Jumaat,21 Februari 2014

Lagu Min ke Filipina

Oleh Nor Akmar Samudin

REZEKI Min Yasmin apabila berpeluang berduet dengan artis Filipina, Nikki Bacolod menerusi lagu Hilangkanlah ciptaan komposer Julfekar. Penyanyi jelita itu bukan saja dikurniakan suara yang merdu, malah dia juga melakar kejayaan di negaranya sebagai pelakon dan pengacara MTV Filipina.

Menurut Min, bagi memudahkan proses rakaman lagu itu, dia merakamkannya di studio di Kuala Lumpur dan lagu itu kemudian dihantar ke Manila untuk ‘dimasukkan’ pula suara Nikki. Menariknya Nikki menyanyikan lagu itu dalam bahasa Melayu dan bagi meraih perhatian peminat di negaranya, Nikki turut merakamkan lagu itu dalam bahasa Tagalog manakala tajuk lagu dan liriknya dikekalkan.

Puji Min, suara Nikki sangat merdu dan gemersik seperti suara penyanyi Melayu.
“Saya mengagumi suaranya yang sangat merdu dan tidak pelat langsung menyanyikan lagu Melayu. Jika pendengar tidak mengenalinya, pasti mereka fikir yang lagu itu dinyanyikan penyanyi Melayu. Walaupun saya tidak berada dalam studio rakaman yang sama dengannya tetapi saya tetap berasa bangga kerana dapat berduet dengannya.

“Bagaimanapun, lagu itu belum berkumandang di radio kerana belum siap sepenuhnya dan masih pada peringkat mastering. Insya-Allah ia akan siap tidak lama lagi dan majlis pelancaran akan dibuat di dua negara iaitu di sini dan juga di Filipina. Saya sangat berbangga kerana dapat menyanyi bersama Nikki kerana ia bukan saja terkenal di negaranya, malah ia dapat membawa saya mencipta nama di luar negara.

“Lagu Hilangkanlah akan dimuatkan dalam album yang bakal menyisipkan 15 lagu. Semua lagu dalam album itu hasil kolaborasi artis Malaysia dan Filipina. Selain saya, artis tempatan lain yang terbabit sama dalam projek ini ialah Rahayudeen, Mira dan Farlyana.

“Kami bertiga sudahpun merakamkan lagu masing-masing kecuali Farlyana. Setiap orang menyanyikan dua lagu, satu lagu Melayu dan satu lagu Tagalog. Julfekar sendiri merakamkan lagu bersama Nikki dan mudah untuk dia membawakan lenggok lagu itu dalam bahasa Tagalog kerana dia berdarah campuran Filipina.

“Saya berharap projek ini berjalan lancar kerana saya ingin cuba menembusi pasaran seni di negara itu dan ini menjadi permulaan buat saya dan juga rakan artis lain,” katanya.

Di samping itu, Min juga ada singlenya sendiri yang berjudul Jauh Di Mata. Memiliki suara yang bagus namun Min masih kena bekerja keras. Pun begitu, di kala dia sedang enak merancang perjalanan kerjaya seninya, dia diasak dengan kontroversi kononnya ada skandal dengan Julfekar kerana dia anak didik komposer itu dan turut bernaung di bawah syarikat Julfekar, Millineum Arts.

Isu itu bukan baru kerana cerita panas itu bermula sejak Min muncul dalam persada seni lagi.

“Julfekar adalah majikan saya dan kami tidak pernah ada skandal. Entah macam manalah cerita karut macam ini boleh timbul. Saya hanya artis di syarikatnya dan kalau ternampak kami berjalan bersama pun, adalah atas urusan kerja.

“Saya dah tak kuasa nak memikirkan hal itu, lebih baik saya fokus pada kerja,” katanya.

Min yang berminat untuk menjadi ahli perniagaan, sempat meluangkan masa sepanjang Ramadan lalu bersama ibunya berniaga Nasi Ambeng yang sangat popular di kalangan masyarakat Jawa di Johor. Juadah itu yang disediakan sendiri ibunya sangat laris sehingga mereka tidak menang tangan melayan pelanggan.

“Sepanjang Ramadan, kami berniaga di gerai di Kota Damansara bermula jam 4 petang. Tidak perlu menunggu sehingga malam kerana jam 6 petang dah habis. Ada pelanggan yang sekali beli lima enam bungkus dan ada yang sudah jadi pembeli tetap.

“Sambutannya sangat bagus dan saya bercadang untuk terus berniaga tetapi agak sukar untuk mencari orang untuk menjaga gerai. Emak hanya boleh memasak tetapi tak ada masa untuk menjaganya. Saya diberikan kebenaran untuk terus berniaga di gerai sama ketika Ramadan dulu.

“Buat masa ini dengan ketiadaan orang untuk menjaga gerai, saya akan kumpul duit dulu kerana teringin pula untuk mencari tapak kedai niaga tetap seperti kafe. Nak buka restoran, ‘besar’ sangat, jadi biarlah saya usahakan secara kecil-kecilan dulu.

“Pembeli yang datang bukan saja mereka yang berasal dari Johor tetapi orang Kuala Lumpur sendiri dan dari negeri lain pun dah pandai makan Nasi Ambeng. Juadah ini sangat praktikal kerana dalam satu bungkusan itu sudah tersedia menu yang lengkap iaitu nasi putih, ayam masak kicap, serunding dan sayur campuran berserta tempe.

“Kepada yang bekerja terutamanya dan tiada banyak masa, tidak perlu lagi mengunjungi semua gerai yang ada di bazar Ramadan untuk mencari juadah berbuka puasa. Sebab itu Nasi Ambeng menjadi pilihan pada Ramadan ini,” katanya.

Perkembangan lain, kini Min kembali sibuk dengan persembahan makan malam dan di rumah terbuka,” katanya.

Min yang kelihatan susut beritahu dia tidak makan nasi.

“Untuk mengurangkan berat badan, saya terpaksa melupakan nasi sementara waktu. Saya tak boleh menguruskan badan dengan mengamalkan pengambilan pil kerana muka saya akan ditumbuhi jerawat.

“Saya akan terus kurangkan berat badan kerana ia menambahkan lagi keyakinan diri dan cari baju pun senang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/04
`