hasil

Oleh Hafiz Ithnin
hafizithnin@hmetro.com.my


Ini terbukti apabila model sedan Proton Prevé, meraih anugerah lima bintang dalam program Australasian New Car Assessment Program atau lebih dikenali sebagai ANCAP selepas dinilai menerusi tiga ujian perlanggaran iaitu meliputi bahagian hadapan dan sisi oleh pakar bebas di makmal khas di Australia.

Ketua Sektor Operasi Teknikal Proton Abdul Rashid Musa berkata, pelaburan yang tinggi disuntik Proton bukan saja memberi kesan kepada kemampuan syarikat tempatan yang mampu mengeluarkan produk bertaraf global, malah memberi peluang kepada tenaga kerja di Malaysia mempelajari kejuruteraan automotif bertaraf antarabangsa.


Beliau berkata, pengambilalihan Kumpulan DRB-Hicom ke atas Proton lebih memberi makna memandangkan syarikat itu mempunyai kepakaran tinggi untuk menghasilkan generasi kenderaan negara yang lebih berkualiti menerusi kerjasama rakan niaga automotif sedia adanya.


“Proton mempunyai pencapaian yang amat membanggakan pada hari ini dan dengan mengambil kira tempoh kira-kira 20 tahun, kita mampu menghasilkan rangkaian model Proton membabitkan proses pembuatan dari awal hingga akhir.


“Jika dilihat dari segi teknologi pula, Proton tidak ketinggalan, malah sentiasa ke hadapan apabila menggunakan 203 robot canggih yang mampu membantu mengurangkan tenaga kerja manusia dalam pelbagai bidang pembuatan, sekali gus menghasilkan 150,000 buah kereta setahun,” katanya kepada Bisnes Metro di Tanjung Malim, Perak.


Dalam lawatan eksklusif ke kilang berkenaan, Proton juga memberi penerangan mengenai proses menghasilkan sebuah kenderaan dari awal hingga akhir dan memperkenalkan pelbagai teknologi digunakan oleh syarikat berkenaan sepanjang ia menjalankan operasi di negara ini.


Kilang Proton City mempunyai keluasan mencecah 518 hektar itu adalah hab bagi pengeluaran model Proton Prevé dan Persona bagi pasaran tempatan eksport manakala model Gen.2 juga dikeluarkan dari kilang yang sama bagi pasaran eksport saja.


Rashid berkata, ketika ini, Proton mempunyai 800 jurutera automotif yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang pembuatan kenderaan penumpang dan kewujudan Kolej Automotif Antarabangsa (ICAM) di Pekan, Pahang iaitu institut pengajian yang dibangunkan Kumpulan DRB-Hicom bakal merancakkan lagi tenaga kerja profesional industri berkenaan pada masa depan.