Sabtu,12 Julai 2014

Konvensyen sehari keluarga Muslim

IKATAN Muslimin Malaysia (Isma) bakal menganjurkan Konvensyen Keluarga Melayu Muslim 2011 dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) pada 23 Oktober ini.

Ia bakal berlangsung di Dewan Auditorium D8, Parcel D, Precint 1, Putrajaya bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

Konvensyen sehari itu bertemakan ‘Membudayakan Perencanaan Dalam Keluarga Melayu Muslim’ dan bakal memberi tumpuan kepada isu semasa mengenai permasalahan yang berlaku dalam masyarakat Melayu hari ini.

Dua sesi pembentangan kertas kerja dan forum mengenai peranan ibu bapa, pendidikan anak serta realiti keluarga Melayu bakal disampaikan beberapa tokoh berpengalaman.


Ia termasuk Pensyarah di Kuliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr Sidek Baba; Timbalan Naib Canselor (TNC) Akademik & Antarabangsa Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Dr Badrulhisham Abdul Aziz; Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Keluarga Jakim, Sabariah Salleh; Presiden Isma, Abdullah Zaik Abd Rahman; Pensyarah Jabatan Usuluddin, Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Norsaleha Mohd Salleh dan Pengasas & Rakan Kongsi Utama Hijrah Wealth Management Sdn Bhd, Mahdzir Md Isa.


Pembentangan kertas kerja yang bakal dikupas pula berkaitan Bapa Sebagai Tonggak Keluarga Beragenda, Membudayakan Perencanaan Dalam Keluarga Melayu Muslim dan Pendidikan Anak-Anak: Cabaran dan Penyelesaian Serta Forum Realiti Keluarga Melayu: Cabaran dan Masa Depan.

Pada akhir konvensyen itu, peserta dijangka mendapat maklumat tambahan untuk melahirkan keluarga Melayu Muslim yang mempunyai jati diri.

Orang ramai yang berminat menyertai konvensyen ini hanya perlu membayar yuran RM10. Pendaftaran boleh dibuat melalui laman web www.konvensyenkeluarga.net atau menghubungi Rasyidah di talian 019-2676074.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/10/20
`