Khamis,02 Oktober 2014

Kukuh jenama Lenovo

Daripada Afiq Hanif di Singapura

SYARIKAT perkomputeran terkemuka, Lenovo bakal membuka pusat pameran eksklusifnya di beberapa negeri di Malaysia tahun ini dalam usaha meningkatkan akses pengguna kepada produk mereka yang kian meningkat.

Pengurus Besar dan Pengarah Eksekutif Lenovo Asean, Koh Kong Meng berkata, pusat pameran eksklusif terbabit merangkumi khidmat pelanggan serta pameran produk Lenovo seperti desktop dan laptop yang dikemas kini.


“Beberapa negeri menjadi tumpuan seperti Johor dan Pulau Pinang selaras dengan strategi baru kami iaitu ‘Serang’ dan ‘Lindung’ yang bertujuan mengukuhkan jenama di Malaysia dan dunia secara amnya,” katanya kepada Bisnes Metro di Singapura, semalam.

Ia bersempena pelancaran laptop baru Lenovo bagi kategori IdeaPad iaitu model U410 dan U310.


Koh menambah, syarikatnya juga berhasrat memasuki pasaran luar bandar dengan menambah bilangan penjual rasmi produk mereka namun beliau enggan mendedahkan bilangan penjual rasmi terbabit.


“Kami menyedari Lenovo perlu melihat pasaran dengan lebih meluas dan mendapati peluang bukan saja tertumpu di bandar, tetapi tinjauan kami mendapati potensi luar bandar mampu meningkatkan kedudukan kami sebagai pengeluar komputer peribadi (PC),” katanya.

Lenovo kukuh di segmen perniagaannya menerusi produk ThinkPad yang terus menjadi pilihan syarikat. Sementara segmen pengguna dan kerajaan akan diperkasakan tahun ini juga.


Beliau memaklumkan, Lenovo adalah pengeluar PC kedua terbesar di dunia selepas pengumuman tahun fiskal 2011-12 mereka yang mana kedudukan syarikat melonjak dari tempat keenam.

“Ia bukan sesuatu yang mudah untuk berada di kedudukan ini, tapi kami percaya teknologi kami mampu memberikan kepuasan kepada pengguna,” katanya. Lenovo mencatatkan keuntungan kepada RM1.4 bilion untuk tahun fiskal 2011-12 iaitu pertumbuhan 73 peratus manakala hasil pendapatannya meningkat 37 peratus kepada RM88.8 bilion. Pada suku pertama tahun ini berakhir 31 Mac lalu, penghantaran PC Lenovo meningkat 23 peratus berbanding suku sama tahun lalu dengan kedudukan kukuh di China, India dan Russia.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/06/07
`