Rabu,20 Ogos 2014

Lahir murid alaf baru

Oleh ROSYAHAIDA ABDULLAH

Putrajaya: Menempuhi cabaran globalisasi memerlukan negara untuk melahirkan modal insan yang mampu bersaing bukan hanya di tempat sendiri, malah turut berupaya berdiri selesa di peringkat antarabangsa.

Menerusi inisiatif yang disusun dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), usaha ini dilihat mampu mencapai matlamat melalui pelbagai strategi yang sedang dilaksanakan, khususnya penetapan enam aspirasi murid.


Aspirasi terbabit adalah ilmu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian, kemahiran memimpin dan identiti nasional.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Sektor Operasi Pendidikan Kementerian Pendidikan, Datuk Sufaat Tumin, murid alaf baru kini perlu memiliki empat elemen utama dalam diri mereka iaitu kritis, kreatif, komunikasi dan kolaborasi bagi memastikan mereka mampu bersaing di peringkat global.


Katanya, melalui anjakan yang dinyatakan secara jelas dalam PPPM, semua usaha menjurus kepada usaha melahirkan modal insan yang cemerlang dalam semua segi, seterusnya memacu ke arah kualiti pendidikan lebih baik setanding negara maju.


“Penguasaan murid dalam elemen berkenaan semakin penting kerana pada masa akan datang, persaingan tidak lagi terhad di dalam negara sendiri dan juga bukan sekadar melihat kepada ilmu pengetahuan dimiliki seseorang, tetapi juga kemahiran lain seperti konsultasi, idea baru, penyelesaian masalah dan sebagainya.

“Bagi inisiatif HOTS (Kemahiran Berfikir Aras Tinggi) misalnya, ia akan melahirkan murid yang bukan lagi sekadar menghafal ilmu dipelajari, malah mampu mengaplikasi setiap subjek berkenaan,” katanya.


Mengulas lanjut, Sufaat berkata, hasrat negara cukup tinggi ke arah meletakkan Malaysia dalam kalangan satu pertiga teratas bagi sistem pendidikannya dalam tempoh 15 tahun lagi berbanding kedudukan satu pertiga di bawah ketika ini.

Katanya, kedudukan yang dinilai di bawah pentaksiran antarabangsa Program Penilaian Murid Antarabangsa (PISA) dan Kajian Sains Dan Matematik Antarabangsa (TIMSS) itu memerlukan Malaysia untuk melihat secara menyeluruh sistem pendidikan yang sedia dipakai.


“Sistem sedia ada sudah baik, cuma kita perlu mempertingkatkan pelbagai perkara untuk mengiringi arus kepesatan yang dialami dunia dalam semua bidang, termasuk pendidikan.


“Ketika ini, hanya beberapa negara Asia seperti Korea, Jepun dan Singapura berada di paras satu pertiga teratas untuk pentaksiran PISA dan TIMSS sebaris negara Barat seperti Finland, Belanda, Kanada dan New Zealand sementara kita masih di bawah,” katanya.


Sufaat menjelaskan, PPPM juga menjadi kesinambungan kepada pelbagai pelan pembangunan pendidikan yang dilaksanakan sebelum ini, termasuk Penyata Razak yang menumpukan kepada pendidikan berasaskan perpaduan.


“Sebelum ini, kementerian melaksanakan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan pada 2006 hingga 2010. PPPM ini meneruskan usaha yang dilakukan sejak sekian lama,” katanya.


Selaras tiga komponen utama PPPM iaitu prestasi dan cabaran, visi dan aspirasi serta program transformasi, penggubalan pelan itu akan meletakkan sistem pendidikan Malaysia di tahap lebih membanggakan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/18