Rabu,01 Oktober 2014

Lebuhraya Utara-Selatan sesak

KUALA LUMPUR: Keadaan lalu lintas di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) dari arah utara menghala Selatan dan arah selatan ke Kuala Lumpur semalam mengalami kesesakan teruk berikutan ribuan warga kota mula kembali ke ibu kota selepas cuti panjang Tahun Baru Cina.

Jurucakap Plusline, Juhaimy Harun berkata keadaan trafik perlahan di kawasan Plaza Tol Sungai Dua dan Plaza Tol Juru di Pulau Pinang, Plaza Tol Simpang Pulai hingga Plaza Tol Slim River di Perak.


“Bagi aliran selatan ke Kuala Lumpur, laluan dikesan mengalami kesesakan di kawasan Plaza Tol Pedas Linggi hingga ke kawasan rehat dan rawat Seremban dan laluan Nilai ke Seremban,” katanya kepada Bernama, di sini.

Turut mengalami kesesakan ialah laluan dari Plaza Tol Machap, Melaka ke Plaza Tol Sedenak yang menghala ke Johor Baharu, katanya.


Beliau berkata, kesesakan berlaku sejak jam 10 pagi itu disebabkan pengguna jalan raya keluar serentak dan keadaan tersebut berterusan sehingga malam tadi.


Bagaimanapun, katanya, polis dengan bantuan PlusRonda membuka laluan kecemasan di KM291 hingga KM294 kawasan Simpang Pulai-Gopeng bagi mengurangkan kesesakan.

Selain itu katanya PlusRonda meningkatkan kekuatan anggotanya di sepanjang lebuh raya sebagai persiapan sekiranya berlaku kecemasan.- Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2011/02/07
`